Kenapa PAS Selalu Berjaya Berhimpun Besar-Besaran?

Kenapa PAS Selalu Berjaya Berhimpun Besar-Besaran?

Semestinya ramai orang merasa pelik apabila PAS mahu mengadakan perhimpunan yang menggerakkan rakyat, walau dalam waktu yang singkat seruan dibuat, PAS tetap berjaya mengumpul ribuan penyokong mereka.

Entah dari mana datangnya, sentiasa tidak akan mati himpunan itu disebabkan ketiadaan peserta.

Pasti akan ramai ahli PAS yang hadir.

Semangat mereka datang dengan perbelanjaan sendiri, tanpa diupah.

Terkadang mencetak sendiri baju-baju berkaitan program.

Ada yang dijual dengan harga yang rendah bagi sama-sama memakainya.

Tidak terkecuali juga ada pihak luar yang mengambil kesempatan turut mencetak dan menjual baju jika program itu dijangka besar sambutannya dan mempunyai masa yang cukup bagi persiapan.

Walaupun difitnah menerima upah nasi bungkus, duit atau baju sehelai, ahli PAS tidak mempedulikan semua itu.

Waktu PAS bersama dengan parti politik lain, yang menghidupkan suasana program himpunan majoritinya adalah ahli PAS.

Ahli lain biasanya datang tidaklah ramai, sekadar memeriahkan.

Namun yang menganjur, membuat persiapan, menjaga lalulintas, menjaga perarakan, menjaga disiplin peserta, tidak lain tidak bukan, ahli PAS yang megah dengan kekuatan Jabatan Amal, Dewan Pemuda, Ameerah, Dewan Muslimat, Dewan Ulamak dan banyak lagi sayap atau unit dalam PAS yang sentiasa bersedia membantu kelancaran program dengan memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa.

Beberapa kali Jabatan Amal diberikan kepercayaan oleh pihak berkuasa untuk bersama mereka melicinkan acara.

Tidak dinafikan yang ada juga sesekali perhimpunan tidak mendapat sambutan, itu biasa.

Kadang kala, PAS menarik diri daripada perhimpunan apabila PAS digunakan sebagai perisai tetapi perhimpunan itu berjalan di luar kehendak agama.

PAS tegas dengan matlamat dan cara perhimpunan dijalankan.

Mengambil contoh himpunan Bersih yang beberapa kali diadakan sewaktu PAS bersama dengan beberapa parti pembangkang dalan Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat, perhimpunan itu menjadi meriah dan besar kerana ahli PAS yang ramai turun.

Setelah PAS dibuang dengan jahatnya oleh parti yang dianggap rakan politik yang kemudian bertukar menjadi musuh kerana mahu memecat dan memfitnah Tan Sri Khalid Ibrahim dari jawatan MB Selangor, himpunan Bersih kemudiannya menjadi sehambar-hambarnya.

Apa sahaja cubaan mereka untuk memperkasakan himpunan itu, gagal kerana ketiadaan ahli PAS yang sanggup turun secara sukarela walaupun dari hujung negara.

Dan apabila PAS mengadakan himpunan ungu RUU355 di Padang Merbuk, mata-mata musuh PAS terbeliak melihat betapa ramainya ahli PAS yang hadir apabila diseru untuk turun.

Ia sekali lagi berlaku himpunan yang lebih besar iaitu Himpunan Sejuta Ummah di Pantai Tok Jembal, Kuala Nerus, Terengganu.

Banyak lagi senarai himpunan mega anjuran PAS.

Paling menarik, seusai program, semua sampah sarap dan apa sahaja yang tidak bagus kepada masyarakat, segera dibuang dan diperbetulkan oleh siapa lagi jika bukan skuad emas kebanggaan PAS, Jabatan Amal.

Semua ini boleh direalisasikan oleh ahli PAS kerana mereka ikhlas dalam menyertai semua perhimpunan ini bagi memartabatkan agama.

Mereka berkeyakinan pimpinan mereka berusaha sebaik mungkin bagi menjulang Islam.

Adakalanya pimpinan PAS berjuang di Parlimen, Di Dun-Dun, di forum-forum bagi memahamkan masyarakat tentang Islam.

Tidak terkecuali sesekali pimpinan PAS terpaksa turun ke jalanan bagi menunjukkan sikap mereka terhadap sesuatu isu yang berlaku.

Ketika ini, ahli-ahli PAS akan bersama-sama kepimpinan bagi menyokong perjuangan mereka.

Tidak perlulah memfitnah ahli PAS menerima upah kerana ia tidak lebih mengesahkan kedangkalan diri sendiri.

Ini kerana semua parti pernah bersama PAS dalam perhimpunan dan mereka sangat tahu, tiada apa-apa upah yang diberikan.

Semua itu adalah biaya mereka sendiri yang sanggup mereka keluarkan kerana mahu menegakkan Islam dengan berbagai cara.

Semua yang pernah menjadi rakan politik PAS itu memuji keihklasan ahli PAS ini.

Manakala cemuhan itu hanya sebagai tanda kedengkian kepada kesetiaan dan perjuangan ahli PAS dalam mentaati dan walak kepada kepimpinan PAS.

Ahli parti lain, terpaksa berhabisan untuk mengumpul penyokong, malah upah itupun belum cukup untuk diajak ahli sendiri berkumpul.

Malang berganda bagi ahli parti lain kerana mempunyai kepimpinan yang menipu.

Maka hilanglah ghairah mereka untuk mentaati arahan pimpinan mereka kecuali mendapat habuan, tidak kira samada halal atau haram.

Ia bukan berkenaan perjuangan suci, tetapi perjuangan bagi memuaskan perut dan benda di bawah perut, meminjam kata-kata PMX sebelum berkuasa dahulu.

Mohd Nasir Abdullah

PAS