Adil, Prihatin Dan Berkebajikan

Adil, Prihatin Dan Berkebajikan

الحمد لله وحده، صدق وعده، ونصر عبده، وأعز جنده، وهزم الأحزاب وحده.أشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له، له الملك وله الحمد، وهو علىكل شيء قدير. وأشهد أن محمدا عبده ورسوله، البدر الدجى والسراج المنير.والصلاة والسلام على حبيبينا وشفيعنا وإمامنا وقدوتنا محمد، إمام المتقينوقائد الدعاة المجاهدين، وعلى آله وصحبه، والتابعين بإحسان إلى يوم الدين.

Yang Berhormat Senator Tuan Pengerusi Tetap, Yang Berhormat Timbalan Pengerusi Tetap;

Yang Dihormati Sahibul Fadilah Dato’ Mursyidul ‘Am, Yang Berhormat Dato’ Bentara Kanan Timbalan Mursyidul ‘Am, Ashab al-Fadilah Ahli-Ahli Majlis Syura Ulamak;

Yang Berhormat Dato’ Sri Timbalan Presiden, Naib-Naib Presiden, Yang Berhormat Datuk Seri Setiausaha Agung, serta Ketua-Ketua Dewan Ulamak, Muslimat, Pemuda, dan DHPP;

Yang Dikasihi Ahli Jawatankuasa Harian PAS Pusat, Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Pesuruhjaya PAS Negeri dan Pengerusi Sidang Al-Sabiqun;

Yang Amat Berhormat Menteri-Menteri Besar, Yang Berhormat Ahli Dewan Negara, Ahli Dewan Rakyat, dan Ahli Dewan
Undangan Negeri; Yang Diraikan Para Tetamu daripada Perikatan Nasional, Dif Kehormat, Delegasi Luar Negara serta Rakan Media;

Panitia Muktamar dan Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan sebagai Tuan Rumah; seterusnya, Para Perwakilan dan Pemerhati yang dirahmati Allah sekalian.

Muqaddimah

Saya ucapkan “Ahlan Wa Sahlan Wa Marhaban Bikum”, Selamat Datang dan Selamat Bermuktamar kepada semua perwakilan, pemerhati dan tetamu yang hadir bagi memeriahkan Muktamar Tahunan PAS kali ke-69 bagi tahun 1445 Hijrah bersamaan 2023 Masihi.

Marilah kita melafazkan Alhamdulillah, tanda kesyukuran kepada Allah SWT kerana atas kurnia-Nya, kita telah mencapai kemenangan dan kejayaan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) apabila berjaya meningkatkan sokongan rakyat, khususnya daripada kalangan pengundi muda. Pencapaian ini menjadikan PAS dilihat oleh kawan dan diintai oleh lawan.

Kemenangan yang sangat mencabar itu tidak mudah dicapai, kerana ia merupakan hasil pengorbanan dan perjuangan yang panjang bertali arus, bermula sejak beberapa dekad dan abad yang lalu. Namun begitu, aqidah perjuangan kita yang berprinsipkan kepercayaan kepada Allah SWT tetap yakin kepada janji-Nya di dunia dan akhirat.

Firman Allah SWT:

إِنْ يَنْصُرْكُمُ اللَّهُ فَلَا غَالِبَ لَكُمْ ۖ وَإِنْ يَخْذُلْكُمْ فَمَنْ ذَا الَّذِي يَنْصُرُكُمْ مِنْ بَعْدِهِ ۗ وَعَلَى اللَّهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُؤْمِنُونَ

“Jika Allah menolong kamu mencapai kemenangan, maka tidak ada sesiapa pun yang dapat mengalahkan kamu dan jika
Allah membiarkan kamu (tanpa memberikan pertolongan), maka siapakah pula yang dapat menolong kamu selain Allah? Dan hanya kepada Allah sahaja hendaklah orang beriman bertawakal.”

Surah Ali ‘Imran: 160

Kini, kita berkewajipan mengisi kemenangan sekadar kemampuan yang dicapai, walaupun tidak berjaya sepenuhnya. Cabarannya lebih besar daripada mencapai kemenangan.

Antaranya ialah melaksanakan tuntutan dalam firman Allah SWT:

الَّذِينَ إِنْ مَكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنْكَرِ ۗ وَلِلَّهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ

“(Mereka itu) orang-orang (Islam) yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi, nescaya mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat ma‘ruf dan mencegah daripada perbuatan yang mungkar. Dan ingatlah kepada Allah jua kembali segala urusan.”
Surah al-Hajj: 41

Walaupun PAS belum mencapai tahap tamkin (berkuasa) sepenuhnya dalam kerajaan pusat, tetapi PAS telah berjaya menguasai empat kerajaan negeri, memperoleh jumlah ahli Parlimen terbesar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang juga besar jumlahnya. Dalam erti kata lain, langkah kita ke Parlimen telah berjaya mendapat dukungan rakyat. Namun, langkah kita ke Putrajaya masih lagi terhalang. Maka, kita wajib berpegang kepada para ulama’ yang menegaskan:

مَا لََا يُدْرَك كُلُّهُ لََا يتُْرَك كُلُّهُ.

“Apa yang tidak dapat dilakukan semuanya, jangan pula ditinggalkan semuanya.”

Jadikan pencapaian tersebut sebagai pangkalan yang kuat bagi meneruskan perjuangan untuk mencapai kemenangan sepenuhnya, sepertimana yang dijanjikan oleh Allah SWT.

Maka, kita hendaklah mengisi kemenangan yang telah dikurniakan oleh Allah SWT ini dengan sifat rabbani yang sentiasa berhubung dengan Allah SWT, melaksanakan keadilan dan berkebajikan, dalam negara yang berdaulat dan berkuasa melaksanakan kewajipan dengan sempurna, serta berwawasan akhirat.

Muhasabah PRU-15

Kerusi parlimen PAS daripada PRU-12 hingga PRU-14 tidak banyak berubah, namun dalam PRU-15 kerusi Parlimen PAS berlaku peningkatan sebanyak 140% daripada 18 kerusi dalam PRU-14 kepada 43 kerusi dalam PRU-15 sehingga mencatatkan bilangan kerusi parlimen tertinggi dalam sejarah 71 tahun penubuhan PAS, melalui kerjasamanya dalam gabungan Perikatan Nasional (PN). Manakala UMNO, PKR, AMANAH dan DAP berlaku penurunan kerusi berbanding
PRU-14.

