Adakah boleh dipercayai, negara-negara yang sangat rakus berperang dengan nafsu kebinatangan cuba menjadi kepala pendamai?
Mereka terlibat secara langsung dalam peperangan yang banyak berlakunya jenayah perang mengikut undang-undang antarabangsa, namun dikecualikan tindakan undang-undang terhadap mereka.
Sehinggakan, mereka boleh melakukan apa sahaja termasuk menggunakan senjata yang membunuh lebih ganas daripada binatang buas.
Sejarah buruk mereka sejak zaman penjajahan beberapa abad yang lalu terus berpanjangan, apabila mereka memperhambakan sesama manusia dengan membawa rakyat negeri yang dijajah untuk dijual menjadi hamba abdi seperti menjual binatang dan membunuh penduduk asal dengan rakus di seluruh dunia.
Kemudiannya, diciptakan bentuk penjajahan baharu terkini.
Bahkan, mereka juga terlibat dalam mencetuskan peperangan di Afghanistan dan negara Teluk, krisis di Yaman, Syria, Libya, Sudan dan beberapa negara Asia, Afrika dan Amerika Latin, sama ada secara langsung mahupun tidak langsung semata-mata demi menjaga kepentingan ekonomi dan politik penjajahan baharu.
Negara Islam lebih diutamakan menjadi sasarannya, khususnya negara Palestin.
Undang-undang antarabangsa terhadap kumpulan mereka laksana sarang labah-labah yang menjadikannya hanya mampu memerangkap serangga kecil sahaja dan boleh dirempuh oleh binatang besar.
Selain itu, juga menjadikannya laksana undang-undang binatang ganas di rimba, siapa yang kuat maka dialah yang benar dan adil, walaupun hakikatnya penuh keganasan yang melampaui batas sifat kemanusiaan.
Sebaliknya, pihak yang menentang kezalimannya pula dianggap sebagai pengganas dan pelampau.
Mereka bertindak mencabuli hak asasi manusia sewenang-wenangnya, dengan menggunakan segala tindakannya dengan label berjenama demokrasi dan kebebasan yang dicanangkan oleh media yang melindunginya sehingga membodohkan seluruh dunia.
Pada masa yang sama, mengizinkan berlakunya pemerintahan diktator (dictatorship), menipu, mengamalkan rasuah dan membeli rakyat, termasuk merampas kuasa dan menghapuskan pemimpin yang dikehendakinya, demi mewujudkan negara yang bersedia menjadi khadam mereka.
Dalam pada itu, mereka juga menubuhkan negara haram Israel, hasil pelaksanaan Perjanjian Sykes-Picot (1916), Perjanjian Balfour (1917) yang tidak boleh dilupakan, dan Perjanjian Lausanne (1923), yang bertujuan melaksanakan penjajahan jangka panjang.
Negara haram itu ditubuhkan hasil rompakan di siang hari atas nama agama Yahudi yang disesatkan sehingga dimurkai oleh Allah SWT.
Mereka merampas bumi Palestin dengan menghalau penduduk asalnya secara paksa dan ganas, malah membunuh tanpa batas, merampas rumah kediaman, bangunan perniagaan, dan kawasan pertanian.
Akibatnya, menyebabkan rakyat asal Palestin terpaksa menjadi pelarian di kawasan padang pasir tanah airnya atau berhijrah ke negeri jiran.
Selepas penjajahan dahulu menemui kegagalan disebabkan banyak negara berjaya mencapai kemerdekaan dengan mengeluarkan penjajah masing-masing, maka diubah pendekatan kepada penjajahan bentuk baharu di bawah payung pertubuhan antara negara serantau bekas jajahan dan pertubuhan antarabangsa.
Perkara ini menjadi ikatan terhadap negara-negara yang lemah kepada negara penjajah masing-masing, demi menjaga kepentingan penjajah dahulu yang masih tidak dinafikan dan tidak dibatalkan.
