Perihal PASTI

Perihal PASTI

Heboh beberapa hari lalu berkenaan perkara yang membabitkan pusat pembelajaran kanak-kanak milik PAS iaitu Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI).

Isu yang dibangkitkan ialah berkenaan elaun guru-guru PASTI yang dikatakan sebanyak RM400-500 sebulan, sangat murah.

Lalu ramailah yang masuk memberi komen menyuruh agar elaun itu dinaikkan.

Alhamdulillah pertamanya ada rasa cakna rakyat terhadap keadaan guru-guru PASTI yang berjumlah hampir 10 ribu orang itu.

Keduanya masih ramai yang tidak tahu bahawa elaun yang dibayar dan kerja yang dilakukan lebih kepada khidmat sukarela.

Dan tidaklah pula semua PASTI elaun gurunya sekitar RM400-500 sahaja.

Banyak PASTI yang memberikan elaun yang berganda dari itu.

Jadi kepada semua rakyat Malaysia, tidak perlulah merasa bimbang dengan elaun guru-guru PASTI yang dikatakan rendah itu.

Mereka sudah faham bahawa memang itulah elaun mereka.

Sebab itu tidak pernah kita dengar ada piket atau tunjuk perasaan oleh guru-guru PASTI kerana menuntut elaun lebih daripada PAS.

Mereka mahukan pahala dengan kerja-kerja kebajikan ini.

Inilah sumbangan mereka melalui PAS.

Ada suami yang berkorban masa isteri mereka dengan menjadi guru PASTI semata-mata mahu melihat anak-anak kecil di kampung-kampung mereka, pandai membaca, menulis dan mengira.

Adakah guru-guru PASTI ini tidak berkualiti kerana itu mereka dibayar elaun yang rendah? Oh, tidak.

Mereka selain daripada ramai yang mempunyai diploma dan ijazah, mereka juga perlu menduduki peperiksaan bagi memantapkan kemahiran mengajar mereka.

Ini adalah perkara yang amat penting yang dititikberatkan oleh pengurusan PASTI.

Walaupun elaun mereka murah, namun kualiti pengajaran mereka, tidak pernah diberikan ‘diskaun’.

PAS telah lama menyedari akan betapa pentingnya pendidikan Islam ke atas kanak-kanak.

Bak kata pepatah, melentur buluh biar dari rebungnya.

Inilah antara pengorbanan PAS kepada masyarakat kerana PAS mempunyai tiga tiang utama iaitu dakwah, siasah dan tarbiah.

Dan PAS amat bertuah kerana hasil tarbiah kepada ahli-ahlinya, maka lahirlah pejuang-pejuang Islam yang sanggup berkorban wang ringgit sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh guru-guru PASTI.

PAS berjaya membantu ibu bapa dari berbagai latar belakang dengan mengenakan yuran yang murah bagi anak mereka belajar di PASTI.

Jika Mother Teressa dipuja dan dipuji manusia kerana pengorbanannya membantu ramai manusia di India, maka guru-guru PASTI pastilah lebih mulia kerana guru-guru PASTI ini Islam dan agama yang benar di sisi Allah ialah Islam.

Ucapkanlah terima kasih kepada guru-guru PASTI atas usaha mereka.

Tidak perlulah dikisahkan tentang elaun mereka kerana mereka tahu pengorbanan mereka akan dihisab oleh Allah nanti.

Doakan amal mereka diterima Allah, itu lebih baik.

Mohd Nasir Abdullah

Pendidikan