Abu Sufyan – watak penentang Nabi ketika zaman permulaan dakwah Nabi shollallahu ‘alaihi wasallam.
Ketika perang Badr, dia tak sertai.
Kekalahan di Badr menyebabkan ramai pemimpin utama Quraisy terbunuh.
Abu Sufyan ambil alih teraju pemerintahan, menggerakkan operasi membalas dendam sehingga tercetusnya perang Uhud.
Di medan Uhud juga gagal.
Abu Sufyan bijak membuat propaganda seolah-olah Quraisy menang dan pasukan Nabi telah kalah.
Katanya, hari itu (perang Badar) kamu menang, hari ini (perang Uhud) kami pula yang menang.
Sakit hati Quraisy tidak reda walaupun mereka memviralkan kemenangan mereka kepada dunia Arab.
Apa sudah jadi ketika dipropagandakan menang di medan Uhud, tetapi semakin ramai pula orang Mekah ke Madinah memeluk Islam.
Abu Sufyan menggerakkan kolaisi parti-parti Arab sekeliling Mekah untuk bergabung menyerang Madinah sebelum umat Islam menjadi lebih kuat.
Masakan Badar dan Uhud yang jumlah mereka sedikit masih boleh menang, apa jaminan mereka tidak menyerang Mekah ketika sudah kuat?
Ini perkiraan Abu Sufyan – seorang pakar pedagang yang memikir untung rugi. Now, or never!
Tercetus perang Ahzab dengan kekuatan pakatan Musyrikin Quraisy 10 ribu tentera – satu pakatan terbesar yang kabilah-kabilah Arab pernah gembeling untuk berperang – dengan satu matlamat – menghapuskan Nabi dan umat Islam.
Namun sekali lagi Abu Sufyan gagal, kerana berdepan dengan strategi parit yang tidak pernah dihadapi mana-mana komander perang Arab.
Setelah gagal teruk secara fizikal, material dan moral dalam perang Ahzab – Abu Sufyan buntu.
Kedatangan rombongan umrah Nabi dan para sahabat membuatkan Abu Sufyan dan pemimpin-pemimpin muda Quraisy yang menggantikan bapa-bapa mereka – menjadi cemas.
Lalu mereka menggunakan cara diplomasi untuk menghalang rombongan Nabi masuk ke kota Mekah.
Terjadilah perjanjian Hudaibiyah.
Tidak lama perjanjian tersebut berjalan, pihak Quraisy melanggar perjanjian damai tersebut.
Abu Sufyan marah dan mengamuk – siapa yang arahkan serangan ke atas rakan sekutu kaum Muslimin?
Mereka pasti akan minta pertolongan Muhammad dan Muhammad serta para sabahatnya pasti akan segera datang.
Siapa yang akan pertahan Mekah lagi?
Marah Abu Sufyan.
Tiba masanya datang rombongan Nabi dan para sahabat, pemimpin-pemimpin muda Quraisy yang bapa-bapa mereka terbunuh dalam perang Badar dan Uhud, masih menyimpan dendam kepada kaum Muslimin.
Mereka merancang untuk menyerang jemaah Muslimin yang datang ke Mekah secara gerila.
Tatkala pemimpin-pemimpin muda Quraisy mahu menyerang rombongan Nabi, Abu Sufyan senyap-senyap bertemu Nabi dan mengucap dua kalimah syahadah.
Nabi mengiktiraf ketokohan Abu Sufyan untuk membawa pengumuman jaminan keselamatan kepada penduduk Mekah.
Abu Sufyan berbangga dengan ‘penganugerahan’ tersebut.
Dia terus membuat pengumuman.
Sebahagian orang Mekah terlopong mulut mereka melihat orang paling kuat melawan Nabi, kini menjadi lunak membawa perdamaian dengan Nabi.
Namun ada sebahagian yang lain, mereka menganggap Abu Sufyan sebagai pedagang yang berkira-kira untung rugi.
Dia tidak mengikut Muhammad, tetapi memilih antara kerugian kecil berbanding kerugian besar.
Saat itu Abu Sufyan bersifat neutral kepada Nabi dan kaum Muslimin.
Disebalik saki-baki marah, dendam dan kecewa – tumbuh dalam hatinya bangga, rasa diberi penghormatan, rasa selamat – sehingga terbit dalam fikirannya – kenapa Umar, Amru al-‘Ash, Khalid dan semua orang yang ikut Muhammad menjadi lebih mulia setelah mengikut Muhammad – sedangkan aku pemimpin mereka sepatutnya mendahului mereka?
Abu Sufyan berkira-kira jika Muhammad benar-benar seorang Nabi, aku tidak akan menang – dan kata-kata mereka akan menguasai Rom dan Parsi akan menjadi nyata.
Maka kenapa tidak aku menjadi sebahagian daripadanya.
Saat Abu Sufyan berkata kepada isterinya Hindun – kamu masih kufur!
Hindun menjawab, aku ingin berbai’ah kepada Rasulullah.
Abu Sufyan bertanya, apakah ucapan mu dari Allah?
Hindun menjawab, ya, dari Allah.
Keesokannya, Rasulullah berkata kepada Abu Sufyan bahawa semalam Hindun berkata kepada kamu “ya, dari Allah”.
Saat itulah Abu Sufyan terkagum dan hidayah masuk ke dalam hatinya.
Demi Allah, perbualan aku hanya dengan Hindun!
Ternyata Abu Sufyan dapat melihat sendiri janji Rasulullah – yakni tentera Islam membebaskan sebahagian besar jazirah Arab dan membebaskan Syam daripada pengaruh Byzatine (Rom) – sesuatu yang sukar untuk sejarah orang Arab untuk melakukannya.
Dari sudut hatinya, dia bersyukur – tidak mati sebagai musuh Allah dan Rasul sebagamana rakan-rakannya dahulu – padahal dia adalah penentang tegar, setegar Abu Jahal dan Umayyah bin Khalaf.
Wallahu a’lam.
Oleh: Dr Tanaka Mustafa