Kawalan dilakukan di semua kawasan dunia yang berstrategik dari segi sumber tenaga dan laluan antarabangsa, dengan pengawalan melalui pangkalan tentera dan negara-negara khadamnya supaya menjadikan seluruh dunia kepunyaan mereka.
Kini, banyak negara di Afrika, Asia dan Amerika Latin cuba melepaskan diri daripada belenggu sehingga menjadikan negara-negara penjajah itu dalam keadaan gelisah.
Namun, undang-undang dan piagam antarabangsa yang bersifat ‘double standard’ pula dilaksanakan, apabila negara-negara besar yang disebutkan di atas dan sekutunya khususnya Israel dikecualikan daripada undang-undang yang mengharamkan pemilikan senjata pemusnah yang merosakkan manusia dan alam sekitar.
Walau bagaimanapun, ia diharamkan kepada negara lain hatta sekadar memiliki teknologi untuk tujuan keamanan atau melakukan ujian dan memiliki bahannya dengan tujuan mendapatkan sumber tenaga.
Mereka berlagak ke sana ke mari menjadi pendamai apabila di mana-mana sahaja berlaku krisis, pada masa yang sama berniaga senjata demi mengaut keuntungan ekonominya, dan mewujudkan proksi perang saudara bagi pihaknya.
Mereka ternyata berada di belakang semua kumpulan pelampau yang diwujudkan bagi menimbulkan kekacauan di mana sahaja menjadi tentera upahan mereka.
Malah, mereka juga berlagak menjadi polis dunia terhadap semua negara atas nama keamanan dunia, demokrasi dan kebebasan.
Berlakon menjadi pendamai yang paling ke hadapan dalam semua krisis di semua negara, sama ada dalam negeri atau antara negeri.
Perdamaian yang rapuh bagi meneruskan agenda penjajahannya pula.
Khususnya dalam krisis Palestin, mereka menaja Persidangan Madrid (1991), Perjanjian Damai Oslo (1993 dan 1995), Sidang Kemuncak Camp David (2000) dan lain-lain.
Kemudian, diikuti dengan penyelesaian pembentukan dua negara (two-state solution) bagi Palestin dan Yahudi dalam keadaan Israel sentiasa menangguhkannya dan mengambil peluang menambah bilangan pendatang Yahudi dan merampas kampung halaman serta tempat kediaman rakyat Palestin yang masih ada.
Adapun negara-negara Arab dan Islam pula dicadangkan supaya mengadakan normalisasi dengan Israel atas nama kerjasama ekonomi, dan lain-lain ke arah mengiktiraf negara haram itu.
Penentangan terhadap penjajah yang menceroboh adalah suatu bentuk hak kemanusiaan sejagat, lebih khusus dalam menentang penyamun negara yang lebih kejam daripada penjajah.
Apa yang dilakukan terhadap bumi Palestin iaitu bumi para anbiya’ yang haram ditegakkan negara Israel, namun negara haram itu tetap ditegakkan juga atas nama Taurat yang telah dinasakhkan kebanyakan hukumnya dan mereka sendiri telah terseleweng jauh daripada kitab suci Taurat.
Bahkan, dalam kalangan mereka sendiri menurut Mazhab Yahudi Naturei Karta yang berdalilkan kitab Taurat yang asal, mengatakan adalah haram ke atas bangsa Yahudi menubuhkan negaranya semula.
Al-Quran ialah Kitab Allah bersama Rasul akhir zaman yang disebutkan di dalamnya baiah para anbiya’ daripada kalangan Bani Isra’il, yang mewajibkan mereka agar setia bersama Rasul akhir zaman.
