Menjawab Shaiful Hazizy: Nilai Dengan Fakta Bukan Auta

Menjawab Shaiful Hazizy: Nilai Dengan Fakta Bukan Auta

Saya teliti dakwaan Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy bahawa Kedah Agro mengalami kerugian ketika di bawah era al-Marhum Tan Sri Ustaz Azizan mentadbir Kerajaan Negeri.

Saya yakin beliau tidak pernah atau belum pernah meneliti Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2017 bagi Pengurusan Aktiviti Jabatan/Agensi dan Pengurusan Syarikat Kerajaan Negeri Kedah Siri Kedua (“LKAN 2017”).

Kedah Agro Holdings Berhad (“KAHB”) ditubuhkan pada 24 Ogos 2008 di bawah punca kuasa Akta Syarikat 1967 dan menjadi Syarikat Berhad Menurut Syer milikan penuh Perbadanan Menteri Besar Kedah (MBI).

Tahun itu adalah tahun pertama PAS mentadbir Kerajaan Negeri Kedah di bawah pemerintahan al-Marhum Tan Sri Ust Azizan Abd Razak.

Saya ingin mengingatkan Sdr Shaiful bahawa LKAN 2017 memberikan teguran keras terhadap kelemahan pengurusan dan pentadbiran perjalanan kewangan dan urus tadbir KAHB.

Pertama, kerugian sebelum cukai untuk dua tahun berturut-turut pada tahun 2015 dan 2016 berjumlah RM0.56 juta dan RM0.67 juta.

Mengapa KAHB mengalami kerugian pada masa itu?

Ini kerana pembaziran perbelanjaan yang bermewah pada tahun 2016 dengan ganjaran, elaun bulanan Lembaga Pengarah dan saguhati Hari Raya Lembaga Pengarah berjumlah RM240 ribu.

Kedua, projek ternakan ikan sangkar di Sungau Menghulu, Langkawi yang melibatkan 187 sangkar mulai tahun 2016 tidak memberikan pulangan hasil kepada syarikat.

LKAN 2017 menyatakan;

“Berdasarkan Minit Mesyuarat Lembaga Pengarah Kedah Agro Holdings Bil 4/2017, kali terakhir anak ikan kerapu hibrid dibawa masuk adalah pada 27 Oktober 2017 sebanyak 5,000 ekor. Lawatan Audit pada 18 Julai 2018 mendapati tiada ikan di dalam sangkar.”

Projek menternak ikan tetapi ikan tiada dalam sangkar!

Ketiga, projek Beras Agro melalui perjanjian Contract Manufacturing dan Supply Agreement pada 2 Mac 2016 tidak melalui proses pemantauan projek yang teliti selain perjanjian yang tidak lengkap dengan syarikat pembekal.

Keempat, projek usaha sama rangkaian peruncitan D’Aman Mart yang mula beroperasi pada 29 Ogos 2017 tidak memberi sebarang hasil kepada KAHB selain dilakukan dalam keadaan sambil lewa.

Kelima, projek ternakan Lembu Fidlot di Sungai Laka, Bukit Kayu Hitam dengan sewaan ladang RM9,820 secara bulanan bermula 1 September 2017.

Projek ini juga tidak memberikan hasil kepada KAHB, malah lawatan Audit pada 19 Julai 2018 mendapati ‘kandang lembu masih kosong kerana jalan masuk ke kandang tidak boleh dilalui kenderaan berat’ (mukasurat 121).

Bela lembu tapi lembu juga tiada!

Kesemua ini adalah hasil daripada LKAN 2017 dan daripada titik itulah KAHB berada dalam situasi terperangkap sehingga ke hari ini.

Persoalannya, siapakah yang mentadbir Kerajaan Negeri ketika tu kalau bukan parti sealiran dengan beliau sendiri?

YAB Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi ambil pendekatan tidak ‘scrape-off’ hasil pentadbiran lama kerana mengambil kira pelbagai faktor ke depan.

Malangnya, UMNO lebih berminat mencari jalan membuka pekung sendiri sehinggalah terdedahlah punca kepincangan dalam pengurusan KAHB itu sendiri sejak tahun 2016.

Saya nasihatkan kepada Sdr Shaiful, berehatlah dan berikan fokus kepada ibadah dalam bulan yang mulia yang masih berbaki ini.

Itu lebih baik daripada bercakap perkara-perkara yang tidak berfaedah.

Salim Mahmood Al-Hafiz,
Ketua Penerangan PAS Kedah

Kedah