Dalam keratan pendek video Keluar Sekejap ini, KJ dan Shahril membuat kesimpulan bahawa MP-MP PAS sangat wala’, patuh kepada arahan parti, dan pada masa yang sama ada sedikit peruntukan daripada kerajaan negeri yang dikuasai PAS – yang membantu kawasan-kawasan parlimen yang dimenangi oleh PAS.
Saya menyokong 30% sahaja kesimpulan KJ dan Shahril tersebut.
Keteguhan MP-MP PAS bukanlah atas dasar ada sedikit sebanyak peruntukan daripada negeri yang PAS kuasai.
Hampir-hampir tak ada.
Kalau ada pun mungkin kolaborasi dengan DUN-DUN yang PAS menang di negeri yang PAS kuasai.
Secara amnya, kerajaan negeri tidak beri pun peruntukan kepada MP PAS, kerana MP PAS tanggungjawab peringkat Federal.
Dan juga hanya wala’ menjadi pertimbangan para MP PAS.
Bahkan bertunjangkan kefahaman dan tarbiyah mengenai tanggungjawab dan amanah yang digalas, kelak akan dipersoal oleh Rabbul Jalil.
Tarbiyah dengan aqidah perjuangan yang bermatlamatkan akhirat, tentu tidak akan dapat dicapai dek akal pemikiran analisa duniawi.
Selain daripada tarbiyah ukhrawi, wala’ dan kepatuhan kepada arahan parti, MP-MP PAS telah sekian lama ditarbiyah untuk bermujahadah, berjuang dalam keadaan sukar dari sudut masa, kewangan, keluarga dan sebagainya.
Maka ketika tak ada peruntukan daripada kerajaan pun, MP-MP PAS tetap teguh dan berusaha mencari jalan untuk membantu rakyat disamping terus mendesak kerajaan menyalurkan peruntukan.
Siapa kata tidak sukar untuk wakil rakyat turun membantu rakyat yang kesusahan dan menyelesaikan masalah rakyat – tatkala mentaliti rakyat telah lama dididik dengan laba pemberian wakil rakyat yang diamalkan oleh wakil-wakil rakyat zaman UMNO/BN dahulu kala?
Walhal tugas wakil rakyat bukanlah memberi benda material kepada rakyat berupa duit, gula atau beras.
Tentulah itu semua tugas agensi-agensi kerajaan yang bidang tugasnya telah digazet.
Tugas wakil rakyat adalah membawa suara rakyat ke dalam DUN atau Parlimen, menggubal polisi, undang-undang dan akta untuk kebaikan rakyat dan negara.
Tetapi telah diajar kepada rakyat bahawa setiap kali turun padang, wakil rakyat mesti tabur laba, mesti beri duit, beras dan gula.
Mentaliti sedemikianlah yang menyebabkan wakil rakyat yang tidak kaya dan tidak berduit, akan kurang selesa untuk turun padang jika tiada peruntukan untuk mereka agih kepada rakyat yang memerlukan.
Sementelah pula rakyat yang bermentaliti begitu pula akan mencemuh dan mengutuk wakil rakyat yang tidak memberi laba material kepada mereka.
Sayugia akan terpaksalah wakil-wakil rakyat yang tiada peruntukan, terutama MP-MP Bersatu goyah dengan ketiadaan peruntukan kepada mereka – walhal sejak pernah menang PRU14 dahulu, MP-MP Bersatu diberi peruntukan kerana mereka sebahagian kerajaan PH 22 bulan dan sebahagian kerajaan PM8 dan PM9.
Ketika zaman PMX, mereka menjadi pembangkang bersama PAS yang sudah sentiasa kental dari sudut menerima tekanan.
MP-MP PAS ada yang terpaksa menggunakan duit tabungan sendiri untuk membantu rakyat, ada yang terpaksa mengorek duit Tabung Haji sendiri untuk membantu semampu boleh, ada yang terpaksa meminjam untuk membantu rakyat yang sangat terdesak.
Kerana apa? Kerana mentaliti rakyat yang sudah dididik begitu.
Sehinggalah MP-MP tersebut sudah ‘rapat ke dinding’ – baharulah mereka sebut kepada rakyat yang mereka tidak mendapat peruntukan untuk membantu.
Ada MP dan ADUN PAS yang lebih faham mengenai tugas wakil rakyat, akan berusaha keluar daripada mentaliti sedemikian.
Apa sahaja bantuan yang rakyat perlukan, mereka akan dapatkan agensi-agensi kerajaan untuk menyalurkan bantuan.
Mereka akan bekerja keras sampai agensi-agensi tersebut turun membantu.
Cara ini adalah lebih baik untuk MP-MP yang tidak mendapat peruntukan sekaligus berusaha mengubah mentaliti dedak yang diajar selama ini.
Kalau paip bocor, jalan berlubang, banjir kilat dan sebagainya – rakyat di kawasan itu menyalahkan wakil rakyat – bermakna rakyat kawasan itu bermentalitikan dedak wakil rakyat sebenarnya.
Walhal tugas agensi kerajaan yang terkait dengan permasalahan tersebut.
Kentalnya MP-MP PAS boleh dilihat sejak mereka mengurus kempen-kempen pilihanraya lagi berbanding MP-MP Bersatu.
Ada beberapa kawasan, ketika jentera PAS dan Bersatu bermesyuarat dan menghasilkan kata putus untuk tindakan berkempen, jentera Bersatu sangat impress dengan susun kerja yang jentera PAS aturkan.
Mereka bersemangat, sehingga akhirnya mereka bertanya – duit nak turun bila?
Jentera PAS tanya balik, duit apa nak turun?
Duit untuk kita guna dalam kempen lah.
Jentera PAS jawab, mana ada duit turun.
Kita guna duit kita dan jentera kita.
Kutip derma sorang sikit lah.
Akhirnya jentera Bersatu jawab… kalau begitu tak apa lah – jentera PAS buat kerja jentera PAS, kami buat kerja kami.
Begitu juga organisasi masjid, atau surau atau persatuan penduduk – jika ketuanya orang Bersatu, atau UMNO atau PH – mereka akan lihat capability kewangan dahulu sebelum merancang program atau projek.
Adakalanya terpaksa memotong budget sehingga terganggu objektif program.
Tetapi jika berketuakan orang PAS, mereka merancang projek dan program terlebih dahulu – duit cari kemudian untuk menjayakannya.
Kedua-dua cara kerja ini memerlukan cara pemprosesan dan menghasilkan output yang berbeza.
Bahkan bukan sahaja output program atau projek sahaja tiptop, malahan jentera yang terlibat dalam pemprosesan juga menjadi versatile dan kental.
Itulah tarbiyah yang tiada pada organisasi atau parti politik selain PAS.
ADUN Pinang Tunggal Pulau Pinang pernah mencabar DUN Pulau Pinang, jika tidak memberikan peruntukan kepada ADUN pembangkang, maka cubalah ADUN kerajaan juga tidak diberikan peruntukan juga – kita bersaing tengok siapakah yang mampu deliver perkhidmatan kepada rakyat dengan lebih baik.
Kalau hanya ADUN kerajaan negeri sahaja menerima perutukan – usahlah mendabik dada kata ADUN kerajaan lebih prihatin kepada rakyat berbanding ADUN pembangkang.
Oleh: Dr Tanaka Mustafa