Saya terkejut apabila Mufti Pulau Pinang telah membuat teguran secara terbuka berkenaan tarikh konsert seorang artis terkenl ‘seantero dunia’ kononnya, menjelang dengan tarikh menyambut Ramadan, kemudian terpaksa meminta maaf, apabila teguran tersebut menjadi tular.
Mufti kata niatnya hanya ingin menegur tentang tarikh yang dekat dengan sambutan bulan Ramadan dan boleh melalaikan.
Ini kerana umat Islam ketika itu perlu mempersiapkan rohani secukupnya sebelum menyambut bulan penuh mulia itu.
Persoalannya, adakah 11 bulan yang lain kita tidak perlu membuat persiapan rohani?
Tidakkah semua bulan Islam itu, perlu dihormati dan perlu dibuat persiapan sebaiknya.
Tidak timbul soal ada bulan tertentu perlu bersiap sedia, ada bulan tidak perlu.
Ada hari boleh buat baik, atau hari tidak.
Pemahaman saya, bulan Ramadan itu kemuncak, sama seperti Jumaat, penghulu segala hari.
Tetapi itu bukan bermakna bulan lain (hari lain), kita tidak perlu bersedia.
Ramai sahaja orang mati pada bulan Ramadan dan hari Jumaat, termasuk bukan Islam, adakah itu bermakna mati pada bulan dan hari tersebut, petanda baik dan masuk syurga, bulan lain atau hari lain tidak?
Tidak timbul soal bila Ramadan, buat persiapan rohani, seolah-olah bulan lain tidak perlu.
Saya bimbang, bila mufti bercakap, khalayak nanti akan salah faham.
Ada bulan perlu (boleh) jadi baik, ada bulan tidak perlu atau tidak boleh.
Rosak Islam kalau begitu.
Perlukah seorang bertaraf mufti membuat teguran sedemikian kemudian terpaksa meminta maaf?
Mufti sepatutnya tidak bercakap ‘isu remeh’ sebegini?
Persoalan saya, sebagai mualaf, pemahaman saya tentang Islam, jika salah, betulkan…. adakah menjelang bulan puasa dan ketika bulan puasa itu sendiri, kita tidak boleh buat konsert.
Bulan syawal boleh?
Ketika Ramadan, sikit punya baik, keluar Ramadan, jadi sebalik. Konsert tetap konsert.
Bezanya cuma, konsert itu bersesuaian dengan Islam atau bertentangan.
Banyak jer, ketika majlis berbuka puasa, nyanyian lagu-lagu membesarkan Tuhan berkumandang di hotel-hotel atau di tempat majlis berbuka puasa diadakan.
Paling penting, jenis konsert tersebut, konsert itu halal atau tidak?
Dalam kata lain, bermakna mufti itu tahu jenis konsert apa yang bakal berlangsung, sebab itu dia kata, tidak ‘manis’ diadakan menjelang Ramadan.
Dengan kenyataan ini, sepatutnya mufti tidak perlu meminta maaf, sebab beliau telah menjalankan tanggungjawabnya sebagai mufti, menegur, atas asas amar makruf nahi mungkar.
Tetapi beliau tampil meminta maaf. Baguslah tu.
Pada saya, dah tegur, tegurlah jika itu tanggungjawab seorang mufti, tidak perlulah meminta maaf, kerana itu adalah pandangan seorang mufti terhadap sesuatu perkara, sama ada ia menjadi viral atau tidak itu soal lain.
Sepatutnya taraf seseorang mufti tidak perlu tegur atau keluar kenyataan kerana ia akan merendahkan kedudukan mufti tersebut.
Adakah selama ini mufti tidak sedar, kedudukan konsert yang selama ini ada di negara kita?
Adakah selama ini terdapat konsert halal atau konsert haram?
Konsert yang boleh, jenis macam mana, jenis yang tidak boleh macam mana pula.
Konsert yang mana boleh menjelang Ramadan atau ketika Ramadan, konsert mana yang tidak boleh?
Ini sepatutnya diperincikan mufti.
Jika konsert itu halal, sesuai dengan syariat Islam, buat dalam bulan Ramadan pun tidak ada masalah.
Tidak timbul soal, ada konsert boleh dibuat bulan bulan tertentu, tidak boleh pada bulan tertentu
Adakah bulan Ramadan, bulan ibadat, bulan yang lain, bulan maksiat ata bulan berjahat?
Jika inilah ada pada pemikiran seseorang bertaraf mufti, haru dunia ini
Pada hemat saya, jika konsert tersebut boleh membawa manusia tunduk kepada Allah, buatlah bulan apa sekalipun, tidak menjadi masalah.
Banyak jer nyanyian ketika majlis berbuka puasa.
Pokoknya, konsert-konsert yang ada selama ini, membawa kita dekat dengan Tuhan atau tidak?
Teguran mufti membawa saya mengimbau kembali, ketika mengendalikan satu program realiti agama TV, bertanyakan satu soalan kepada seorang artis mengenai aktivitinya ketika Ramadan.
Jawapannya, sama seperti jawapan mufti Pulau Pinang.
Ketika Ramadan, dia akan menghentikan segala aktiviti menyanyi (berlakon), mendekatkan diri dengan surau masjid.
Aktivitinya akan kembali aktif selepas Ramadan iaitu Syawal.
Dalam maksud, artis ini tahu apa yang dia buat itu bertepatan dengan Islam atau tidak?
Sebab itu dia hentikan aktiviti di bulan mulia, sambung semula di bulan yang mungkin pada pandangan beliau ‘tidak mulia’ dan boleh buat benda tidak elok.
Bolehkah mufti tolong jawab pertanyaan saya, adakah bulan Ramadan bulan ibadat, masuk Syawal, jadi bulan maksiat atau bulan berjahat atau bulan Ramadan, bulan mujahid, bulan Syawal, jadi mujahat.
Tidakkah semua bulan itu, Allah jadikan kepada kita untuk kita tunduk dan sujud kepada-Nya dengan melakukan perkara yang baik-baik, termasuk mengadakan konsert yang membawa kita dekat kepada-Nya.
Cuma, istimewa dan bezanya Ramadan, adalah bulan kemuncak, rugi jika tidak direbut.
Namun, itu bukanlah bermakna masuk bulan lain, tidak perlu direbut atau tidak perlu buat persiapan Rohani.
Betul tak wahai mufti Pulau Pinang?
Nasihat saya, sebagai seorang yang bertaraf mufti, kita sepatutnya bercakap dan menegurkan perkara besar dan bukan perkara yang boleh mengelirukan. Ingat kata-kata ini
Minda besar, bincang pasal idea
Minda sederhana, bincang pasal peristiwa
Minda kecil, bincang pasal orang
Mohd Ridhuan Tee Abdullah