Ekonomi Malaysia – Salah Mahathir Atau Salah Anwar?

Ekonomi Malaysia – Salah Mahathir Atau Salah Anwar?

Keadaan ekonomi hari ini tidak adil jika kita menyalahkan kerajaan hari ini sepenuhnya.

Pergerakan ekonomi sesebuah negara perlu diukur dengan melihat kerangka masa yang lebih besar.

Sebab itu kita ada Rancangan Malaysia kurang lebih lima tahun sekali untuk merangka dan merancang halatuju ekonomi negara.

Jika kerangka masa 10 tahun diambil kira, ekonomi kita hari ini tentunya berkait rapat dengan Rancangan malaysia ke-11 (RMK-11) dan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).

Namun RMK-12 adalah RMK yang sangat berserabut perlaksanaannya apabila kita dilanda tiga krisis serentak – krisis ekonomi, krisis kesihatan dan krisis politik, sehinggakan RMK-12 ini mendapat sentuhan empat orang perdana menteri.

RMK-12 adalah rancangan yang merangkumi apa kita akan buat sepanjang 2021-2025.

Perbahasan RMK-12 ini tentulah dibuat sebelum RMK-11 berakhir, iaitu pada tahun 2019 (ketika PM7 Tun Mahathir).

Kemudian perbahasan RMK-12 sedikit terganggu akibat pandemik Covid19 yang melanda dunia.

Fokus kerajaan di bawah PM8 dan PM9 ketika itu adalah menyelamatkan nyawa dan ekonomi rakyat dalam fasa PKP dan Fasa pemulihan.

Ekonomi rakyat dengan ekonomi negara adalah dua perkara yang perlu ditangani dengan cara yang berbeza.

Jika kerajaan berfokus kepada ekonomi rakyat, kerajaan akan terpaksa membebankan ekonomi negara.

Begitu juga sebaliknya, jika kerajaan memfokuskan lebih kepada ekonomi negara, maka ekonomi rakyat akan terjerut.

Kebijaksanaan pemimpin negara lah yang akan menentukan timbang tara yang mana perlu diutamakan mengikut keperluan semasa.

Maka dalam keadaan pandemik PKP, kerajaan memilih fokus kepada ekonomi rakyat secara besar-besaran.

Hasilnya, ekonomi negara mengalami bebanan besar.

Ia bukanlah keputusan dan ijtihad yang salah, kerana itulah darurat semasa yang kerajaan perlu tangani untuk menyelamatkan rakyat dari sudut ekonomi dan kesihatan.

Zaman pemulihan pula, kerajaan di bawah PM9 DS Ismail Sabri – meneruskan sebahagian fokus kepada ekonomi rakyat walaupun tidak lagi sebesar ketika PKP, kerana fokus mula diberikan kepada pemulihan ekonomi negara pula.

Kerajaan mula aktif mencari pelaburan baharu masuk, meyakinkan semula pelaburan lama yang tergendalan akibat PKP dan sebagainya.

Maka kita dapati statistik menunjukkan ekonomi negara meningkat mendadak berbanding zaman PKP.

Selepas PRU15, kerajaan bertukar lagi.

Kali ini PMX mengambil alih teraju untuk menjayakan saki-baki RMK-12 yang terganggu-gugat oleh musibah-musibah pada tahun 2020-2021.

Kelembapan pertumbuhan ekonomi hari ini bukanlah salah PMX sepenuhnya, kerana ia adalah kesan kepada fokus kita kepada ekonomi rakyat pada zaman pandemik.

Sebagaimana kita tidak boleh salahkan TS Muhyidin yang menggunakan dana besar untuk survival rakyat, ia adalah setara juga dengan tindakan team PMX untuk mengembalikan kekuatan ekonomi negara ke tahap yang sewajarnya, at least setara dengan RMK-11 zaman PM6 DS najib Razak.

Logiknya, apabila fokus kepada ekonomi negara lebih, maka ekonomi rakyat akan sedikit tertekan.

Ia memerlukan keseimbangan pertimbangan serta kebijaksanaan PMX dan kerajaan Madani untuk meningkatkan ekonomi negara dengan tekanan yang minimum ke atas ekonomi rakyat.

Namun seperti biasa, pihak pembangkang tak kira pembangkang zaman bila sekalipun – mereka akan mengambil point tekanan ke atas ekonomi rakyat inilah untuk dijadikan isu.

Jika kerajaan fokus kepada ekonomi rakyat, pembangkang akan main isu ekonomi negara.

Begitulah seterusnya diulang-ulang oleh pembangkang dahulu, kini dan selamanya.

Jadi, kesimpulannya, salah siapa pertumbuhan ekonomi hari ini perlahan?

Tiada jawapan yang sama dari kalangan rakyat.

Jika mereka penyokong kerajaan, mereka akan salahkan Mahathir, Daim dan PN.

Jika mereka penyokong pembangkang, mereka akan menyalahkan PMX, PH dan BN.

Jika mereka penyokong DS najib Razak, mereka akan salahkan rakyat yang menumbangkan PM6 tersebut.

Hakikatnya – jika dilihat daripada view spiritual, ia adalah ujian daripada pentadbir alam semesta yang menguji kehidupan rakyat Malaysia bagi membezakan hamba-Nya yang bersyukur mahupun yang kufur.

Oleh: Dr Tanaka Mustafa

Ekonomi