Hal ini dijelaskan oleh firman Allah SWT:
﴿… وَضُرِبَتۡ عَلَيۡهِمُ ٱلذِّلَّةُ وَٱلۡمَسۡكَنَةُ وَبَآءُو بِغَضَبٖ مِّنَ ٱللَّهِۗ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمۡ كَانُواْ يَكۡفُرُونَ بِـَٔايَٰتِ ٱللَّهِ وَيَقۡتُلُونَ ٱلنَّبِيِّـۧنَ بِغَيۡرِ ٱلۡحَقِّۗ ذَٰلِكَ بِمَا عَصَواْ وَّكَانُواْ يَعۡتَدُونَ٦١﴾
“…Lalu ditimpakanlah kepada mereka (kaum Yahudi) kenistaan dan kehinaan, serta mereka mendapat kemurkaan daripada Allah. Hal itu (terjadi) kerana mereka selalu mengingkari ayat-ayat Allah dan membunuh para Nabi yang memang tidak dibenarkan. Demikian itu (terjadi) kerana mereka selalu berbuat derhaka dan melampaui batas.”
[Surah al-Baqarah: 61]
Dan firman Allah SWT:
﴿وَإِذۡ أَخَذَ ٱللَّهُ مِيثَٰقَ ٱلنَّبِيِّـۧنَ لَمَآ ءَاتَيۡتُكُم مِّن كِتَٰبٖ وَحِكۡمَةٖ ثُمَّ جَآءَكُمۡ رَسُولٞ مُّصَدِّقٞ لِّمَا مَعَكُمۡ لَتُؤۡمِنُنَّ بِهِۦ وَلَتَنصُرُنَّهُۥۚ قَالَ ءَأَقۡرَرۡتُمۡ وَأَخَذۡتُمۡ عَلَىٰ ذَٰلِكُمۡ إِصۡرِيۖ قَالُوٓاْ أَقۡرَرۡنَاۚ قَالَ فَٱشۡهَدُواْ وَأَنَا۠ مَعَكُم مِّنَ مِّنَ ٱلشَّـٰهِدِينَ٨١ فَمَن تَوَلَّىٰ بَعۡدَ ذَٰلِكَ ذَٰلِكَ فَأُوْلَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡفَٰسِقُونَ٨٢﴾
“Dan (ingatlah), ketika Allah mengambil perjanjian daripada para nabi (dengan firman-Nya), ‘Sesungguhnya, apa sahaja yang Aku berikan kepadamu berupa kitab dan hikmah, kemudian datang kepadamu seorang rasul yang membenarkan apa yang ada padamu, nescaya kamu akan bersungguh-sungguh beriman kepadanya dan menolongnya.’ Allah berfirman (bertanya kepada mereka), ‘Apakah kamu mengakui dan menerima perjanjian-Ku terhadap yang demikian itu?’ Mereka menjawab, ‘Kami mengakuinya.’ Allah berfirman, ‘Sekiranya begitu, maka saksikanlah (wahai para nabi) dan Aku menjadi saksi (pula) bersama kamu.’ (81)
“Sesiapa yang berpaling sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasiq. (82)” [Surah Ali ‘Imran: 81-82]
Mereka yang menubuhkan negara haram Israel sebenarnya berasal daripada kumpulan sekular Yahudi yang fanatik perkauman tanpa berpegang kepada kitab Taurat yang sebenar.
Itulah kumpulan bernama Zionis yang bergerak di seluruh dunia menguasai ekonomi (harta), media, politik dan sosial.
Kini, mereka mempengaruhi seluruh negara besar Amerika dan Eropah, agar menunjukkan pendirian secara terbuka menyokong segala tindakan negara haram Israel.
Tindakan itu merupakan bayaran terhadap Zionis yang dikatakan telah memberikan kemenangan kepada parti-parti dan calon ketua kerajaan yang paling kuat menyokong Israel.
Apabila para mujahidin Palestin yang bertindak atas nama Islam melakukan operasi Taufan al-Aqsa, sebagai tindak balas yang menjadi hak untuk mereka terhadap keangkuhan melampau oleh Zionis yang bertindak membunuh dan menceroboh Masjid al-Aqsa.
Kini, keadaan sudah menunjukkan kemenangan apabila mereka berjaya menembusi kekuatan bala tentera Israel yang disokong dengan senjata Barat yang melimpah.
