Pertama kali aku dapat mencium Hajarul Aswad, keadaan bersesak-sesak dengan manusia.
Aku masuk menerusi Rukun Yamani perlahan-lahan bergerak bertempel di dinding Kaabah dan ke Hajarul Aswad.
Itulah cara terbaik untuk pergi, pesan orang yang berpengalaman.
Aku juga dipesan jika berasak-asak, jaga elok-elok anggota kita supaya tidak menyakitkan orang.
Alhamdulillah aku berjaya ikut nasihat mereka.
Aku lihat sekumpulan wanita juga turut berebut-rebut cuba memasuki kawasan yang agak bahaya itu.
Aku takut mereka terjatuh, dan akibatnya sangat buruk apabila dipijak orang.
Sudah banyak kes seperti itu terjadi.
Mereka aku lihat dikawal oleh sekumpulan lelaki yang kemudiannya aku mendapat tahu pengawal itu adalah scammers di Mekah.
Caranya, mereka akan menawarkan kepada jemaah yang berhajat untuk mencium Hajarul Aswad.
Mereka majoritinya dari Indonesia dari percakapan mereka.
Maka pelawaan itu diterima. Mereka pergi dengan asakan-asakan.
Siku bahu yang boleh menyakitkan jemaah lain adalah perisai mereka.
Mereka terus mara dan aku lihat salah seorang jemaah wanita yang berjaya keluar dari kelemasan itu hampir tercabut jilbabnya, menampakkan sebahagian auratnya.
Dia angkat oleh lelaki yang aku bersangka baik dia adalah mahramnya kerana kelemasan tidak boleh bernafas.
Tiada kamera ketika itu kerana penggunaan telefon bimbit di awal 2000 dahulu masih ditegah di dalam Masjidil Haram.
Kemudian aku diberitahu, scammers ini akan meminta bayaran yang tidak masuk akal kerana tiada persetujuan dari awal yang mereka mesti membayar perkhidmatan itu.
Jemaah menyangka ia hanyalah bantuan ikhlas.
Sehingga ke hotel mereka akan mengejar minta dilunaskan bayaran servis mereka.
Kenapa jemaah Indonesia menjadi mangsa mereka?
Kerana menurut kawan aku dari Indonesia, mencium Hajarul Aswad bagi jemaah adalah satu kebanggaan bagi mereka.
Pulang ke tanah air, itulah antara soalan yang akan ditanya.
Dapat cium Hajarul Aswad atau tak?
Tidak lagi ditanya berkenaan amalan menulis nama di batu-batu sebagai seruan entah ke apa benda.
Budaya ini meresap kepada majoriti jemaah yang akhirnya diterima sebagai salah satu pengaruh yang mesti mereka lakukan jika ke Tanah Suci.
Mujur masih ramai lagi alim ulamak dari Indonesia yang berkerja keras untuk menghapuskan pemikiran ini.
Ramai rakan aku dari Indonesia yang juga kecewa dengan sikap sesetengah jemaah mereka yang jahil itu.
Di Malaysia kelihatannya amalan atau budaya sebegini kian meresap.
Ini kerana ibadat ini tidak dilakukan dengan ilmu yang cukup.
Merasa pandai dengan sedikit bacaan di Google dan tontonan di YouTube.
Ditambah lagi dengan mendengar ‘cerita orang’ bukan alim ulamak.
Sebab itu ada laporan jemaah umrah Malaysia yang berniat umrah di Jeddah sebab umrah DIY katanya.
Semua boleh buat sendiri, macam melancong.
Jika kita masih ingat beberapa tahun lalu, seorang lelaki yang berpakaian wanita pergi menunaikan umrah dan berjaya menunaikan semua ibadah itu sebagai seorang wanita.
Apa yang mutawif lakukan untuk menghalang jika sedari awal sudah tahu siapa empunya badan sebenarnya kerana dia sangat popular?
Kepada mutawaif juga, walaupun ramai dari kalangan yang bukan berpendidikan agama, disebabkan kerja ini dibayar dengan jumlah yang banyak, seharusnya memperbanyakkan bacaan supaya ibadat ini kekal sebagai ibadat, bukan pakej pelancongan.
Anda dapat duit, anda juga dapat pahala.
Oh lupa, cerita aku berkenaan mencium Hajarul Aswad tadi.
Aku kemudiannya mendapati yang aku cium itu ialah ‘casing’ atau bekas Hajarul Aswad sahaja yang berkilat seperti aluminium itu, bukan batu hitam yang terletak di dalamnya kerana aku ditolak keluar.
Jadi aku sudah sampai di depan Hajarul Aswad, tapi malangnya aku tidak dapat menciumnya lagi.
Mesti niat aku tak betul masa tu kut?
Tak apa, nanti aku masuk gym, biar badan aku sasa, lepas tu boleh masuk nak cium Hajarul Aswad.
Mohd Nasir Abdullah