Front Door Untuk Liberal?

Front Door Untuk Liberal?

Persaingan antara Islam dan musuhnya telah berjalan sejak sekian lama.

Semenjak Adam dicipta, Iblis sentiasa merasa dengki kerana percaya ciptaan dirinya daripada api adalah lebih mulia berbanding Adam yang terbentuk dari tanah yang baginya kotor.

Begitulah logik yang berlegar dalam fikiran Iblis.

Kalau dilihat munasabahnya ada di situ kerana tanah itu kelihatannya kotor, berlumpur dan busuk.

Manakala api pula bersinar, bersih dan tiada kekotoran, dilihat hebat dengan bakarannya.

Malangnya, Islam tidak berdiri dengan logik semata-mata.

Ia berkenaan ketaatan hamba kepada suruhan dan larangan yang Allah tetapkan sebagai pencipta semua makhluk di alam ini.

Maka asas pemikiran Iblis itu tertolak kerana Allah mahukan semua malaikat termasuk Iblis, sujud kepada Adam, sebagai tanda perhambaan dan ilmu Allah yang tiada bertepi itu.

Jadilah Iblis sebagai makhluk yang enggan, sombong dan takabur, melawan perintah Allah.

Berlanjutanlah dendam Iblis kepada Adam dan keturunannya.

Malah diberikan kelebihan kepada Iblis, tidak akan mati sehingga kiamat.

Seruan kebaikan Allah dan Rasul dibalas Iblis dengan seruan kemungkaran, larangan kepada kesesatan diimbal dengan larangan kepada hal yang makruf.

Begitulah menang dan kalah, nafsu kita mengikutnya dan melawannya.

Iblis sangat licik dengan kerjanya dan dibantu oleh jin dan manusia.

Iblis menunjukkan jalan untuk tidak melawan jalan yang lurus dari Allah itu secara kasar dan keras.

Tetapi dilawannya ia dengan lemah lembut, logik, nampak berfakta walau menyeleweng.

Supaya ia tidak menyebabkan tindak balas yang kuat daripada orang Islam.

Contohnya, dipujuknya Hawa bagi melembutkan hati Adam untuk memakan buah larangan itu, sehingga terkeluarlah keduanya daripada syurga.

Bukanlah Iblis datang memaksa Hawa.

Antara yang mengikut jejak langkah Iblis ini ialah kaum munafik dizaman Rasulullah dahulu.

Mereka solat, berpuasa, bersumpah untuk berbuat suruhan Allah bersama-sama umat Islam yang lain.

Namun sebaliknya mereka menikam Rasulullah daripada belakang dengan wajah yang manis dan mensabotaj banyak perancangan Rasulullah, sehingga mahu dibunuh Rasulullah disebalik muka tidak berdosa itu.

Berlarutan watak itu sehingga kini.

British salah satu entiti yang pandai bermain kata bagi mendapatkan hajat mereka.

Bukan kekayaan yang utama untuk mereka, tetapi ia adalah mahu memusnahkan Islam kerana ‘bapa’ orang Islam ketika itu, kekhalifahan Uthmaniah sudah hampir jatuh sewaktu British mula-mula menjejakkan kaki di Tanah Melayu.

Asbab utama melemahnya Islam.

Maka dijanjikan kepada Sultan dan pembesar Melayu Islam bahawa mereka tidak akan campur tangan dalam Islam dan adat negeri.

Dan akhirnya dirompaknya negeri, sumbernya disedut, adat dan agamanya pula disobek.

Dilantik Sultan Abdullah di Perak.

Setelah mendapat apa yang dimahukan, Sultan Abdullah dibuang negeri.

Dinaikkan Sultan Husin di Singapura, dibuat perjanjian melepaskan Singapura, kemudian Sultan Husin diturunkan takhta.

Menumpang di Pulau Pinang, akhirnya bersama Siam, mereka menyerang Kedah.

Perundangan yang Melayu Islam yang dikanunkan sebelum British muncul, akhirnya diubah menjadi lebih rendah daripada undang-undang sivil ciptaan Lord Reid itu.

Kekal sehingga sekarang.

Dahulu dengan keras ada yang pernah mengatakan rancangan pengukuhan perundangan Syariah melalui RUU355 adalah back door bagi Hudud.

Tuduhnya, ia adalah hukuman kuno yang zalim.

Namun apabila mereka pula yang menang, dengan nada memujuk, mereka mengatakan, hukuman Syariah lebih lembut dan lemah berbanding dengan hukuman sivil.

Adakah kita mahu melihat pesalah liwat hanya dikenakan hukuman tiga tahun penjara, denda RM5000 dan enam sebatan sahaja sedangkan sebatan sivil ialah jauh lebih memedihkan pesalah?

Konon pujuk mereka.

Sehingga sekarang kes Iki Putra belum didakwa semula di mahkamah sivil.

Sekali lagi diulang, Islam tidak terbina atas logik.

Tidak semestinya hukuman berat dan keras itu, adalah keadilan Islam.

Dengan cara yang hampir sama dengan apa yang saya petik daripada sejarah, adakah mungkin kita terlalu naif untuk memahami perancangan yang mungkin sedang dijalankan?

Semuanya dengan janji manis dan berlembut, bak British dahulu lagaknya.

Dengan keputusan Mahkamah Persekutuan ini, akan menjadikannya sebagai precedent kepada Enakmen Syariah yang lain, jika ada ia dicabar.

Maka bolehkah ia dikatakan sebagai front door bagi golongan liberal yang suka menentang Islam itu, sebagaimana tuduhan mereka terhadap usaha memperkasakan undang-undang Syariah sebagai back door kepada hukum hudud?

Apa bezanya syariat dalam Islam dengan bukan Islam?

Islam ada syarat dan rukun.

Lelaki bersetubuh dengan wanita ajnabi, menjadi zina kalau syarat dan rukunnya tidak dilanggar dan menjadi pahala suami isteri jika ia mengikut syariat.

Mohd Nasir Abdullah

Kolumnis