Kita menyaksikan bagaimana seluruh negara yang terlibat bersama Zionis sekarang berada dalam keadaan gelabah, apabila mereka secara terbuka menggerakkan bala tentera masing-masing dan membuat kenyataan bersama menyokong negara haram Israel untuk melakukan apa sahaja keganasan yang menyalahi undang-undang antarabangsa.
Antaranya menceroboh dengan melakukan keganasan yang melampau, membunuh kanak-kanak, orang tua, kaum wanita, termasuk memusnahkan masjid, hospital dan lain-lain lagi.
Dalam keadaan tiada sifat kemanusiaan sejagat, malah menuduh rakyat Palestin yang lemah dan dizalimi pula sebagai pengganas.
Malangnya, seluruh negara penjajah itu membuat kenyataan menyokong negara haram Israel serta menghantar senjata dan bala tentera yang besar bagi menyelamatkan Zionis dan negara haramnya.
Dalam keadaan tidak ada rasa malu terhadap rakyat masing-masing yang sedar dan insaf memprotes kezaliman yang nyata dilakukan oleh negara haram Israel itu.
Fikirkan bagaimana negara-negara besar menentang kawasan Gaza yang kecil hanya beberapa kilometer persegi sahaja keluasannya dengan penduduk hanya berjumlah beberapa juta yang gagah berani bertindak mempertahankan agama, umat dan tempat sucinya.
Sehinggakan, kuasa besar itu membawa kapal induk yang paling canggih, USS Gerald R. Ford yang boleh beroperasi selama 20 tahun tanpa bekalan tenaga, bersama lebih 70 pesawat perang udara dan ribuan bala tentera di atasnya, bersama kapal-kapal pengiring yang besar, dan diikuti oleh negara-negara Eropah sebagai sekutunya turut mengerakkan kapal perang masing-masing.
Semata-mata hanya untuk melawan kawasan Gaza yang terlalu kecil, keadaan ini menunjukkan sokongan kepada keganasan yang rakus dan dibiarkan serangan ganas ke atas Gaza dengan tujuan penghapusan semua penduduknya.
Hal ini sangat berbeza dengan operasi Hamas yang berjaya menembusi pertahanan Israel di sempadan Gaza berpandukan undang-undang perang yang disebutkan oleh firman Allah SWT:
﴿وَقَٰتِلُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ ٱلَّذِينَ يُقَٰتِلُونَكُمۡ وَلَا تَعۡتَدُوٓاْۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ ٱلۡمُعۡتَدِينَ١٩٠﴾
“Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, (tetapi) janganlah kamu melampaui batas, kerana sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.”
[Surah al-Baqarah: 190]
Rasulullah SAW mentafsirkan ayat di atas dengan sabdanya:
لَا تَقْتُلُوا صَبِيًّا، وَلَا امْرَأَةً، وَلَا شَيْخًا كَبِيرًا، وَلَا مَرِيضًا، وَلَا رَاهِبًا.
“Janganlah kamu membunuh kanak-kanak, kaum wanita, orang tua, orang sakit dan para paderi di rumah ibadat.”
[Al-Baihaqi, al-Sunan al-Kubra, Kitab al-Siyar, No. 18152, daripada Abu Bakar]
Sepatutnya negara-negara besar yang dikatakan bermaruah dan bertamadun itu merasa malu bersama negara haram Israel, pengganas yang sebenar.
Percayalah, mereka akan bergerak dan berlagak sekali lagi menjadi juara pendamai apabila negara Israel itu tidak mampu bertahan.
Maka, seluruh dunia yang cintakan keadilan kepada seluruh manusia tidak akan tertipu lagi sehingga berkali-kali ditipu.
Khususnya, bagi pemimpin negara Islam yang telah dan bercita-cita melakukan normalisasi dengan Israel, maka dinasihatkan kepada mereka apa yang dipesan oleh Rasulullah SAW dengan sabdanya:
لَا يُلْدَغُ الْمُؤْمِنُ مِنْ جُحْرٍ وَاحِدٍ مَرَّتَيْنِ.
