Sudah lama kita melupakan saudara kita di sana. Adakah kita hanya bermusim?
Jika benar, difahami dari video ini musuh kita tahu akan pesanan Rasulullah itu.
Hanya sahaja mereka menunggu waktu itu. Dan mereka akan bertindak ketika waktu itu sampai.
Manakala kita sedang menghadapi waktu yang disebutkan Rasulullah, kita diumpamakan menjadi buih, dikelilingi serigala, tetapi apa yang telah kita lakukan?
Hanya menyalahkan sesama kita, tiada kekuatan untuk berjuang.
Ulamak sudah berpesan kepada kita, tetapi ada pula yang membenci dan melawan ulamak.
Lihat sahaja isu undang-undang Syariah, akhirnya kita terkulai di bawah hujahan peguam yang mengamalkan perundangan sivil yang mengatakan tiada apa-apa.
Sedangkan di sebelah perundangan Syariah, banyak pandangan dari cerdik pandai muslim ia jelas dianggap sebagai satu ancaman besar.
Kita masih mempunyai kekuatan diri.
Mungkin tidak perlu kita ke sana berjihad kerana ada pendapat ulamak yang mengatakan tidak wajib bagi kita yang jauh.
Akan tetapi berjihadnya kita di sini, bermula daripada dalam diri kita dan dari perkara yang kecil.
Tidak sayugia kita berapi-api marahkan musuh yang sudah kita sedia maklum akan mahu mencari kelemahan Islam bagi mengalahkan kita.
Sedang dalam waktu yang sama, kita tidak mampu mengubah keadaan yang dekat dan kecil dengan kita.
Tahniah kepada Kerajaan Negeri Terengganu kerana disebalik serangan bertali arus terhadap undang-undang Syariah, Terengganu tetap mengenakan hukuman yang diperuntukkan oleh Enakmen Kanun Jenayah Syariah (EKJS) terhadap pesalah Syariah baru-baru ini atas kesalahan berkhalwat.
PAS pernah bersusah payah mengangkat EKJS ini dengan segala pengorbanan pimpinan terdahulu bagi mendapat perkenan Tuanku.
Ia kekal dalam enakmen walaupun selepas itu musuh berjaya mengambil alih pemerintahan.
Sekaligus membuktikan apa yang kita luluskan itu benar, walaupun mereka membantah sebelum itu.
Dan kini, hanya tinggal kita yang akan mempertahankannya.
Ia adalah sah dan mengikut perlembagaan.
Tidak perlu kita memandang terlalu jauh di Asia Barat sana walaupun kita merasa amat sedih atas apa yang berlaku.
Di sini jihad kita bagi mempertahankan perundangan Syariah ini sangat bermakna.
Kita bersiap dari awal, bagi mengelakkan perkara yang terjadi di sana berulang di sini.
Ia bukan kewajipan ahli PAS sahaja, tetapi seluruh umat Islam.
Mohd Nasir Abdullah