PRK Kemaman: PAT Lawan PAS, Antara Jeneral Dan ‘Jenere’

PRK Kemaman: PAT Lawan PAS, Antara Jeneral Dan ‘Jenere’

Sudah dicanangkan BN yang calon mereka di Kemaman ialah Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, seorang bekas Panglima Angkatan Tentera (PAT) yang berasal dari Besut dan membesar di Kemaman.

Calon payung terjun BN ini, mendarat secara tiba-tiba dicelah-celah bingit suara yang meletakkan nama yang tidak kurang juga hebatnya, mantan Menteri yang juga pernah menduduki kerusi Parlimen Kemaman, Datuk Shabery Cheek.

Sementara Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu yang juga bekas calon yang tewas teruk dua kali di kerusi Parlimen dan Dun, Dato’ Seri Ahmad Said, sedari awal melarikan diri, walaupun mendakwa rakyat menyukai beliau.

Sudah dua PRK bagi Parlimen berlangsung di Terengganu.

Satu daripadanya dimenangi semula oleh PAS dengan calon yang sama dan majoritinya bertambah.

Ketika itu Dato’ Zubir Embong, setelah berpenat lelah turun naik mahkamah dan dikatakan sama banyak kehadiran beliau dengan hakim, tidak dipilih semula menjadi calon bagi menentang rakan sealumni; SESMA, Datuk Haji Amzad Hashim.

Betapa kecewanya Dato’ Zubir kerana kerusi itu diserahkan kepada PKR yang mempertaruhkan Azan Ismail.

Langsung tiada sebarang kempen oleh beliau membantu Azan.

Tetapi liciknya Umno, air mukanya terpelihara kerana PKR kalah dengan majoriti bertambah.

Nasib yang sama juga kelihatannya menimpa nama-nama besar Umno Kemaman setelah Tan Sri diangkat menjadi calon.

Saya tidak pasti tentang keahlian Tan Sri dalam Umno, yang pastinya beliau adalah orang baharu, dan telah memotong semua senior Umno Kemaman di semua sayap dan peringkat.

Adakah mungkin akan ada undi protes oleh akar umbi Kemaman? Entahlah.

Sebab pimpinan Umno Kemaman yang ada sekarang, entahkan ada lagi akar umbi atau tidak, setelah melihat dua keputusan pilihanraya lalu.

Keduanya, berkemungkinan Umno cuba menjadikan Tan Sri sebagai kambing hitam pada ketika Umno sedang nazak ini.

Ya, jika BN kalah nanti insya Allah, maka yang dikata orang ialah kegagalan Tan Sri melawan PAS, bukan pimpinan Umno Kemaman yang gagal.

Maaf Tan Sri, dunia politik Umno sangat jahat.

Mereka bukan mengira Tan Sri pernah berjasa kepada negara atau tidak.

Yang mereka tahu, seseorang mesti dicari bagi memikul bebanan politik kotor yang telah mereka laksanakan dahulu.

PAS mencegah kemungkaran

Mengikut rekod, Tan Sri mula menyertai ATM sebagai Leftenan Muda pada tahun 1976.

Sangat sesuai bagi Tan Sri untuk bermuhasabah melihat kesungguhan PAS yang pada tahun itu ada bersama BN menjadi Kerajaan Pusat.

Waktu itu Kerajaan Malaysia masih baharu 19 tahun merdeka.

Dalam mes tentera, saki baki budaya Inggeris, masih diamalkan seperti adanya minuman keras.

BN tidak mengambil kisah akan hal sebegini.

Sedangkan loteri kebajikan masyarakat yang jelas haram dan dibantah ulamak, diluluskan juga.

PAS masa itu adalah parti yang lantang membantah akan hal berkaitan arak yang sering dihidangkan dalam majlis-majlis rasmi kerajaan, termasuklah juga di kem-kem tentera.

Pasti Tan Sri melihatnya sendiri, dan saya juga yakin Tan Sri bersetuju dengan tindakan PAS membantah budaya ini, sehingga ditubuhkan Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT).

Dan kesungguhan PAS terbukti apabila mendapat kuasa memerintah negeri, mereka menghapuskan judi dan mengawal penjualan arak.

Tan Sri juga perlu ingat yang kes LCS yang menjadi isu besar negara suatu ketika dahulu berlaku dalam masa Tan Sri masih menjadi pegawai tinggi tentera sebelum bersara pada tahun 2018.

Kes LCS bermula pada tahun 2011 dan sehingga 2023, masih belum selesai.

Dalam siasatan PAC, kerajaan telah membayar sebanyak RM6 bilion dan kemudiannya ditambah menjadi RM9 bilion.

Kesemua Menteri Pertahanan yang terlibat ketika itu adalah dari parti Umno, parti yang Tan Sri berangan untuk menjadi calon nanti.

Tiada pimpinan PAS terlibat.

Apa perasaan Tan Sri dengan skandal ini?

Ini semua berkenaan wang rakyat yang dikhianati.

Integriti yang dicari

Tan Sri juga perlu merasa sensitif dengan rakan atau Abang Besar PH yang mana Umno berada di bawahnya iaitu DAP.

Ada beberapa orang pimpinan tinggi DAP mengakui datuk nenek mereka adalah pejuang kemerdekaan yang memilih Parti Komunis Malaya (PKM) sebagai wadah perjuangan mereka.

Ada yang membawa pulang abu mayat Ching Peng dan menganjurkan ‘reunion’ PKM.

Dalam profail Tan Sri jelas disebut, pertempuran dengan komunis adalah antara pengalaman hebat Tan Sri sewaktu berkhidmat dalam tentera.

Mungkin Tan Sri sudah mahu melupakannya.

Tak apa Tan Sri, kami faham. Tetapi tidakkah tercalar integriti Tan Sri dengan kerjasama ini?

Apabila berlawan dengan PAS, Tan Sri perlu ingat yang kami tidak takut dan menyerah kalah walau sebesar mana sekalipun pangkat lawan kami.

Kami tetap berselera makan, tetap ‘jenere’ (lena) tidur kami, walaupun dicabar oleh seorang bekas Jeneral.

Kami sentiasa berdoa kepada Allah dalam masa kami berlawan.

Kami bersedia dengan kekalahan dan mensyukuri akan kemenangan.

Allah menjadi sandaran kami. Yang kami bimbang Tan Sri sebagai mantan Jeneral, tidak akan ‘jenere’ tidurnya nanti kerana terpaksa memikul beban dosa-dosa Umno yang sangat berat.

PAS sudah membuktikan integriti dalam pentadbiran di empat buah negeri dengan Kelantan mengungguli tanpa sebarang kes rasuah selepasa 33 tahun memegang kuasa.

Jika Tan Sri mencari integriti dalam PH, Tan Sri silap jalan.

Akan tetapi jika Tan Sri bukan seorang yang berpegang teguh dengan integriti, maka PH adalah rakan niaga Tan Sri yang sangat sesuai.

Contohnya bekas bos Tan Sri di Kementerian Pertahanan itu dahulu menjadi saksi hidup yang integriti dalam PH sudah mati.

Jadi sekarang rakyat Kemaman yang sudah menyayangi PAS mahu tahu, Tan Sri menjadi calon BN bagi menentang PAS atas dasar apa ?

Mohd Nasir Abdullah

Pilihanraya