Tanda Besar Ahmad Said Tidak Mahu Bertanding Di Kemaman

Tanda Besar Ahmad Said Tidak Mahu Bertanding Di Kemaman

Entahkan takut atau apa, kelihatannya sudah ada tanda-tanda besar mantan MB Terengganu, Dato’ Ahmad Said yang juga calon PHBN Parlimen Kemaman PRU-15 lalu, seakan-akan mahu menarik diri dari dicalonkan semula dalam PRK yang bakal diadakan pada 2 Disember ini.

Ya, kita amat maklum dengan keperitan yang beliau alami dalam dua kekalahan yang cukup mencabar kejantanan beliau sebagai ‘hero’ BN Terengganu, jika benar keputusan amat berat ini beliau ambil.

Siapa yang berani melawan Idris Jusoh?

Siapa yang memaki dan mencabar Dato’ Haji Mohd Abdul Wahid Endut bertumbuk dalam Sidang Dun?

Siapa yang dengan garangnya mendedahkan sendiri skandal 1MDB yang dahulunya dikenali sebagai TIA?

Siapa yang mencemaskan Dato’ Seri Ahmad Razif dengan percubaan melakukan undi tidak percaya?

Siapa yang keluar parti dan mengugut untuk menjatuhkan Kerajaan BN Terengganu sewaktu beliau diturunkan dari jawatan MB?

Siapa yang berani bergurau dengan seseorang sambil tangannya memegang di tempat yang sulit?

The one and only, Dato’ Seri Ahmad Said.

Namun semua kepahlawanan beliau itu memudar dengan cepat sekali apabila rakyat Terengganu yang pernah beliau kutuk dengan perkataan ‘tok mung’ sewaktu berkempen dalam PRU Negeri baru-baru ini, telah dua kali memilih calon PN dan PAS bagi menduduki kerusi Kijal dan Kemaman sekaligus merehatkan beliau yang dianggap sudah tidak layak untuk memimpin Umno.

Jauh sekali memimpin negeri.

Inilah akibat mengamalkan pemerintahan yang sering mengugut, bengkeng, memilih memberi bantuan, akhirnya akan tumbang apabila rakyat sedar dan mula bangkit.

Pada pertama kali percubaan beliau menentang Ustaz Alias Abdul Hamid dari PAS, ternyata beliau tersungkur dengan majoriti besar, lebih 27 ribu yang BN sendiri tidak pernah dapat di Kemaman.

Kali keduanya dalam PRU Negeri baru-baru ini.

Jika diandaikan PAS Terengganu terlalu kuat, hipotetsis itu benar dengan melihat keputusan PRU.

Tetapi lawannya dalam Dun Kijal adalah dari Bersatu dan pernah menjadi anak buah beliau dalam Umno Terengganu, Datuk Razali Idris, juga mengenakan majoriti yang padu ke atas beliau.

Bermakna bukan hanya PAS atau Bersatu apabila bergabung dibawah Perikatan Nasional menjadi begitu kuat, tetapi juga atas nama DS Ahmad Said sendiri yang menjadi calon, menambahkan lagi kekuatan PN itu.

Sekarang, di mana mahu beliau letakkan muka beliau?

Oleh itu, beliau segera bertindak bagi mengurangkan perasaan malu itu.

Sebaik sahaja mahkamah membatalkan kemenangan PAS di Kemaman, selang tidak lama, beliau mengeluarkan kenyataan bahawa kemenangan PAS di Kemaman adalah kerana rasuah dan bukannya kerana rakyat menolak calon BN iaitu beliau sendiri.

Dan pastinya juga bukan kerana PAS itu kuat. Itu dakwaannya.

Tertanya-tanya juga aku bagaimana dengan keputusan di empat Dun dalam PRU Negeri lalu yang menyaksikan majoriti hampir sama diperolehi PN, sedangkan tiadapun kesalahan pilihanraya.

Akan tetapi terselindung dibalik kata-kata itu, ia memberi isyarat bahawa beliau tidak mahu lagi bertanding di kerusi itu.

Pertamanya jika beliau kalah lagi dan mungkin dengan majorirti yang lebih besar, bermakna, segala dakwaan beliau tentang kekelahan BN itu, hanyalah omong kosong dan sembang kari sahaja.

Keduanya dengan meletakkan kekalahan BN atas perbuatan lawan, bermakna, beliau adalah kuat, bukannya lemah dalam menentang PAS dan beliau memilih mengundur diri.

Ketiganya, beliau akan menuding jari kepada calon PHBN yang akan datang jika kalah kerana tiada kesalahan PRU, PHBN tetap kalah.

Dan hal ini beliau sudah tahu dengan memerhatikan laporan dan sikap pengundi yang walaupun sudah hampir setahun menjatuhkan beliau di Kemaman, tetapi nafsu rakyat Kemaman untuk membenamkan PHBN sekali lagi masih berkobar-kobar.

Oleh itu, mengambil keputusan mengundurkan diri adalah langkah terbaik beliau, tetapi mesti dengan cara yang dilihat kononnya bijak iaitu dengan menyalahkan PAS dan PN.

Dengan itu tekanan akan memuncak kepada calon PHBN yang baharu nanti. Cerdik sungguh Abang Mat kita.

Adakah PH akan dipelawa meletakkan calon mereka kali ini di Kemaman?

Nanti jika kalah dengan majoriti lebih besar seperti di Kuala Terengganu, PH akan dilihat lebih lemah dari BN.

Hairan juga, kenapa masing-masing takut untuk berhadapan dengan PAS yang mereka jaja telah melakukan kesalahan pilihanraya.

Sedangkan inilah masanya mereka boleh menang dengan cara betul ke atas PAS.

Mohd Nasir Abdullah

Politik