“Tidak seharusnya seorang yang beriman itu disengat sebanyak dua kali oleh binatang berbisa daripada lubang yang satu (yang sama).”
[Muttafaq ‘Alayh: Al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab al-Adab, No. 6133 dan Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Zuhd wa al-Raqa’iq, No. 2998, daripada Abu Hurairah]
Semua perjanjian perdamaian yang diatur oleh kuasa-kuasa besar yang mengheret sama negara Arab dan Islam hanya menjadi kertas kosong yang dibakulsampahkan oleh Zionis Israel dan negara besar yang mendukungnya.
Dalam keadaan Israel terus mengganas dan terus dibantu oleh negara-negara besar yang sama.
Operasi Taufan al-Aqsa adalah jawapan yang tepat kepada Zionis setelah mereka terlampau mengganas sehingga ke peringkat melakukan jenayah perang terhadap rakyat Palestin.
Pada masa yang sama, turut menceroboh Masjid al-Aqsa sehingga melanggar undang-undang antarabangsa dan segala piagamnya dengan sokongan mutlak kuasa dan negara yang bersamanya.
Jangan dibiarkan Palestin menjadi mangsa dan Gaza dihancurkan oleh negara-negara pengganas yang nyata melakukan keganasan. Allah SWT berjanji dengan firman-Nya:
﴿…كُلَّمَآ أَوۡقَدُواْ نَارٗا لِّلۡحَرۡبِ أَطۡفَأَهَا ٱللَّهُۚ وَيَسۡعَوۡنَ فِي ٱلۡأَرۡضِ فَسَادٗاۚ وَٱللَّهُ لَا يُحِبُّ ٱلۡمُفۡسِدِينَ٦٤﴾
“Setiap kali mereka (kaum Yahudi itu) menyalakan api peperangan, Allah memadamkannya dan mereka berbuat kerosakan di muka bumi; dan Allah tidak menyukai orang-orang yang membuat kerosakan.”
[Surah al-Ma’idah: 64]
Tindakan Israel menceroboh Gaza telah mencabul undang-undang antarabangsa dan piagam antarabangsa, dan merupakan kerosakan terhadap muka bumi Allah dengan terang lagi bersuluh.
Mereka pasti akan menerima akibatnya.
Percayalah bahawa negara-negara besar yang sama-sama terlibat menyalakan peperangan bersama negara haram Israel akan menerima padah yang sama, apabila ia akan membawa kejatuhan semua negara besar itu sebagaimana sebelumnya dalam sejarah yang pasti akan berulang.
Masing-masing akan menerima ajal kerana yang kekal hanyalah Kerajaan Allah yang Maha Berkuasa sahaja.
Firman Allah SWT:
﴿قُلِ ٱللَّهُمَّ مَٰلِكَ ٱلۡمُلۡكِ تُؤۡتِي ٱلۡمُلۡكَ مَن تَشَآءُ وَتَنزِعُ ٱلۡمُلۡكَ مِمَّن تَشَآءُ وَتُعِزُّ مَن تَشَآءُ وَتُذِلُّ مَن تَشَآءُۖ بِيَدِكَ ٱلۡخَيۡرُۖ إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡءٖ قَدِيرٞ٢٦ تُولِجُ ٱلَّيۡلَ فِي ٱلنَّهَارِ وَتُولِجُ ٱلنَّهَارَ فِي ٱلَّيۡلِۖ وَتُخۡرِجُ ٱلۡحَيَّ مِنَ ٱلۡمَيِّتِ وَتُخۡرِجُ ٱلۡمَيِّتَ مِنَ ٱلۡحَيِّۖ وَتَرۡزُقُ مَن تَشَآءُ بِغَيۡرِ حِسَابٖ٢٧ لَّا يَتَّخِذِ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ ٱلۡكَٰفِرِينَ أَوۡلِيَآءَ مِن دُونِ ٱلۡمُؤۡمِنِينَۖ وَمَن يَفۡعَلۡ ذَٰلِكَ فَلَيۡسَ مِنَ ٱللَّهِ فِي شَيۡءٍ إِلَّآ أَن تَتَّقُواْ مِنۡهُمۡ تُقَىٰةٗۗ وَيُحَذِّرُكُمُ ٱللَّهُ نَفۡسَهُۥۗ وَإِلَى ٱللَّهِ ٱلۡمَصِيرُ٢٨﴾