Dalam PRN di enam buah negeri, PAS mencapai tahap kemenangan 83% dengan mendapat kerusi DUN tertinggi sebanyak 105 kerusi berbanding parti-parti lain. Manakala kerusi yang dimenangi keseluruhan oleh PN lebih tinggi berbanding PH-BN iaitu PN menang sebanyak 146 kerusi dan PH-BN hanya mendapat 99 kerusi. Alhamdulillah.

PAS telah menjalankan post-mortem untuk melihat aspek kelemahan yang perlu diperbaiki dan aspek positif yang perlu dikekalkan dan ditingkatkan;

a. Aspek kelemahan – antaranya kelemahan menarik sokongan pengundi bukan Islam dan bilangan gabungan kerusi yang belum mencukupi untuk membentuk kerajaan walaupun berlaku peningkatan yang mendadak;

b. Aspek positif – antaranya mengekalkan sokongan pengundi muda, kekuatan media sosial, prestasi kerajaan negeri, imej bersih dan bebas rasuah, penambahan ahli dan cawangan, kesediaan jentera dan kualiti calon.

Saya ingin mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada para pengundi dan dermawan yang memberikan kepercayaan kepada PAS dan Perikatan Nasional. Penghargaan khusus diberikan kepada jentera parti yang berjuang dengan penuh pengorbanan tanpa mengira penat dan lelah. Moga-moga usaha mereka mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah
SWT.

Firman Allah SWT:

وَلَا تَهِنُوا فِي ابْتِغَاءِ الْقَوْمِ ۖ إِنْ تَكُونُوا تَأْلَمُونَ فَإِنَّهُمْ يَأْلَمُونَ كَمَا تَأْلَمُونَ ۖ وَتَرْجُونَ مِنَ اللَّهِ مَا لَا يَرْجُونَ ۗ وَكَانَ اللَّهُ عَلِيمًا حَكِيمًا

“Janganlah kamu berhati lemah (hilang semangat) dalam memburu mereka (musuhmu yang menceroboh itu). Jika kamu menderita kesakitan (luka atau mati), maka ketahuilah mereka pun menderita kesakitan sebagaimana yang kamu rasai, sedang kamu masih dapat mengharapkan (balasan yang baik daripada Allah pada Hari Akhirat kelak) apa-apa yang tidak dapat diharapkan oleh mereka. Dan sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.”
Surah al-Nisa’: 104

Tema Muktamar: “Adil, Prihatin Dan Berkebajikan”

Pada muktamar tahun lepas, PAS telah menawarkan ‘Malaysia Sejahtera’ kepada rakyat Malaysia bagi mempersiapkan parti
sebagai sebuah kerajaan dalam PRU-15 dan PRN.

Maka pada tahun ini, PAS meneruskan hala tuju dan pendekatannya dengan meletakkan jaminan kepada seluruh rakyat sama ada kalangan Islam atau bukan Islam, bahawa perjuangan PAS di peringkat Persekutuan dan Kerajaan Negeri yang dikuasai oleh PAS dan Perikatan Nasional (PN) bersama seluruh wakil rakyatnya wajib mengisi kemenangan sekadar bidang kuasa yang ada dengan melaksanakan tiga konsep yang penting; iaitu Adil, Prihatin dan Berkebajikan.

Ini berpandukan firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَىٰ وَيَنْهَىٰ عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ ۚ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ

“Sesungguhnya, Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi bantuan kepada kaum kerabat, dan Allah melarang daripada perbuatan kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran (dengan suruhan dan larangan-Nya ini) kepada kamu agar kamu mengambil pelajaran untuk mematuhi-Nya.”
Surah al-Nahl: 90

Pertama: Adil

Adil bermaksud meletakkan sesuatu pada tempatnya yang betul mengikut petunjuk Allah (Islam), dan ia merupakan sifat
wajib bagi Allah SWT, serta termasuk dalam nama-nama-Nya yang indah (al-Asma’ al-Husna) iaitu Maha Adil. Sifat adil diwajibkan kepada hamba-Nya untuk dilaksanakan dalam segala aspek kehidupan yang terkandung dalam ajaran Islam
yang sempurna.

Keadilan hendaklah merangkumi aspek aqidah, syariat dan akhlak, termasuk politik, pentadbiran, kehakiman, ekonomi,
keluarga, masyarakat dan lain-lain. Kita meletakkan asas yang kukuh bagi menegakkan keadilan apabila mewajibkan setiap calon yang bertanding diluluskan oleh Majlis Syura Ulamak kerana menegakkan keadilan dalam Islam adalah amanah paling besar.

Firman Allah SWT:

 إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُمْ بَيْنَ النَّاسِ أَنْ تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ ۚ إِنَّ اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُمْ بِهِ ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا

“Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu menyerahkan amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menetapkan hukum antara manusia (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya, Allah (dengan suruhan-Nya itu) memberikan sebaik-baik pengajaran kepada kamu. Sesungguhnya, Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.”
Surah al-Nisa: 58

Keadilan Islam hendaklah dilaksanakan, termasuk kepada musuh, kerana firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ ۖ وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَىٰ أَلَّا تَعْدِلُوا ۚ اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَىٰ ۖ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ

“Wahai orang yang beriman! Hendaklah kamu sentiasa menjadi orang yang menegakkan keadilan kerana Allah dengan menerangkan kebenaran. Dan janganlah sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa sahaja), kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa-apa yang kamu kerjakan.”
Surah al-Ma’idah: 8

Pengalaman berdepan dengan kerajaan pusat yang berkonsepkan kleptokrasi (pencuri) dan kakistokrasi (tidak tahu memerintah) yang berlagak dengan kuasa yang dimiliki, tetapi tidak tahu mengurus dengan adil, seharusnya menjadi
pengajaran kepada kita.

Kerajaan pada hari ini juga bersifat double standard sehingga melanggar prinsip demokrasi dan Islam yang masih dikepung dan dipenjara semata-mata kerana ingin meneruskan agenda penjajah. Bukan itu sahaja, kerajaan ini melanggar prinsip
perlembagaan sehingga merempuh konsep federalisme dan perjanjian yang telah dimeteraikan, serta melanggar sumpah
yang diikrarkan.
Sikapnya terhadap kerajaan negeri yang diperintah oleh PAS

  • PN yang merupakan pembangkang bagi mereka, menjadi bukti yang nyata secara khusus sejak zaman-berzaman.

