Inisiatif Skim MySalam yang terpalit isu penyelewengan RM2.37 bilion milik pemegang polisi dana sertaan tertutup Great Eastern Life Assurance Malaysia (GELM) masih belum diberikan jawapan penjelasan.
Bekas Penganalisis Insurans Jabatan Konsumer dan Amalan Pasaran Bank Negara Malaysia (BNM), Muhammad Hafiz Ipaldin mengulas kembali perkara yang bermula pada suku kedua tahun 2018 tersebut.
Menurutnya, syarikat induk Great Eastern Holdings (GEH) memberi cadangan untuk menggunakan sebahagian lebihan dana sertaan tertutup GELM bagi memenuhi syarat pengganti pelupusan saham GELM kepada Bank Negara Malaysia (BNM) dan Menteri Kewangan (MOF).
“BNM dan MOF bersetuju untuk menggunakan dana ini bagi tujuan tabung amanah MySalam, tetapi perkara ini bercanggah dengan pendapat Jabatan Perundangan BNM.
“Jabatan Perundangan menasihatkan Gabenor dan Timbalan Gabenor BNM bahawa lebihan dana sepatutnya diagihkan atau diperuntukkan mengikut prinsip 90/10 dan tidak patut dikaitkan dengan syarat pelupusan saham GELM,” katanya kepada HarakahDaily.
Beliau memberitahu, terdapat dokumen dasar pengurusan dana insurans 2013 yang menyatakan pemegang polisi hayat sertaan mempunyai kepentingan 90 peratus atau lebih dalam sebarang peruntukkan daripada mana-mana bahagian lebihan dana sertaan.
Menurut beliau, prinsip agihan lebihan 90/10 dikuatkuasakan di Malaysia sejak tahun 1997 setelah Peraturan Insurans 1996 dikenalkan yang mana GELM pula mengikuti prinsip ini lama sebelum 1997.
“Oleh sebab itu, lebihan ini tidak boleh diguna pakai untuk tujuan tabung amanah MySalam, sama ada terkait atau tidak terkait dengan syarat pelupusan saham.
“Tambahan pula sumbangan kepada tabung amanah Mysalam tidak ada kena mengena dengan pengurusan dan pengendalian dana sertaan GELM,” ujarnya.
Diberi pengecualian tetap?
Namun begitu, laporan Free Malaysia Today (10 January 2019) melaporkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ketika itu dengan mudahnya memberikan pengecualian kepada GEH daripada syarat pelupusan saham GELM.

Dinyatakan laporan tersebut, pengecualian itu diberikan dengan alasan GEH telah memberi komitmen RM2 bilion dalam skim MySalam walaupun pembayaran tersebut masih belum dibuat.
Laporan The Edge (4 Februari 2019) pula mengenalpasti pengecualian tersebut sebagai pengecualian tetap dan penggunaan lebihan dana sertaan tertutup GELM untuk memuaskan syarat pengganti syarat pelupusan.
“Pengecualian tersebut diberi Menteri Kewangan pada masa itu sebelum laporan penilaian bebas BNM siap lagi.
“Padahal penilaian bebas tersebut sepatutnya dimuktamadkan pada hujung tahun 2019,
“Panel laporan tersebut dipertanggungjawabkan untuk mengambil kira keadilan penggunaan lebihan dana sertaan tertutup bagi tujuan pemegang saham,” katanya lagi.
Beliau mempersoalkan tahap kebebasan yang ada pada panel laporan penilaian bebas BNM itu sendiri kerana Menteri Kewangan belum menerima pembayaran RM2 bilion daripada pihak GEH tetapi sudah menjalankan skim Mysalam.
Bekas Pengerusi GEH, Koh Beng Seng, mengikut minit Mesyuarat Am Tahunan pada 18 April 2019 juga telah memaklumkan pemegang saham GEH bahawa tidak akan ada kesan material kepada untung dan rugi.

Bahkan menurut minit itu beliau memaklumkan tidak akan ada apa-apa kesan terhadap nilai terbenam syarikat akibat komitmen GEH kerana sumbangan tersebut akan dibuat terus dari lebihan dana sertaan GELM.
“Perkara sebegini hanya boleh terjadi jika bahagian yang sepatutnya diperuntukkan kepada pemegang polisi sememangnya ditetapkan dari permulaan penilaian bebas untuk tujuan Mysalam dan pemegang saham GELM.
“Kalau ini tidak boleh dikira sebagai bukti sahih persekongkolan antara GEH, GELM, Menteri Kewangan dan BNM pada ketika itu, maka saya tak tahu nak cakap apa lagi,” kesalinya.
Perkara tersebut juga pernah dipersoalkan oleh Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Wee Ka Siong ketika itu di dalam Sesi Kamar Khas Parlimen yang bertarikh 19 November 2019.
Wee Ka Siong dalam media sosial Facebook menyatakan dalam sesi tersebut, beliau mempersoalkan bagaimana GEH telah mendapat pengecualian daripada syarat pelupusan saham GELM sedangkan RM2 bilion masih belum dibayar dalam tabung skim MySalam.





