Perbahasan ucapan dasar bertujuan bagi parti dan ahlinya untuk bermuhasabah serta meneguhkan parti supaya beristiqamah.
Ucapan dasar yang memuhasabah parti supaya kepimpinan dan ahli tidak tergelincir daripada dasar perjuangan dan sampai ke hala tuju yang diredai Allah SWT.
Tema ucapan dasar adalah adil, prihatin dan berkebajikan yang bertujuan bagi mengisi kemenangan setelah kita mencapai kemenangan di empat negeri, menjadi parti yang ramai ahli di Parlimen, yang boleh memerintah bila-bila masa sahaja insya-Allah.
Tema ini juga dicadangkan menjadi tema kepada empat buah negeri yang diperintah PAS.
Kita melihat di Palestin berlakunya penyatuan ummah apabila Hamas dan Tanzim Jihad daripada kalangan Sunni dan Hizbullah daripada kalangan Syiah berpadu menghadapi Israel yang mendapat sokongan barat yang kini menjadi pakatan Ahzab moden.
Kita juga membawa konsep parti menguasai kerajaan yang sebenarnya terdapat dalam perlembagaan.
Bagi melicinkan perjalanan parti, PAS membuat keputusan menubuhkan jawatankuasa pemandu yang dianggotai pimpinan PAS Pusat dan tokoh-tokoh terpilih untuk memandu kerajaan negeri.
Parti juga mesti membantu kerajaan.
Di sini peranan cawangan-cawangan bagi membantu bukan sahaja parti malahan juga kerajaan.
Saya juga mengulangi pesanan daripada Mursyidul Am, pemimpin mesti rapat dengan ulama’ yang menasihatinya.
Ulama’ pula jangan jadi pengampu.
Pada hari ini, kita menghadapi kezaliman yang melemahkan syariat.
Syariat Allah tidak boleh dicabar.
Ada kalangan yang mencabar Allah, rasul, raja-raja dan umat Islam.
Ini tidak boleh dibiarkan.
Kita wajib bangkit menentang usaha-usaha yang menyerang syariat ini.
Inilah 3R yang sebenar.
Saya cabar kerajaan PH berani bertindak terhadap mereka ini.
Saya ucapkan terima kasih kepada semua yang telah menjalani muktamar dengan sebaik-baiknya.
Seeru ‘ala barakatillah.
Haji Abdul Hadi Awang
Presiden PAS