Budaya Hedonisme Dan Pesta Pora Dalam Kubangan Darah Di Gaza

Budaya Hedonisme Dan Pesta Pora Dalam Kubangan Darah Di Gaza

Sehari dua ini geger dengan isu pelbagai konsert digalang sama ada artis dalam dan luar negara termasuk kumpulan Coldplay daripada tanah Inggeris yang akan menghiburkan rakyat ini pada 22 November ini.

Pernah dialukan kedatangan kumpulan yang menyokong seks songsang (LGBT#) oleh Perdana Menteri, malah PAS pernah diremehkan oleh Nga Kor Ming sosok utama DAP sebagai parti konservatif, terkebelakang dan sempit pemikiran.

Kerancuan cara fikir Nga tentang PAS ini mewakili watak liberalis sekular yang tidak memahami prinsip perjuangan PAS.

Tak sebagaimana parti penguasa bernuansa liberal pragmatis yang akan melakukan apa sahaja untuk merengkuh sokongan, namun PAS adalah gerakan Islam yang mewakili cara fikir orang beriman dalam menanggani citra kehidupan.

Kegilaan berhibur tanpa batasan, berpesta pora tak peduli dengan kesakitan dan tangisan di Gaza bukan sahaja melanda tanah watan kita dengan obesesi pemimpin utama negara dengan hiburan namun menjangkiti negara Arab terutama Arab Saudi yang kononnya penjaga dua tanah haram.

Cukup kontradik dan memalukan, sedangkan di seluruh belahan dunia pelbagai aksi solidariti untuk Palestin digalang setiap hari dalam tempoh 35 hari ini.

Konsert dianjurkan seolah mengalih perhatian terhadap peta luka ummat, bahkan sifat membusung dada melanggar perintah Allah dan peringatan ar Rasul SAW. Sangat malang umat Islam di akhir zaman diperintah oleh pemimpin yang bebal dan kontang nurani manusiawi.

Hiburan boleh sahaja menjadi halal jika dicerakin dengan baik elemen halal dan haram.

Lebih tujuh dekad PAS berjuang di tanah leluhur ini, menentang hiburan maksiat dan kemungkaran adalah pakej perjuangan parti Islam tertua ini.

Parti pak lebai ini menguasai empat buah kerajaan negeri, tidak membataskan rakyat hanya dalam program di masjid dan surau sahaja.

Terengganu contohnya sejak 2018, PAS mengambilalih kerajaan dengan artis dan seniman juga boleh berpartisipasi dalam pelbagai program hiburan.

Antara anak seni yang pernah diundang seperti Ramli Sarip, Yantzen, Zuar XPDC, Ali Terra Rossa, Ijam Medicine, Heliza Helmi dan puluhan anak seni yang lain.

PAS bukanlah taliban seperti yang sering dimomokkan oleh DAP kepada pengundi dan pentaksub mereka.

Berhibur tanpa batasan akan menjadikan kita hilang nikmat beribadah.

Apatah lagi hiburan yang tidak patuh syariah dan tidak disiram ketaatan kepada Allah.

Hiburan bersalut dosa menjadikan hati kita hitam, menjadi sulit untuk melakukan kebajikan bahkan tangan dan mulut senang untuk mengeji dan menista.

PAS berbeda dengan parti konvensional yang lain.

Penggalang pemikiran pragmatis tidak akan meletakkan acuan dosa dan pahala dalam tindakan mereka, pertimbangan moral dam akhlak tiada dalam neraca pemikiran.

Seni dan hiburan diakui keabsahannya mendidik manusia, bahkan merupakan salah satu daripada method dakwah yang digunakan oleh para ulama dalam mengembangkan dakwah Islam.

Di Nusantara, ketika Islam mulai berkembang terutama sejak abad ke-13 Masehi, para ulama telah mengggunakan pelbagai pendekatan seperti perkahwinan, penubuhan kerajaan Islam, pedagangan dan sebagainya sebagai method dakwah.

Untuk melengkapkan lagi gerakan dakwah, sebahagian ulama di Nusantara menjadikan seni dan hiburan ini sebagai method dakwah mereka.

Antaranya seperti dakwah Wali Songo dalam masyarakat Jawa, merubah medium seni sebagai wahana dakwah yang interaktif.

Sepanjang sejarah perkembangan dakwah, para ulama telah menggunakan seni suara (muzik), wayang kulit, seni ukir, seni bina, penulisan sastera, seni mempertahankan diri dan beberapa kesenian yang lain sebagai sebahagian daripada pendekatan.

Salah satu faktor kepentingan dakwah melalui seni juga berjaya merengkuh perhatian manusia dengan seni yang berkiblat.

Kita semua sewajarnya membuat penelitian terhadap hiburan yang tidak menjuruskan anak muda kepada ‘sensate culture’, budaya hiburan kosong yang melalaikan dan merencatkan intelektual.

Masyarakat Muslim perlukan vitamin intelektual dan hiburan patuh syariah yang membina peradaban.

Entahlah, mungkin rasa bosan terkurung menjadikan kita kecanduan berhibur atau kita menyalahi catatan taqdir.

Kita semua, peserta-peserta universiti tarbiah Ramadhan sepatutnya insaf dengan membuncahnya aktiviti penagihan najis dadah dikalangan anak muda, gejala buta agama, kecanduan melampau pada hiburan serta ghazwatul fikri yang dilancarkan oleh musuh Islam untuk merosakkan belia dan anak muda.

Boleh sahaja untuk pelbagai penganjur konsert, sama ada kerajaan, parti politik, gerakan swadaya masyarakat dan lain-lain entiti untuk menganjurkan konsert patuh syariah bertemakan solidariti Palestin.

Dengan memasukkan acara nyanyian patuh syariah atau nasyid, pantomim, bacaan sajak, munajat, bacaan qunut nazilah, tazkirah atau boleh sahaja dikir patuh syariah.

Konsert kemanusiaan Palestin boleh dipakejkan dengan pameran, pertandingan, konvoi ARC, konvoi pacuan empat roda, flashmob, kutipan dana Gaza dan aktiviti yang difikirkan sesuai.

Fitrah manusia inginkan berhibur, maka selaraskan dengan kehendak agama agar mendapat pahala.

Gaza sedang diratah musuh, kewajiban kita membantu mereka seupaya mungkin, antaranya dengan menggalang konsert patuh syariah bertemakan solidariti Palestin. 

Ustaz Ridwan Nohd Nor

Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI

Kolumnis