Keadaan ini terjadi kerana kerajaan yang didakwa sebagai Kerajaan Perpaduan, dibentuk daripada kalangan mereka yang bermasalah dan mahu menyelamatkan diri masing-masing. Mereka terdiri daripada mantan banduan, kluster
mahkamah dan bakal yang hendak diselamatkan secara tidak bermoral dan tidak bermaruah. Mereka langsung tidak mempedulikan amaran Allah SWT:

وَمَنْ أَعْرَضَ عَنْ ذِكْرِي فَإِنَّ لَهُ مَعِيشَةً ضَنْكًا وَنَحْشُرُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَعْمَىٰ

قَالَ رَبِّ لِمَ حَشَرْتَنِي أَعْمَىٰ وَقَدْ كُنْتُ بَصِيرًا

قَالَ كَذَٰلِكَ أَتَتْكَ آيَاتُنَا فَنَسِيتَهَا ۖ وَكَذَٰلِكَ الْيَوْمَ تُنْسَىٰ

“Dan sesiapa yang berpaling daripada peringatan-Ku, maka dia akan menjalani kehidupan yang sempit, dan Kami akan menghimpunkannya pada Hari Kiamat dalam keadaan buta. (124)

“Berkatalah dia, ‘Wahai Tuhanku, mengapakah Engkau menghimpunkan aku dalam keadaan buta, padahal aku dahulunya seorang yang celik?’ (125)

Allah berfirman, ‘Demikianlah, telah datang kepadamu ayat-ayat Kami, maka kamu melupakannya, dan begitu (pula) pada hari ini kamu pun dilupakan.’ (126)”
Surah Taha: 124-126

Para ulama’ tafsir menegaskan dalam ayat ini bahawa mereka yang meninggalkan petunjuk Allah akan mengalami bencana kesempitan hidup walaupun berharta dan mempunyai sumber manusia yang cukup.

Negara ditimpa kesusahan dalam keadaan mempunyai sumber yang mencukupi, tetapi tiadanya keberkatan. Negara turut dibebankan dengan masalah kesempitan hidup, masalah tekanan hidup, masalah kemiskinan, inflasi, pengangguran, hutang, masyarakat berpenyakit, dan banyak masalah yang menyusahkan.

Marilah kita laksanakan konsep adil kepada semua di negeri-negeri di bawah kuasa pentadbiran kita, mengikut bidang kuasanya di samping memohon pertolongan dan keampunan daripada Allah SWT.

Firman Allah SWT:

لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا ۚ لَهَا مَا كَسَبَتْ وَعَلَيْهَا مَا اكْتَسَبَتْ ۗ رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَا إِنْ نَسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تَحْمِلْ عَلَيْنَا إِصْرًا كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلْنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِ ۖ وَاعْفُ عَنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَا ۚ أَنْتَ مَوْلَانَا فَانْصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ

“Allah tidak membebani seseorang itu melainkan setakat yang terdaya ditanggung olehnya. Dia mendapat pahala bagi kebaikan yang diusahakannya, begitu juga sebaliknya, dia menerima balasan seksa bagi (kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdoa),’Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau menghukum kami jika kami terlupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan
kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Wahai Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tidak sanggup kami memikulnya. Maafkanlah kami; ampunilah kami; dan rahmatilah kami. Engkaulah Penolong kami, maka tolonglah kami menghadapi kaum yang kafir ini.’”

Surah al-Baqarah: 286

Keadilan kepada bukan Islam

Islam yang menjadi dasar perjuangan PAS telah memberi jaminan keadilan, keamanan dan kesejahteraan hidup untuk semua kaum dan agama di negara ini. PAS berpegang kepada konsep tiada paksaan dalam beragama walaupun Islam berkuasa sepenuhnya.

PAS melalui pemerintahan di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis sudah berjaya membuktikan bahawa kebebasan beragama kepada penganut agama lain tidak dihalang, rumah-rumah ibadat tidak dirobohkan dan kegiatan ekonomi tidak disekat, sehingga orang bukan Islam hidup aman dan sejahtera di bawah pentadbiran PAS dengan diberikan hak kebebasan beragama dan bermasyarakat.

Namun, kejayaan PAS bersama PN mentadbir negeri dianggap negatif kerana PAS beristiqamah berpegang kepada Islam, walaupun PAS berjaya menjadi sebuah parti yang paling berintegriti tanpa rasuah dan penyelewengan mahupun perebutan jawatan dalam pentadbirannya.

Oleh itu, PAS mesti mengekang naratif Islamofobia yang menggunakan jenama ‘Gelombang Hijau’ untuk menakutkan kalangan bukan Islam dan pihak tertentu terhadap prestasi PAS yang berjaya mencapai kerusi terbanyak dalam kalangan semua parti politik, di samping berjaya menawan dan mentadbir beberapa kerajaan negeri.

PAS menerima kerjasama dan persefahaman dengan bukan Islam yang tidak bersifat ekstrem. PAS juga tidak melarang dan membuka jalan kepada mereka untuk mengkaji ilmu Islam, membaca al-Quran dan ilmunya dengan panduan dan kawalan, cumanya Al-Quran tidak boleh diterjemahkan dan ditafsirkan sewenang-wenangnya tanpa ilmu yang berkait dengannya, sama ada penganut Islam ataupun bukan Islam yang mengkaji al-Quran. Semuanya diwajibkan mengikuti ilmu dan disiplinnya.

Kedua: Prihatin

Prihatin bermaksud mengambil berat dan perhatian terhadap sesuatu perkara, khususnya dalam aspek memenuhi tujuan
manusia diciptakan supaya beribadat, berkhilafah (berpolitik mentadbir dengan agama) dan menunaikan amanah (melaksanakan hukum Allah yang adil terhadap semua).

Konsep sekularisme menjadikan sifat prihatin tidak dilaksanakan dalam urusan kehidupan dengan sempurna, kerana berpisah daripada pertimbangan agama yang benar. Hal ini melemahkan sikap prihatin umat Islam terhadap kewajipan yang wajib ditunaikan. Mereka lupa akan soalan yang ditanya melalui firman Allah SWT:

أَفَحَسِبْتُمْ أَنَّمَا خَلَقْنَاكُمْ عَبَثًا وَأَنَّكُمْ إِلَيْنَا لَا تُرْجَعُونَ

“Maka, apakah kamu mengira bahawa Kami menjadikan kamu sia-sia (tanpa tujuan), dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami?
Surah al-Mu’minun: 115

Ayat ini menunjukkan bahawa manusia akan dipertanggungjawabkan atas sebab mereka diciptakan.

