Orang ramai yang menyertai perhimpunan Program Gerakan Rakyat Menyerahkan Memorandum Rakyat Ke Hadapan Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada hari ini (23 Jan), berkongsi hasrat dan menaruh harapan yang sama agar YDPA sudi mendengar dan melihat sendiri keluhan rakyat yang sedang tersepit terutama dari segi ekonomi ketika ini.
Pekerja swasta, Khairul Haziq Zakaria, 20, berkata, dia menyertai perhimpunan tersebut kerana ingin menuntut keadilan ekonomi yang sewajarnya buat rakyat marhain seperti dirinya.
“Kos sara hidup sekarang ini semakin meningkat, dan kerajaan masih lagi tidak dapat menyelesaikan masalah tersebut.
Menurutnya, dia juga berasa tersepit dengan keadaan ekonomi pada masa ini, sedangkan kerajaan sebelum menjanjikan masalah sebegini dapat diselesaikan dengan pantas tetapi perkara sebaliknya pula yang terjadi.
“Jadi, saya harap dengan perhimpunan ini Yang Di-Pertuan Agong mendengar dan melihat sendiri keluhan rakyat yang sedang tersepit,” katanya.
‘Kerajaan bersifat berat sebelah’
Sementara itu, seorang suri rumah, Noor Reha Jusoh, 59, sanggup datang dari Terengganu untuk menyertai perhimpunan ini.
Apabila ditanya tujuannya hadir dalam perhimpunan ini, dia menyatakan bahawa kerajaan sekarang ini bersifat berat sebelah lebih-lebih lagi dalam penyaluran bantuan kerajaan itu sendiri.
“Tambahan pula, saya sebagai rakyat biasa juga telah cukup terbeban dengan ketidakadilan kerajaan pada masa ini yang mana sampai sekarang keadaan ekonomi rakyat masih lagi tidak berubah seolah-olah kerajaan nak memperhambakan kami semua dengan pelbagai hutang pula.
“Walaupun saya tidak sesekali pun berhutang dengan mana-mana pihak tetapi bila kerajaan tambah lagi hutang yang sedia ada maka makin rakyat pula yang terbeban dengan perlu bayar cukai sana sini,” kongsinya.
Dia juga mengharapkan Yang DiPertua Agong memahami nasib rakyat dan melakukan pertukaran kerajaan yang sedia ada bagi membela nasib ramai rakyat tempatan yang ada pada hari ini.
‘Ketidakadilan pengurusan ekonomi, tatakelola
Dalam pada itu, seorang pekerja swasta yang hanya mahu dikenali sebagai Rashid juga turut hadir dalam perhimpunan ini sebagai sokongan kepada rakyat tempatan.
Dia juga bersetuju terdapat berlakunya ketidakadilan kerajaan dalam pengurusan ekonomi dan tatakelola yang menyebabkan institusi diraja juga turut terkesan.
“Melalui perhimpunan ini sekalipun tidak berlakunya pertukaran kerajaan tetapi sekurang-kurangnya dapat memberikan kesedaran kepada kerajaan itu sendiri bahawa ramai rakyat tempatan benar-benar dalam kesusahan,” katanya.