Non-Muslim Tidak Perlu Ragu-Ragu Dengan PAS

Non-Muslim Tidak Perlu Ragu-Ragu Dengan PAS

Sebenarnya Parti Islam Se-Malaysia (PAS) ada masa depan.

Jadi pimpinan PAS di seluruh negara termasuk Pantai Barat dan Borneo perlu mencari ilmu dan belajar pelbagai kaedah untuk mendekati non-Muslim.

Wawancara wartawan Harakah SAIDAH HAIRAN bersama Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat, DR HALIMAH ALI berhubung pandangan non-Muslim terhadap PAS.

HARAKAH: Terjaminkah non-Muslim berada dalam kerajaan bila PAS mentadbir negara?

DR HALIMAH: Dalam pemukiman Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat 18 Januari lalu, kita ada menjemput panelis daripada pelbagai agama dan kaum dalam sesi forum.

Kita minta mereka luahkan pandangan terhadap PAS.

Apa yang tidak kena dengan PAS dan yang bagus.

Ada di kalangan mereka mahu melihat PAS kuat.

Sekiranya non-Muslim faham dasar PAS yang sudah termaktub dalam Perlembagaan PAS sejak ditubuhkan, mereka tidak akan bimbang dan takut dengan PAS.

Ini kerana dasar PAS jelas tidak pernah berubah.

Dalam perlembagaan PAS sudah diletak perkataan yang jelas iaitu usaha-usaha PAS adalah untuk memupuk rasa perpaduan di antara kaum.

Satu lagi usaha PAS adalah untuk menjaga keharmonian di antara kaum.

Manakala rujukan PAS adalah al-Quran dan sunnah selain qiyas dan ijmak ulama.

Dalam al-Quran jelas menyatakan yang mencipta manusia pelbagai agama dan bangsa adalah Allah SWT.

Kepelbagaian agama dan bangsa iaitu India, Cina dan sebagainya itu dicipta oleh Tuhan yang sama.

Kita sebagai orang Islam diarah untuk menghormati dan jangan mencerca, maka kita tidak boleh memusnahkan rumah ibadat orang bukan Islam.

Bila kita bermusuh, kita tidak boleh menganiaya wanita, kanak-kanak bahkan tanaman mereka.

Ini adalah keadilan Islam yang sudah termaktub dalam al-Quran.

Non-Muslim sepatutnya tidak perlu rasa takut dan ragu-ragu dengan PAS.

Ini kerana apabila orang PAS meletakkan al-Quran sebagai rujukan mereka, apa yang Allah larang, hamba-Nya tidak boleh lakukan.

Menzalimi, menganiaya dan tidak berlaku adil kepada orang bukan Islam, ini kita tidak boleh lakukan.

Ini jaminan paling besar orang Islam kepada kaum bukan Islam.

Sudah tentu kebajikan dan keadilan bukan sahaja kepada orang Islam bahkan orang bukan Islam ada dalam ciri-ciri Islam.

PAS mesti gunakan pendekatan itu di dalam pemerintahan.

Jadi tidak ada isu sebenarnya dalam bab keadilan.

Kelantan berjaya menjadi kerajaan selama 34 tahun. Adakah ini bukti kemampuan dan kejayaan PAS sekiranya menjadi kerajaan memerintah negara?

Saya sebut kepada mereka ketika sesi pemukiman, di antara patung buddha terbesar di Asia Tenggara adalah di Kelantan.

PAS memerintah di Kelantan sudah 34 tahun.

Non-Muslim pula adalah minoriti di Kelantan.

Maknanya, jika non-Muslim tidak sokong PAS, PAS tetap menang.

Jadi, PAS di dalam keadaan yang selesa dan kuat.

Kalau kerajaan PAS tidak berlaku adil mahu takutkan non-Muslim kerana propaganda pihak lawan PAS selama ini, sudah tentu akan kelihatan.

Tokong Buddha itu tidak akan ada di Kelantan.

Di antara perkara yang dipertikaikan, non-Muslim boleh makan dan minum makanan mereka yang haram untuk orang Islam.

Begitu juga dengan hiburan.

Adakah semua keperluan non-Muslim itu tidak ada di Kelantan?

Non-Muslim di Kelantan ada yang jual babi, makan babi dan ada yang pelihara babi.

Begitu juga minum arak dan sebagainya tetapi di dalam kawasan mereka.

Budaya mereka tetap ada dan boleh dilaksanakan di Kelantan.

Bahkan tokong buddha Siam terbesar adalah di Tumpat, Kelantan.

Jadi ini adalah bukti yang boleh nampak selain bukti kehidupan non-Muslim di negeri PAS memerintah.

PAS kalau hendak jadi parti ‘mainstream’ tidak boleh hanya berkuasa di Pantai Timur dan Pantai Barat tetapi Sabah Sarawak dan Borneo. Ini memperlihatkan bahawa Lajnah Perpaduan Nasional mempunyai tanggungjawab berat dan besar untuk mendapatkan sokongan non-Muslim dari seluruh negara.

Malaysia mempunyai masyarakat majmuk.

Di Pantai Barat lain, Pantai Timur pun lain.

Di Semenanjung lain dan di Borneo juga berbeza.

Sebab itu, PAS memerlukan anjakan paradigma serta pendekatan-pendekatan dan fokus yang lebih tepat.

Ia supaya dilihat bukan sahaja oleh orang Melayu Islam tetapi minoriti non-Muslim.

Sebenarnya PAS ada masa depan.

Jadi pimpinan PAS di seluruh negara termasuk Pantai Barat dan Borneo perlu mencari ilmu dan belajar pelbagai kaedah untuk mendekati non-Muslim.

Kita kena tahu apa sebenarnya yang non-Muslim takut dengan PAS dan jangan kita rasa apa yang mereka takut.

Justeru itu, kita perlu memberikan mereka ruang supaya mereka rasa selamat dan luahkan perkara-perkara yang mereka anggap sensitif yang tidak boleh diluahkan secara umum.

Kita perlu bersabar, berlapang dada.

Kalau kita hendak memimpin perpaduan kita boleh menerima sesiapa sahaja.

Bila kita sudah tahu masalah mereka, barulah kita boleh mengurus kepelbagaian menurut kerangka yang ada dalam perlembagaan PAS.

Apa keperluan dan kepentingan mereka.

Insya-Allah PAS ada formula berdasarkan prinsip.

Ini tidak bertukar, prinsip keadilan untuk semua, insya-Allah.

Menghormati antara satu sama lain, insya-Allah ini tidak akan bertukar.

PAS