“Namun begitu soalan saya ini gagal dijawab dan jawapan Menteri Kewangan asyik berpusing-pusing dan tidak menjawab secara ‘direct’,” katanya dan lain soalan yang ditanya tetapi lain pula dijawab oleh pihak Kementerian Kewangan pada ketika itu.
Dapat pelepasan cukai
Kata Muhammad Hafiz lagi, penyelewengan tersebut bermula pada 3 Mac 2020 yang mana sebanyak RM2.64 bilion dipindahkan daripada dana sertaan tertutup GELM kepada dana pemegang saham GELM sendiri setelah syarikat tersebut diberikan pelepasan cukai sebanyak RM569 Juta.
Kata beliau, sebanyak RM2.37 bilion (mewakili 90 peratus daripada jumlah RM2.64 bilion yang dikeluarkan) hak milik pemegang polisi dana sertaan tertutup pula digunakan bagi membayar dividen kepada GEH pada 4 Mac 2020 untuk disalurkan ke dalam tabung MySalam.
Duit tabung MySalam pula digunakan untuk menampung kos sumbangan takaful keseluruhan skim MySalam yang dianggarkan sebanyak RM112 bagi setiap individu selama lima tahun tanpa GEH perlu mengeluarkan wang sendiri.
“Perkara sebegini tidak boleh sesekalipun dibiarkan kerana ia melibatkan wang dana insurans sertaan tertutup GELM dan hak pemegang polisi di dalamnya,” terang Muhammad Hafiz lagi.
Beliau melabelkan sifat sebegini sebagai ‘merompak Peter untuk membayar Paul’ (Robbing Peter to Pay Paul) kerana sanggup melakukan pecah amanah yang bertujuan supaya GEH tidak perlu menjual 30 peratus pemilikan saham GELM kepada pemegang saham dalam negara ini.
“Dengan lain kata, GEH hanya mahu kekalkan pemilikan sepenuhnya terhadap syarikat GELM tetapi dengan cara yang tidak berintegriti,” katanya yang telahpun meninggalkan pekerjaan itu pada tahun 2021 setelah berkali-kali melaporkan masalah tersebut kepada BNM tetapi telah diendahkan.
Tambah beliau, seharusnya BNM perlu peka mengenai isu tersebut namun perkara sebaliknya pula yang terjadi.
“Hak pemegang polisi dana sertaan tertutup yang sudah lama mencarum dalam GELM hasil titik peluh mereka harus dilindungi tetapi BNM hanya mengambil maklum pada permukaan sahaja mengenai perkara sebegini,” katanya.
Tambahnya, beliau tidak setuju dengan intipati tersirat jawapan MOF dalam sesi Kamar Khas Parlimen 2019 yang sama kerana ia memberi andaian bahawa lebihan dalam dana sertaan tertutup GELM terkumpul sebelum keperluan pengawalseliaan khusus diperkenalkan.
Menurut beliau, ini melibatkan pengumpulan daripada generasi lalu yang berbeza dan disebabkan ini boleh digunapakai untuk tujuan lain di mana sedemikian itu sama sekali tidak benar.
“Sebahagian besar daripada pengumpulan ini bermula tahun 90-an dan melibatkan aliran kewangan yang sewaktu dengan generasi semasa dalam dana tertutup. Prinsip agihan 90/10 terpakai waktu itu.
“Ini bukan cerita seratus tahun dulu tetapi sesuatu yang baru lagi. Sepatutnya, lebihan ini tidak termasuk dalam ‘Estate’ (lebihan atau bahagian aset generasi lalu) tetapi digolongkan dalam bahagian aset generasi semasa,” terangnya.
Beliau berkata, andaipun terdapat ‘Estate’ dalam dana sertaan, prinsip agihan lebihan 90/10 tetap terpakai kerana terdapat pemindahan hak lebihan dari generasi lalu ke generasi semasa dan hak pemegang saham kekal tak ubah.
“Ini penting untuk difahami kerana penggunaan prinsip atau nisbah agihan yang lebih memihak kepada pemegang saham bagi bahagian lebihan generasi lalu akan menyebabkan terjadinya insentif yang menyimpang.
“Pemegang saham akan tertarik untuk menahan lebihan dari yang sepatutnya dan akan mengakibatkan pembayaran rendah kepada pemegang polisi,” ujar beliau lagi.
Menurut Hafiz, ketetapan dalam Akta Perkhidmatan Kewangan memerlukan penjagaan kepentingan dan layanan adil kepada pemunya polisi.
“Ini tak boleh berlaku tanpa keseimbangan hak pemegang saham dan pemegang polisi dalam dana tertutup. Oleh itu, semua lebihan harus diperuntukkan mengikut prinsip agihan 90/10 sebelum pemegang polisi terakhir meninggalkan dana tersebut,” jelasnya.
Beliau menggesa semua pemegang polisi dana sertaan tertutup GELM (polisi sertaan dengan tarikh permulaan sebelum 2005), termasuk pemegang polisi lalu, supaya mengambil tindakan sewajarnya seperti laporan polis secara besar-besaran dan pengaduan besar-besaran terhadap BNM dan GELM itu sendiri.
Ini kerana kata beliau, mereka semua mempunyai hak untuk mempertahankan hasil titik peluh sendiri lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu.
Harakah Daily