PMX Dahului Istana Negara, ‘Langkah’ Apa Yang Dibuatnya?

PMX Dahului Istana Negara, ‘Langkah’ Apa Yang Dibuatnya?

Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dimohon memberikan penjelasan berhubung muat naik beliau menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Ketua Penerangan PAS, ustaz Ahmad Fadhli Shaari berkata, tulisan dalam muat naik yang dibuat dari sesi menyembah maklum urusan kertas-kertas pra-kabinet tersebut menimbulkan lebih banyak persoalan daripada penjelasan.

“Tidak semena-mena, pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong ditulis dengan laras bahasa yang berlapik disulam keterujaan dan adab yang diletakkan di belakang.

Sayugia banyak lagi perlukan jawapan dari PMX. 

“Tidakkah ganjil apabila PMX membuat hantaran Kenyataan Media sekitar 2 jam lebih awal daripada kenyataan rasmi Istana Negara?

PMX menggunakan gambar arkib, bukan gambar semasa pertemuan bersama YDPA sebelum menukar gambar yang terbaru.

“PMX menulis maklumat daripada hasil pertemuan melebihi apa yang disampaikan daripada Istana Negara.

“PMX menulis tentang isu percaturan politik, Istana Negara tidak menulis berkaitan isu tersebut. 

“PMX menulis tentang derma RM500 juta dan RM750 juta, Istana Negara tidak menulis berkaitan sumbangan derma.

“Siapakah yang mahu menderma itu? 

“Adakah PMX mahu memberitahu ‘dengan halus’ kepada YDPA agar tidak menerima apa-apa sumbangan tetapi dilontar ke khalayak?

“Atau itu sebenarnya ‘amaran’ dari PMX?

“Kenapa ditulis nilai RM500 juta dan RM750 juta?

“Ertinya ada maklumat khusus. Jika ada maklumat khusus, mohon PMX dedahkan sahaja, janganlah jadi macam isu dana judi yang dilumurkan kepada Perikatan Nasional, selepas setahun masih belum dibuktikan,” ujarnya.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu menegaskan, hakikatnya tindakan PMX menimbulkan keraguan di mana terkejar-kejar mendahului pihak Istana Negara, sekali gus menimbulkan persoalan perkara dikejar Anwar. 

Katanya juga, tindakan ini seperti tidak menghormati kedudukan utama Yang di-Pertuan Agong dan pihak Istana Negara dalam mengeluarkan sesebuah kenyataan rasmi. 

“Dalam pertemuan rasmi dan penting melibatkan pihak istana, ‘keterujaan’ berkongsi tidak perlu sampai menjadi lebih sudu dari kuah.

“Langkah apa yang cuba dibuat PMX?

“Mohon penjelasan. Rakyat menjunjung kasih. Daulat Tuanku!” ujarnya.

Isu Semasa