“Katakanlah (wahai Muhammad), ‘Wahai Tuhan yang mempunyai kerajaan, Engkaulah yang memberikan kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki; dan Engkaulah yang mencabut kerajaan daripada orang yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkaulah yang menghina orang yang Engkau kehendaki. Dalam tangan (kekuasaan) Engkaulah ada segala kebajikan. Sesungguhnya, Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu. (26)
“Engkaulah yang memasukkan waktu malam ke dalam waktu siang, dan Engkaulah yang memasukkan waktu siang ke dalam waktu malam. Engkaulah juga yang mengeluarkan yang hidup dari yang mati, dan Engkaulah yang mengeluarkan yang mati dari yang hidup. Dan Engkau yang memberi rezeki kepada sesiapa yang Engkau kehendaki tanpa hisab (batas).’ (27)
“Janganlah orang-orang Mukmin mengambil orang-orang kafir menjadi wali (teman rapat) dengan meninggalkan orang-orang Mukmin. Sesiapa yang berbuat demikian, nescaya terlepaslah dia daripada pertolongan Allah, kecuali kerana (siasat) memelihara diri daripada sesuatu yang ditakuti daripada mereka (yang kafir itu). Dan Allah memperingatkan kamu terhadap diri-Nya (seksa-Nya). Dan hanya kepada Allah tempat kembali (kamu). (28)” [Surah Ali ‘Imran: 26-28]
Semua negara besar itu pasti akan menerima ketibaan ajal yang sama seperti kuasa besar pada zaman silam.
Firman Allah SWT:
﴿أَلَمۡ تَرَ كَيۡفَ فَعَلَ رَبُّكَ بِعَادٍ٦ إِرَمَ ذَاتِ ٱلۡعِمَادِ٧ ٱلَّتِي لَمۡ يُخۡلَقۡ مِثۡلُهَا فِي ٱلۡبِلَٰد٨ وَثَمُودَ ٱلَّذِينَ جَابُواْ ٱلصَّخۡرَ بِٱلۡوَادِ٩ وَفِرۡعَوۡنَ ذِي ٱلۡأَوۡتَادِ١٠ ٱلَّذِينَ طَغَوۡاْ فِي ٱلۡبِلَٰدِ١١ فَأَكۡثَرُواْ فِيهَا ٱلۡفَسَادَ١٢ فَصَبَّ عَلَيۡهِمۡ رَبُّكَ سَوۡطَ عَذَابٍ١٣ إِنَّ رَبَّكَ لَبِٱلۡمِرۡصَادِ١٤﴾
“Apakah kamu tidak memperhatikan bagaimana Tuhanmu berbuat terhadap kaum ‘Aad? (6)
“(Iaitu) penduduk Iram yang mempunyai bangunan-bangunan yang tinggi. (7)
“Yang belum pernah dibangunkan (suatu kota) seperti itu, di negeri-negeri lain. (8)
“Dan terhadap kaum Thamud yang memotong batu-batu besar di lembah. (9)
“Dan terhadap kaum Firaun yang mempunyai pasak-pasak (tentera yang banyak). (10)
“(Semua itu mereka) yang berbuat sewenang-wenang dalam negeri (masing-masing). (11)
“Lalu mereka berbuat banyak kerosakan dalam negeri itu. (12)
“Disebabkan itu, Tuhanmu menimpakan kepada mereka pelbagai paluan azab. (13)
“Sesungguhnya, Tuhanmu itu benar-benar mengawasi. (14)”
[Surah al-Fajr: 6-14]
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS