Juz ke 16 bermula dengan surah Al-Kahfi sambungan pada ayat 75 hingga akhir surah dan seterusnya surah Maryam dan Thoha.
Dalam Al-Kahfi, Allah menceritakan kisah Nabi Musa bersama Nabi Khidr dan ternyata banyak perkara yang dipersoalkan oleh Nabi Musa walaupun diminta untuk bersabar dan tidak membantah dengan tindakannya.
Setelah diterangkan, baharulah Nabi Musa dapat melihat kesan dan hikmah dari perlakuan Khidr Alaihissalam.
Begitulah juga dalam kehidupan, tidak perlu semua perkara dipersoalkan khasnya apa yang telah menjadi suruhan Allah kerana di sana pasti adanya hikmah yang tersendiri.
Seterusnya Allah memberitakan kisah Yakjuj dan Makjuj dan kekuasaan Raja Zulkarnain yang berupaya membentengi daripada kerosakan mereka.
Yakjuj dan Makjuj berasal dari kalangan anak-anak Yafith bin Nuh Alaihissalam.
Ada sesetengah pendapat membuat ijtihad dengan dikaitkan bangsa ini dengan Tartar dan Mongol.
Ada juga yang berpendapat Yakjuj dan Makjuj adalah daripada bangsa Yahudi kerana kaum Yahudi dikatakan pernah menduduki kawasan timur.
Ada pendapat menyebut bahawa mereka tinggal di bandar terpencil di sebelah timur jauh di antara sempadan negara China dan di hujung Mongolia.
Di situlah Zulkarnain telah membina sebuah tembok yang besar bagi menyekat Yakjuj dan Makjuj daripada keluar ke muka bumi untuk membuat kerosakan.
Sementara di permulaan surah maryam, diceritakan kisah Maryam yang melahirkan anak tanpa bersuami dan ia menjadi kepelikan serta kemarahan masyarakatnya.
Apabila tiba di kampungnya, orang-orang kampung menuduh Maryam berzina lalu Nabi Isa dalam kendongan Maryam telah bercakap dan membersihkan nama bondanya.
Maka tersebarlah cerita mengenai Nabi Isa yang masih bayi tetapi sudah boleh bercakap.
Setelah itu, penduduk kampung kembali menghormati Maryam dan anaknya yang bernama Isa.
Dalam juz ini, turut diceritakan kisah dakwah Nabi Ibrahim sehingga baginda terpaksa berdepan dengan bapanya sendiri dengan pelbagai hujah untuk menarik bapanya agar beriman kepada Allah, namun baginda dihalau dan ternyata baginda menggunakan pendekatan dakwah yang lunak dan dengan penuh hormat dalam berhadapan dengan penentang di kalangan keluarga.
Mengakhiri juz ke 16 ini, dibawakan kisah yang panjang tentang Nabi Musa dan Nabi Harun begitu juga dengan kisah patung lembu yang dibuat oleh Samiri yang berakhir dengan penyembahan kepada patung itu.
Nabi Musa kemudiannya berjaya menyelesaikan acara syirik tersebut dan patung lembu kemudian dimusnahkan oleh baginda.
Surah Toha ini mempunyai sejarah yang sangat agung dalam tawarikh Islam kerana melalui surah inilah, Saidina Umar Al-khattab telah memeluk Islam.
Apabila beliau sendiri membaca pada ayat 14 surah Thoha setelah membersihkan diri, hatinya menjadi lembut serta-merta dan menerima lslam sebagai agama anutannya.
Sentiasalah berniat ikhlas dalam melaksanakan perjuangan menegakkan kalimah Allah di tanah air kita.
Dengan keikhlasan tersebut, Allah akan mengira gerak kerja kita sebagai jihad yang besar dan menjarakkan kita daripada api neraka sebagaimana jarak langit dan bumi.
Sabda Rasulullah S.A.W:
من صامَ يومًا في سبيلِ اللَّهِ جعلَ اللَّهُ بينَهُ وبينَ النَّارِ خندقًا كما بينَ السَّماءِ والأرضِ
“Barangsiapa yang berpuasa sehari sahaja fi sabilillah, maka Allah menjadikan di antara dia dan api neraka satu lubang (parit) besar yang jaraknya sebagaimana langit dan bumi”.
(Riwayat Tirmidzi)
Dato’ Ahmad Yakob