Maka, lakukan ibadat dan tegakkan konsepnya dalam seluruh kegiatan kita. Laksanakan politik matang dan sejahtera, dan
mentadbir mengikut hidayah bukan jibayah (kebendaan), serta tegakkan keadilan kepada seluruh manusia.

Firman Allah SWT:

تَبَارَكَ الَّذِي بِيَدِهِ الْمُلْكُ وَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا ۚ وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ

“Maha Suci (serta Maha Tinggi kelebihan) Allah yang menguasai pemerintahan (dunia dan akhirat). Dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. (1)

Dialah yang menjadikan mati dan hidup untuk menguji kamu, siapa antara kamu yang lebih baik amalannya. Dia Maha Berkuasa (membalas amalan kamu) lagi Maha Pengampun (bagi orang yang bertaubat). (2)”
Surah al-Mulk: 1-2

Ayat ini menunjukkan bahawa manusia diuji dalam semua urusan kehidupan beragama dan dunia mengikut petunjuk
agama.

Kita juga perlu membuat muhasabah dan perhitungan yang sewajarnya apabila melihat banyak perkara yang negatif dalam perjalanan pengurusan ekonomi negara. Masih banyak masalah dan penyakit-penyakit yang tidak dapat diselesaikan, seperti masalah kemiskinan, pengangguran, inflasi yang membebankan rakyat, kezaliman dengan bersikap double standard, dan masalah yang menyanggah prinsip Perlembagaan Persekutuan, iaitu federalisme.

Masalah kemiskinan tidak boleh dihapuskan, tetapi boleh diatasi. Islam membahagikan kemiskinan kepada fakir dan miskin. Orang fakir ini yang memerlukan pertolongan, ada yang fakir sepanjang hayat, dan perlu dibantu selama-lamanya. Ada yang boleh dibantu dan boleh dipulihkan, sehingga berubah menjadi miskin dan boleh menjadi kaya. Miskin pula ada yang perlu dibantu, ada yang boleh berdikari. Ini pembahagian yang dibuat oleh Islam dan boleh diurus dengan cara yang baik.

Masalah inflasi dan kenaikan harga barang yang membebankan rakyat tidak diselesaikan secara aulawiyyat (keutamaan). Hari ini keutamaan makanan beras bagi negara perlu diberi penekanan, tetapi tidak diberi penekanan yang bersungguh-sungguh, malah sebaliknya dilihat penekanan dalam perkara yang lain.

Kita juga menghadapi kemungkaran ekonomi yang sangat bejat dan merosakkan perjalanan pentadbiran negara. Rasuah, bocor dan boros, tidak diberikan keutamaan pencegahan dan penyelesaiannya.

Rasuah perlu ditangani dengan bersungguh-sungguh. Islam menentang rasuah dengan sekeras-kerasnya. Rasulullah SAW melaknat dan mengutuk pemberi rasuah, penerima rasuah dan yang mengurus rasuah. Masalah rasuah mestilah diselesaikan dengan sungguh-sungguh secara holistik dan adil, bukan secara zalim. Kita tahu di sana ada orang yang dizalimi. Islam meletakkan yang dituduh tidak bersalah, tetapi mesti dibicarakan sampai habis.

PAS juga mesti memposisikan lebih ramai pimpinan yang berani membahaskan polisi dan dasar kerajaan serta menjuarai isu yang dekat di hati rakyat. Penggunaan medium yang berkesan amat penting dalam aspek penerangan supaya mencapai sasaran orang awam dan rentas parti.

Wakil rakyat PAS perlu memainkan peranan yang sangat penting bagi memastikan sokongan rakyat terus bersama Perikatan Nasional. Prestasi wakil rakyat adalah faktor terpenting dalam memastikan kerusi yang dimenangi sekarang terus kekal dalam PRU-16 nanti. Turun ke lapangan, dekati masyarakat dan memperjuangkan nasib mereka yang dipinggirkan, di samping terus memberikan pendidikan dan kesedaran setiap masa.

Di samping berkebajikan kepada rakyat di kawasan, jangan dikesampingkan peranan hakiki seorang wakil rakyat sebagai penggubal undang-undang (ahli legislatif) di Parlimen dan DUN, bagi merangka, membahas, dan melaksanakan segala dasar dan polisi ke arah mewujudkan sebuah pemerintahan yang tertegak di dalamnya nilai-nilai dan syariat Islam.

Ketiga: Berkebajikan

Berkebajikan bermaksud sesuatu yang membawa kebaikan yang bersifat menyeluruh dalam segala aspek mengikut kesempurnaan Islam.

Konsep berkebajikan lebih lengkap daripada istilah Welfare State dalam negara sekular yang terbatas dengan hanya bantuan kebajikan berbentuk kebendaan sesama manusia sahaja. Adapun berkebajikan mengikut takrif Islam itu merangkumi segala aspek kehidupan manusia yang meliputi hubungannya dengan Allah SWT dan makhluk.

Berkebajikan merangkumi semua aspek, sama ada aspek aqidah yang mempunyai hubungan dengan Allah, mahupun aspek sosial seperti kehidupan berkeluarga dan bermasyarakat. Malah, ia juga melibatkan hubungan antara rohani dan kebendaan, seperti yang dinyatakan oleh firman Allah SWT:

لَيْسَ الْبِرَّ أَنْ تُوَلُّوا وُجُوهَكُمْ قِبَلَ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ وَلَٰكِنَّ الْبِرَّ مَنْ آمَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَالْمَلَائِكَةِ وَالْكِتَابِ وَالنَّبِيِّينَ وَآتَى الْمَالَ عَلَىٰ حُبِّهِ ذَوِي الْقُرْبَىٰ وَالْيَتَامَىٰ وَالْمَسَاكِينَ وَابْنَ السَّبِيلِ وَالسَّائِلِينَ وَفِي الرِّقَابِ وَأَقَامَ الصَّلَاةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَالْمُوفُونَ بِعَهْدِهِمْ إِذَا عَاهَدُوا ۖ وَالصَّابِرِينَ فِي الْبَأْسَاءِ وَالضَّرَّاءِ وَحِينَ الْبَأْسِ ۗ أُولَٰئِكَ الَّذِينَ صَدَقُوا ۖ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُتَّقُونَ

“Kebajikan itu bukanlah menghadapkan wajahmu ke timur dan ke barat, tetapi sesungguhnya kebajikan itu ialah beriman dengan Allah, hari kemudian, para malaikat, kitab-kitab, para Nabi dan memberikan harta yang dicintainya kepada kerabatnya, anak-anak yatim, orang miskin, musafir (yang memerlukan pertolongan), orang yang meminta-minta; dan (memerdekakan) hamba sahaya, mendirikan solat dan menunaikan zakat; dan orang-orang yang menepati janjinya apabila dia berjanji, dan orang-orang yang sabar dalam kesempitan, penderitaan dan dalam perjuangan. Mereka itulah orang-orang yang benar (imannya); dan mereka itulah orang-orang yang bertaqwa.”
Surah al-Baqarah: 177

Pelaksanaan yang sempurna dalam segala aspek tidak boleh dipisahkan laksana mata rantai yang tidak putus antara satu sama lain.

Parti Memandu Kerajaan

PAS wajib menjadi parti yang memandu kerajaan negeri yang kita tadbir secara berjemaah, bagi mengisi kemenangan yang
lebih mencabar.

Walaupun kita tidak mempunyai kepimpinan yang boleh dibandingkan dengan peribadi Rasulullah SAW yang tiada bandingannya, begitu juga para Khulafa’ al-Rasyidin, ulama’ yang mujtahid, dan para ilmuwan profesional yang paling tinggi kepakarannya. Akan tetapi, kita mempunyai petunjuk ilmu daripada kitab Allah yang dipelihara, hikmah Sunnah Rasul yang dijaga dan sejarah Hadarah Islamiah yang kaya. Semua itu merupakan sumber ilmu yang melimpah di samping dikurniakan tenaga umat yang cukup ramai.

PAS yang mempunyai ahli yang mencecah lebih sejuta perlu mengumpulkan kekuatan para ulama’, ilmuwan dan teknokratnya secara sistematik, termasuk bekas menteri yang kini bersama kita, bagi menggali ilmu daripada sumber Islam
yang kaya, dan mengamalkan dalam segenap kehidupan termasuk pentadbiran negeri dan negara.

PAS juga hendaklah terus beristiqamah dengan teguh di atas prinsip Islam yang sempurna dalam perkara rukun dan hukum yang ditetapkan tanpa berubah (thawabit) dan mampu mentarjihkan pandangan terdahulu dengan bertafaqquh, serta mampu berijtihad dalam masalah semasa yang baru muncul yang tidak ada pada zaman dahulu (mutaghayyirat).

Kita mempunyai kitab-kitab turath kajian ulama’ terdahulu dalam segala lapangan, di samping kajian-kajian terkini oleh
para ilmuwan yang berwibawa.

Jadi, marilah kita bersatu dan berpakat dalam titik persamaan dan bertasamuh dalam berkhilaf mengikut adab ikhtilaf yang diamalkan oleh generasi awal umat Islam.

Sabda Rasulullah SAW:

خَيْرُكُمْ قَرْنِِي، ثُمَُّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ، ثُمَُّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ.

“Sebaik-baik generasi adalah abadku, kemudian yang berikutnya, kemudian yang berikutnya.”
Muttafaq ‘Alayh: Al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab al-Riqaq, No. 2508, dan Muslim, Sahih Muslim, Kitab Fada’il al-Sahabah, No. 2535, daripada ‘Imran bin Husain

Dalam usaha menyatukan kekuatan di empat buah negeri yang ditadbir oleh PAS dan PN, maka diwujudkan suatu blok kerjasama rentas negeri melibatkan Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis, yang dinamakan “SG4”.

Bidang kerjasama yang telah dikenal pasti meliputi aspek pelaburan, pertanian, pendidikan, pelancongan dan pembangunan mineral, melibatkan perkongsian modal, sumber, dan kepakaran dalam kalangan anak tempatan.

Penghormatan diberikan kepada Yang Amat Berbahagia Tun. Dr. Mahathir Mohamad sebagai ‘Penasihat Kehormat’ SG4 ini, di samping menjadi jambatan dan pintu gerbang kepada pelabur dalam dan luar negara, ditambah dengan panduan dan bimbingan berterusan oleh YB Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi PN, kedua-duanya adalah mantan Perdana Menteri yang mempunyai pengalaman dan jaringan berharga.

Di peringkat parti, PAS juga mempunyai Majlis Penasihat Kerajaan Negeri yang akan bertindak sebagai badan pemantau atau pemerhati bertaraf Hisbah terhadap perjalanan pentadbiran Kerajaan, Menteri Besar dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Mengisi Kemenangan

Kaedah untuk mengisi kemenangan telah dihuraikan dalam ayat yang menyatakan ciri-ciri sebuah kerajaan yang berkuasa. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT:

الَّذِينَ إِنْ مَكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنْكَرِ ۗ وَلِلَّهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ

“(Mereka itu) orang-orang (Islam) yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi, nescaya mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat ma‘ruf dan mencegah daripada perbuatan yang mungkar. Dan ingatlah kepada Allah jua kembali segala urusan.”
Surah al-Hajj: 41

Ciri-ciri tersebut ialah:

  1. Bersifat rabbani, yakni sentiasa berhubung dengan Allah dengan mendirikan solat.
  2. Menegakkan ekonomi yang adil bertonggak kepada zakat, diikuti dengan muamalat ekonomi yang lebih luas dalam masyarakat majmuk di bawah pentadbiran Islam.
  3. Melaksanakan amar ma‘ruf (berkebajikan) dengan makna yang luas dalam seluruh cara hidup.
  4. Melaksanakan nahi munkar dengan mendaulatkan syariat yang mendidik dan mempunyai kehebatan.

Amar ma‘ruf dan nahi munkar menjadi tonggak kepada kedaulatan negara. Kedua-duanya merupakan aspek yang tidak boleh berpisah. Maka, kumpulan yang memisahkannya atau tidak menyempurnakannya adalah tidak memenuhi sifat kumpulan Islam dan tidak memenuhi sifat sebuah negara Islam.

Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ ۚ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ

“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhan dan janganlah kamu turuti langkah-langkah syaitan! Sesungguhnya, syaitan itu musuh yang nyata bagi kamu.”
Surah al-Baqarah: 208

Perkasakan PAD Dan PN

Perkasakan jemaah PAS ini berlandaskan prinsip istiqamah di atas aqidah perjuangan. Tempuhi perjalanan ini dengan penuh
kebijaksanaan dalam menghadapi cabaran bagi mengisi kemenangan tersebut, seterusnya melangkah ke hadapan untuk mencapai kemenangan yang lebih besar dan sempurna, seperti yang dijanjikan oleh Allah SWT apabila memenuhi syarat-syarat kemenangan.

Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اصْبِرُوا وَصَابِرُوا وَرَابِطُوا وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

“Wahai orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara kebajikan) dan kuatkanlah kesabaranmu (lebih daripada kesabaran musuh di medan perjuangan), serta tetaplah bersiap siaga (dengan kekuatan pertahanan di perbatasan negerimu) dan bertaqwalah kepada Allah, mudah-mudahan kamu berjaya (mencapai kemenangan).”
Surah Ali ‘Imran: 200

Ciri-ciri kemenangan yang disebutkan dalam ayat al-Quran ini ialah beriman, bersabar menghadapi ujian terhadap diri, bersabar menghadapi musuh dan melaksanakan tugas (ribat) di tempat dan lapangan masing-masing, serta bertaqwa kepada Allah. Selain itu, wajib taat dan wala’ kepada jemaah.

Firman Allah SWT:

إِنَّمَا وَلِيُّكُمُ اللَّهُ وَرَسُولُهُ وَالَّذِينَ آمَنُوا الَّذِينَ يُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَهُمْ رَاكِعُونَ

وَمَنْ يَتَوَلَّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَالَّذِينَ آمَنُوا فَإِنَّ حِزْبَ اللَّهِ هُمُ الْغَالِبُونَ

“Sesungguhnya, penolong kamu hanyalah Allah, Rasul-Nya, dan orang-orang yang beriman, mereka mendirikan solat dan menunaikan zakat, seraya mereka tunduk (kepada Allah). (55)

Dan sesiapa yang menjadikan Allah, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman sebagai penolong, maka sesungguhnya golongan (parti) yang menegakkan (agama) Allah itulah yang tetap menang. (56)”
Surah al-Ma’idah: 55-56

Wala’ kepada Allah dan Rasul wajib diberikan secara mutlak, manakala wala’ kepada para pemimpin diberikan kepada pemimpin yang beriman dan beramal soleh, berpandukan baiah generasi awal di hadapan Rasulullah SAW yang bersabda:

تبَُايِعُونِِي عَلَى السَّمْعِ وَالطَّاعَةِ فِِي النَّشَاطِ وَالْكَسَلِ، وَالنَّفَقَةِ فِِيالْعُسْرِ وَالْيُسْرِ، وَعَلَى الْْأَمْرِ بِِالْمَعْرُوفِ، وَالنَّهْيِ عَنِ الْمُنْكَرِ،وَأَنْ تَقُولُوا فِِي اللهِ، لََا تََخَافُونَ فِِي اللهِ لَوْمَةَ لََائِمٍ، وَعَلَى أَنْتَنْصُرُونِِي، فَتَمْنَعُونِِي إِذَا قَدِمْتُ عَلَيْكُمْ مِِمَّا تََمْنَعُونَ مِنْهُ أَنْفُسَكُمْ،وَأَزْوَاجَكُمْ، وَأَبْنَاءكَُمْ، وَلَكُمُ الْجَْنَّةُ.

“Berbaiahlah (berjanji taat setia) kalian kepadaku untuk mematuhi perintah atau arahan di masa cergas atau malas. Memberi sumbangan harta di masa senang dan susah. Melaksanakan amar ma‘ruf dan nahi munkar. Menegakkan perintah Allah tanpa peduli celaan orang. Menolong aku apabila aku tiba ke negeri kamu, dan mempertahankan aku daripada musuh sepertimana kamu mempertahankan diri kamu, isteri-isteri kamu dan anak-anak kamu, nescaya Allah menjanjikan syurga kepada kamu.”
Ahmad, Musnad Ahmad, Musnad al-Mukthirin min al-Sahabah, No. 14456, dan Ibn Hibban, Sahih Ibn Hibban, Kitab al-Tarikh, No. 6274, daripada Jabir bin ‘Abdillah

Allah SWT menyelamatkan jemaah parti ini apabila mereka yang tidak wala’ dicampak keluar atau melompat sendiri keluar
kerana kepanasan dengan kebatilannya.

Saya juga berpesan supaya jangan bersikap memilih untuk memberi ketaatan kepada arahan parti kerana penyakit ini boleh menjadi penghalang kepada kemenangan dan menyukarkan tugas mengisi kemenangan.

Program pemerkasaan pentarbiahan syakhsiah dan jati diri pemimpin dan ahli adalah amat penting bagi memudahkan perjalanan parti dalam mencapai kemenangan dan mengisi kemenangan.

Pemimpin dan ahli mesti mendalami ilmu Islam secara tafaqquh fi al-din (berilmu dan bijak memahaminya), mengamalkan ajaran Islam dengan sempurna, faham dan tidak tenggelam dalam perbahasan furu‘ (perkara cabang) yang mencetuskan masalah khilafiah (pertelingkahan) sehingga menimbulkan bibit-bibit perpecahan dalam parti dan masyarakat.

Adapun PAS masih beristiqamah dengan Islam yang satu, teguh berprinsip dan mampu menghadapi cabaran dan situasi yang berubah, tanpa terpengaruh dan menumpang jenama teori lain yang dipecahkan kepada ortodoks, konservatif, liberal, ekstrem dan lain-lain, menurut firman Allah:

وَأَنَّ هَٰذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ ۖ وَلَا تَتَّبِعُوا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَنْ سَبِيلِهِ ۚ ذَٰلِكُمْ وَصَّاكُمْ بِهِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

“Dan bahawa sesungguhnya (yang Kami perintahkan) inilah jalan-Ku yang lurus, maka hendaklah kamu menurutinya. Dan janganlah kamu menuruti jalan-jalan (yang lain daripada Islam), kerana jalan-jalan (yang lain) itu menceraiberaikan kamu dari jalan-Nya (yang sebenar). Yang demikian itu diperintahkan Allah agar kamu bertaqwa.”
Surah al-An‘am: 153

Umat Islam diharamkan berwala’ kepada golongan bukan Islam. Akan tetapi, diizinkan kerjasama bertahaluf dan lain-lain tanpa melanggar prinsip dan sempadan perjuangan Islam.

