PAS adalah parti politik, dakwah, kebajikan dan sebuah gerakan Islam yang kontemporari – yang bergerak mengikut undang-undang dan perlembagaan Malaysia.
Selain telah menonjolkan keupayaan PAS mentadbir negeri-negeri miskin, PAS juga telah memperlihatkan keupayaan besar dalam mengurustadbir dalam bidang pendidikan, kebajikan, komunikasi dan teknologi – mengikut kemampuan dan kuasa yang terhad dalam lingkungan sebuah parti politik.
Kejayaan-kejayaan kecil ini membuatkan orang-orang yang waras dan bijaksana akan melihat bahawa PAS akan berpotensi besar membawa negara ke arah yang lebih baik, maju dan canggih menggunakan acuan kemajuan yang berbeza dengan kemajuan yang difahami pemuka-pemuka sekular dan prejudis.
Banyak produk-produk PAS yang berlegar dalam parti sebenarnya telah diterima manfaatnya oleh rakyat yang ahli dan bukan ahli di luar parti – jika idea-idea dalaman parti PAS ini di bawa ke peringkat negara untuk diaplikasi kepada negara, pasti negara kita akan dapat melihat pertumbuhan-pertumbuhan segar dan unik dalam pelbagai sektor ekonomi, sosial, teknologi, keewangan dan sebagainya.
Itu baharu idea-idea kecil. Jika idea-idea besar diberi perhatian dengan kuasa yang besar, pastilah kita akan melihat kejayaan negara dalam suasana yang berbeza dengan kefahaman mereka yang terlalu terpengaruh dengan kemajuan ala Barat dan didikan filem-filem Hollywood.
Idea-idea besar yang cuba diterjemahkan dalam pentadbiran negeri pun akhirnya tersekat dek kuasa kerajaan pusat yang dikawal oleh mereka yang dengki, pendendam, tatakelaut dan kakistokrat – apabila idea itu bertembung dengan kuasa pusat.
PAS dikatakan parti lebai, parti kampung yang tak reti mentadbir, tak canggih dan sebagainya – sebagai propaganda untuk memburukkan PAS daripada dikenali dan diterima oleh rakyat.
Hakikatnya, PAS adalah parti politik yang paling sistematik, paling canggih dan paling fokus – serta diperkukuh oleh jiwa-jiwa yang ikhlas dan wala’.
Dengan semakin ramai anak-anak muda dalam kelas professional dan ulamak bergandingan mengemudi PAS untuk mentadbir negara kelak, PAS akan terus mara dengan produk-produk yang lebih ampuh untuk membuka mata rakyat bahawa PAS sudah bersedia mentadbir negara dengan jauh lebih baik berbanding parti-parti tatakelaut hari ini.
Saya turut mahu melihat selepas ini PAS berjaya melangkah memiliki dan mengurus syarikat telekomunikasi setanding dengan Celcom/Digi sebagai upgrade kepada produk SMARTPAS.
Dan beberapa produk dikembangkan menjadi lebih besar dan nasional seperti kor Medik dan Penyelamat dalam Jabatan Amal, menasionalkan SRITI dan SMITI, dan seterunya membangunkan Universiti swasta di bawah kelolaan PAS secara terus – yang menawarkan kursus-kursus profesional dalam bidang kejuruteraan, perubatan, multimedia, IT, pertanian, ekonomi dan sebagainya.
Oitt… baru baca berita PAS lancar Apps kutip duit derma… kamu dah jauh berkhayal untuk PAS buat itu dan ini yang besar-besar.
Semua benda besar yang kita nikmati hari ini sememangnya bermula dengan cita-cita orang terdahulu.
Bahkan cita-cita itu percuma.
Dengan app MyOnePas kelak, mungkin boleh menjadikan cita-cita besar direalisasikan kelak.
Oleh: Dr Tanaka Mustafa