Presiden PAS Yang Dikeji Dan Dipuji

Presiden PAS Yang Dikeji Dan Dipuji

Dari dulu lagi, kalau seseorang itu mahu popular, belasahlah Presiden PAS, lawanlah dia, maka orang itu akan terkenal.

Atau boleh juga mengangkat atau memuji dia.

Atas tokoh lain, cara ini kurang menjadi jika dibuat begitu kalau mahu terkenal. Entahlah kenapa.

Amanat Haji Hadi, isu dua imam, kafir mengkafir, peristiwa Memali, melarikan duit derma, mandi bogel dalam kolah, royalti ditarik ketika menjadi MB, bergandingan dengan DAP dan PKR, Langkah Kajang, berbaik dengan Umno, Langkah Sheraton, berbaik dengan Tun Mahathir, bergabung dengan Bersatu, dilantik menjadi Duta Khas, semua peristiwa penting itu melibatkan beliau secara umum dan peribadi.

Dan semasa peristiwa-peristiwa itu berlaku, berapa banyak kejian, hinaan, cercaan tidak kurang juga pujian daripada mulut musuh dan rakan beliau.

Semua musuhnya cuba menjadi juara dengan kejian dan fitnah itu.

Puas hati mereka jika Presiden PAS dapat mereka hina dan menjadi kebanggaan peminat mereka.

Alhamdulillah Presiden PAS tidak rebah kerana dikeji, tidak berdiri kerana dipuji.

Beliau kekal kerana Islam yang beliau amalkan.

Aku sebagai ahli jemaah, tahu fitnah daripada musuh itu pembohongan dan aku juga tahu pujian daripada rakan itu kebenaran kerana kami mengenali pemimpin kami.

Beliau bukan sesiapa tetapi kerana Islamlah beliau dihebatkan oleh Allah.

Aku menyaksikan dan jutaan orang dari seluruh dunia bersetuju beliau mengamalkan Islam yang benar yang ada rujukannya.

Cukuplah itu untuk menjadi bukti kebenaran yang beliau bawakan.

Sebab itu aku mengikut beliau. Walaupun tahu ada kelemahan beliau sebagai seorang manusia.

Tetapi siapakah yang sempurna?

Oleh itu duduk di bawah jemaah yang beliau terajui sekarang, PAS, membuktikan kita tidak hanya memuji beliau, tetapi sanggup bersama beliau kerana ilmu.

Di Malaysia, ketika ini, siapakah pemimpin Islam yang boleh membawa pengikut yang dari pelbagai fikrah duduk di bawah satu jemaah seperti yang berlaku dalam PAS?

Kita ketepikan perbezaan fikah ini demi penyatuan Islam. Ini yang beliau lakukan dalam PAS.

Di akhirat nanti, kita akan ditanya, siapakah pemimpin kita dan kita akan mengikuti mereka.

Jika salah jalannya, maka celakalah kita.

Namun jika benar arahnya, insya Allah kita akan selamat.

Semoga Allah sentiasa merahmati Presiden PAS dan kami yang duduk di bawah beliau, amiin.

Selamat beribadat dengan khusyuk pada malam Nisfu Syaaban, semoga amalan anda diterima Allah.

Mohd Nasir Abdullah

Kolumnis