Antara dalilnya ialah firman Allah SWT:

لَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ

إِنَّمَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ قَاتَلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَأَخْرَجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ وَظَاهَرُوا عَلَىٰ إِخْرَاجِكُمْ أَنْ تَوَلَّوْهُمْ ۚ وَمَنْ يَتَوَلَّهُمْ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ

“Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang yang tidak memerangimu dalam urusan agama (kamu) dan tidak mengusir kamu dari kampung halamanmu. Sesungguhnya, Allah menyukai orang yang berlaku adil. (8)

Sesungguhnya, Allah hanya melarang kamu daripada menjadikan orang yang memerangimu dalam urusan agama (kamu) dan mengusir kamu dari kampung halamanmu, serta membantu (orang lain) untuk mengusirmu sebagai teman rapat. Dan sesiapa yang menjadikan mereka sebagai teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. (9)”
Surah al-Mumtahanah: 8-9

PAS akan meneruskan agenda penyatuan ummah untuk menyatukan umat Islam dan bersama orang bukan Islam yang tidak ekstrem, demi kestabilan dan keharmonian negara. PAS berusaha menyantuni pelbagai kaum dan tidak pernah mengesampingkan slogan ISLAM UNTUK SEMUA (Islam For All).

PAS bersama Perikatan Nasional mesti berpegang teguh dengan imej bersih dan mesti dilihat bersih, wibawa dan inklusif. PN yang menjadi pilihan rakyat mesti dilihat berbeza dengan PH-BN yang cakap tidak serupa bikin.

Pada masa sama, kerjasama PAS dalam gabungan Perikatan Nasional akan terus diperkasakan. Tumpuan perlu diberikan pada aspek pengukuhan organisasi dan keserasian jentera di peringkat negeri dan kawasan, khususnya rakan-rakan dalam PN perlu menumpukan kepada penambahan ahli yang ramai dan cawangan yang banyak. Tanggungjawab menarik sokongan undi bukan Islam dan memberikan penerangan kepada mereka tentang jaminan keadilan dan keharmonian dalam pemerintahan kerajaan PN juga perlu dilaksanakan khususnya oleh rakan-rakan daripada Gerakan.

Di samping itu, program tarbiah, kerohanian, kepimpinan dan kemasyarakatan secara bersama dilaksanakan bagi mengukuhkan lagi ikatan kerjasama yang sedia terjalin ini. Semoga abadi, insya-Allah.

Aktifkan Jentera

Semua sayap parti hendaklah terus berperanan di tempat masing-masing mengikut pembahagian Dewan Ulamak, Muslimat, Pemuda, Dewan Himpunan Pendukung PAS, bahkan Sidang Al-Sabiqun yang tidak bersara daripada perjuangan.

Peranan pentadbiran PAS di peringkat pusat, negeri sehingga cawangan perlu dimuhasabah setiap masa. Apabila menghadapi plilihan raya, dapat dirasakan betapa perlunya semua peringkat berperanan mentadbir urusan dengan baik.

Kita merasakan betapa cawangan yang lemah tidak mampu menggerakkan jentera pilihan raya dengan berkesan walaupun bantuan datang bertubi-tubi. Begitu juga apabila berlaku bencana yang memerlukan bantuan kebajikan. Maka, usaha menambah keahlian dan cawangan baharu perlu digerakkan secara agresif dan tersusun bagi melebarkan pengaruh PAS dalam kalangan masyarakat.

Peranan sayap parti, jabatan dan semua lajnah perlu digerakkan secara berterusan, bukan bermusim, sehingga dapat dikerahkan bila-bila masa sahaja. Syabas kepada Badan Perhubungan PAS Negeri Kedah yang menjadi negeri terawal melancarkan Tabung Dana PRU-16 pada Konvensyen PAS Negeri, yang saya hadiri baru-baru ini.

Justeru itu, semua anggota parti hendaklah terus menggerakkan program tarbiah, penerangan, gerakan politik semasa, persediaan menghadapi pilihan raya dan kebajikan. Kewajipan amar ma‘ruf dan nahi munkar harus dilaksanakan dalam semua aspek dan keadaan tanpa menunggu adanya kuasa negeri dan negara, sama ada dengan tangan (berkuasa), lidah dan tulisan (sebagai pembangkang), dengan tetap menunjukkan sikap sepanjang masa dan situasi. Ini merupakan perkara yang terpenting.

Firman Allah SWT:

وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ ۚ يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَيُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَيُطِيعُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ ۚ أُولَٰئِكَ سَيَرْحَمُهُمُ اللَّهُ ۗ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

“Dan orang yang beriman lelaki dan perempuan, sebahagian mereka menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang ma‘ruf, dan mencegah daripada yang mungkar, mereka mendirikan solat, menunaikan zakat serta taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”
Surah al-Tawbah: 71

Arahan Dan Tindakan

  1. Memiliki kefahaman yang jelas dan menyeluruh terhadap tema ‘Adil, Prihatin dan Berkebajikan’.
  2. Menumpukan aspek taqarrub (mendekatkan diri kepada Allah), tafaqquh (mendalami ilmu agama secara amanah dan mendalami ilmu fardhu kifayah), ikhlas dan ukhuwwah dalam program tarbiah ahli dan pimpinan.
  3. Memperkemaskan sistem pentadbiran organisasi secara lebih sistematik dan efisien di semua peringkat.
  4. Membangunkan potensi para ulama’ melalui manhaj tafaqquh fi al-din dalam pelbagai ilmu dan mengharmonikan sebarang khilaf yang berlaku.
  5. Menjuarai isu rakyat dengan berkesan, melalui sayap Pemuda, Muslimat dan DHPP untuk menguasai sokongan anak muda dalam melakukan perubahan.
  6. Memperkasa dan mempelbagaikan program kebajikan dan kemasyarakatan, di samping Muslimat memainkan peranan utama dalam isu wanita dan keluarga.
  7. Menggerakkan agenda perpaduan nasional melalui kerangka perpaduan ummah dan slogan ‘Islam For All’ khususnya bagi mendekati golongan bukan Islam.
  8. Memastikan seluruh wakil rakyat benar-benar bekerja untuk rakyat, di samping berperanan membawa pembangunan serta menggubal dasar negeri mahupun negara.
  9. Memberi keutamaan ke arah penyediaan dan pembinaan generasi pelapis kepimpinan di peringkat parti dan kerajaan (Exco dan DUN).
  10. Memulakan persiapan jentera pilihan raya dan mengukuhkan gerak kerja penerangan merentas segmen masyarakat bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16, yang pastinya kita berada dalam keadaan yang lebih mencabar, apabila dikepung kiri dan kanan.

