Manusia itu hidup dengan dua komponen – jasad dan roh.
Selain berusaha mencari jalan membantu rakyat dalam hal politik, ekonomi dan sosial, pemimpin yang baik harus sentiasa mengajak rakyat mendekatkan diri kepada Allah.
Bukan sahaja bercakap pasal ekonomi, pasal ringgit jatuh, pasal hang tak reti jaga negara – tetapi juga meletakkan kebergantungan pengharapan hanya kepada Allah.
Dalam surah Nuh, ayat 10-11, Nabi Nuh menyeru kepada kaumnya supaya beristighfar mohon ampun, bertaubat.
فَقُلْتُ ٱسْتَغْفِرُوا۟ رَبَّكُمْ إِنَّهُۥ كَانَ غَفَّارًۭا
Sehingga aku berkata (kepada mereka): `Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun.
يُرْسِلِ ٱلسَّمَآءَ عَلَيْكُم مِّدْرَارًۭا
(Sekiranya kamu berbuat demikian), Ia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu
Nescaya dengan taubat itu, akan dicurah rahmat, keampunan serta rezeki yang mencurah-curah.
Hujan mencurah-curah itu simbolik kepada rezeki yang mencurah-curah.
Dengan apa kita diajar untuk menggamit rezeki mencurah-curah?
Ya, dengan istighfar dan taubat atas dosa-dosa kita.
Pelajaran, formula dan solusi kesukaran ekonomi kita hari ini – tiada istilah istighfar, mohon ampun atas dosa-dosa.
Walau sepadu mana pun formula ekonomi kita, rezeki ekonomi yang mencurah-curah itu adalah milik Allah, dan Allah lah yang Maha Pemberi rezeki yang mencurah-curah.
Formula ini tiada dalam kamus pakar ekonomi, pakar IT, jaguh sukan dan juga jutawan…
Maka pemimpin yang berimanlah yang harus menunjukkan jalan, mengajar fomula wahyu.
Selain berusaha dengan ilmu dan instrument duniawi, faktor Maha Pemberi rezeki itu tidak boleh dibuang daripada apa jua formula dan teori ekonomi.
Formula wahyu ini, tentunya tidak akan dapat dicapai oleh akal yang tidak mahu beriman kepada Allah dan hari Akhirat.
Mereka bilang, apa kaitannya mohon ampun dosa dengan naik turun ekonomi?
Atas dosa apa ringgit jatuh enggak naik-naik?
Mau istighfar bagaimana untuk harga barang turun?
Mereka lupa dan tiada dalam kamus logik mereka bahawa Allah lah Tuhan yang Maha Pemberi rezeki.
Allah memberi rezeki atas aturan-Nya yang Maha Agung.
Allah menetapkan rezeki kepada manusia pada kadar yang ditentukan-Nya, dan memberi rezeki yang mencurah-curah kepada orang-orang yang benar-benar yakin dengan ketetapan-Nya.
Oleh: Dr Tanaka Mustafa