Dunia Islam Diancam

PAS yang membawa risalah Islam sejagat, tidak berpisah daripada semua isu dalam dunia kini, sama ada di peringkat nasional atau dunia antarabangsa, melibatkan aspek ekonomi, pendidikan, sehinggalah alam sekitar yang mengancam kehidupan manusia kerana meninggalkan Islam yang sempurna.

Firman Allah SWT:

ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُمْ بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ

“Telah berlaku pelbagai kerosakan di darat dan di laut disebabkan oleh perbuatan tangan manusia, (berlaku sedemikian) kerana Allah menghendaki agar mereka merasakan sebahagian daripada (akibat) perbuatan buruk mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).”
Surah al-Rum: 41

Peranan Islam menjadi penyelamat perlu dikembalikan bagi menghadapi kegagalan agama, ideologi politik, teori ekonomi, pendidikan dan sosial. Walaupun umat Islam difitnah dengan Islamofobia, namun ternyata kekebalan ajarannya tidak boleh dipadamkan. Maka, tegakkanlah Islam di mana bumi tempat kita berpijak.

PAS ialah satu jasad dengan perjuangan Islam di seluruh pelosok dunia. Maka, PAS hendaklah terus memberi perhatian terhadap masalah Palestin yang belum bebas. Terkini Harakah al-Muqawamah al-Islamiyyah (Hamas) telah melancarkan operasi Taufan al-Aqsa, ia merupakan salah satu daripada hari-hari Allah ( أيام الله ) yang membuktikan kebenaran firman-Nya apabila benteng pertahanan negara haram Israel berjaya ditembusi.

Kejadian itu berlaku walaupun rejim Zionis Israel merasa angkuh dengan slogan “tenteranya tidak mungkin dikalahkan” disebabkan bantuan negara kuasa besar yang bertali arus tanpa menghiraukan undang-undang perang antarabangsa. Mereka lupa bahawa di sana, ada janji Allah yang benar.

Operasi Taufan al-Aqsa memberikan peringatan kepada pemimpin negara Arab dan Islam yang bersikap menyerah kalah dengan menerima cadangan normalisasi dan penyelesaian dua negara (two-state solution) yang menjadi permainan Zionis dan sekutunya. Maka umat Islam wajib bersatu bersama Palestin bagi menghadapi kaum Yahudi yang sebenarnya pengecut.

PAS akan terus memberikan perhatian terhadap masalah umat Islam yang ditindas di seluruh penjuru dunia dan campur
tangan asing di banyak negara umat Islam di Afrika dan Asia. PAS akan meletakkan keutamaan untuk menjadi penggerak bagi mengangkat agenda penyatuan ummah di Rantau Asia Tenggara dan dunia Islam.

Dalam urusan dasar luar negara, Malaysia disarankan terus mengambil sikap tegas dan berani, serta tidak memihak kepada kuasa besar, terus menjuarai isu-isu negara umat Islam supaya Malaysia disegani oleh rakan di mata dunia. Letakkan keutamaan kerjasama serantau daripada kalangan negara-negara Asia Tenggara (ASEAN), kerjasama negara-negara Islam (OIC) dan negara-negara berkecuali (NAM) terlebih dahulu. Namun, hubungan dengan semua negara tidak diputuskan, mengikut kebijaksanaan agar tidak terikat dan sangat bergantung dengan kuasa besar dunia.

Seruan Penyatuan Ummah

PAS konsisten mengajak semua pihak sama ada parti politik, NGO-NGO dan tokoh-tokoh masyarakat untuk memperkukuhkan perpaduan ummah, disatukan orang Melayu Islam dan diajak orang bukan Islam yang tidak ekstrem, mengikut acuan Sirah Rasulullah SAW. Bila umat Islam lemah, kita akan hilang kekuatan. Bila kita tidak bersatu, kepentingan orang Melayu Islam semakin hari semakin dipijak dan hak keistimewaan agama Islam dan hak orang Melayu dan bumiputera semakin dicabar.

Seruan penyatuan ummah ini tidak menjejaskan hak orang bukan Melayu dan bukan Islam, bahkan kita akan terus memelihara kebebasan beragama dan memberikan keadilan sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kita wajib menjaga perpaduan ummah yang sedang dibina hari ini. Jangan wujud sebarang perpecahan supaya kita tidak menjadi laksana lesung dan alu berlaga, ayam pula yang kenyang.

Kita sudah berjaya menarik sokongan pengundi Melayu Islam dalam PRU-15, maka usaha yang penting dan berat yang
mesti dilakukan adalah menarik sokongan pengundi bukan Islam dan bukan Melayu dalam PRU-16. Perkara ini penting untuk dibincangkan dan dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh, tersusun dan bijaksana.

Penutup

Akhirnya, saya mengucapkan jutaan terima kasih dan setinggi penghargaan kepada Panitia Muktamar yang dikendalikan
oleh pasukan Setiausaha Agung dan Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan, termasuklah kejayaan melaksanakan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan-Kawasan, Dewan-Dewan dan Cawangan- Cawangan.

Marilah kita memperkukuhkan saf perjuangan dengan agenda tarbiyyah yang dilaksanakan di setiap peringkat, seterusnya kita melebarkan pengaruh parti dan kepimpinan dalam masyarakat dengan agenda dakwah dan politik. Semoga segala usaha ini diterima oleh Allah sebagai amal yang soleh.

Dengan ini, saya merasmikan Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-69 dengan menyebut sabda Rasulullah SAW:
سيروا على بركة الله،
الله أكبر! الله أكبر! الله أكبر! ولله الحمد.

“ADIL, PRIHATIN DAN BERKEBAJIKAN”
ABDUL HADI AWANG
PRESIDEN PAS

PAS