Firman Allah SWT:
شَهۡرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِيٓ أُنزِلَ فِيهِ ٱلۡقُرۡءَانُ هُدٗى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَٰتٖ مِّنَ ٱلۡهُدَىٰ وَٱلۡفُرۡقَانِۚ…١٨٥
“(Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadan, bulan yang padanya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dengan yang batil)…”
[Surah al-Baqarah: 185]
Firman Allah SWT:
إِنَّآ أَنزَلۡنَٰهُ فِي لَيۡلَةِ ٱلۡقَدۡرِ١
“Sesungguhnya, Kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam al-Qadar (yang besar kadar kelebihannya).”
[Surah al-Qadr: 1]
Al-Quran diletakkan di tempat yang mulia dan hebat.
Hal ini sebagaimana firman Allah SWT:
۞فَلَآ أُقۡسِمُ بِمَوَٰقِعِ ٱلنُّجُومِ٧٥ وَإِنَّهُۥ لَقَسَمٞ لَّوۡ تَعۡلَمُونَ عَظِيمٌ٧٦ إِنَّهُۥ لَقُرۡءَانٞ كَرِيمٞ٧٧ فِي كِتَٰبٖ مَّكۡنُونٖ٧٨ لَّا يَمَسُّهُۥٓ إِلَّا ٱلۡمُطَهَّرُونَ٧٩ تَنزِيلٞ مِّن رَّبِّ ٱلۡعَٰلَمِينَ٨٠
“Maka, Aku bersumpah dengan tempat peredaran bintang cakerawala (ketetapan masa turunnya bahagian-bahagian al-Quran). (75)
“Sesungguhnya, sumpah itu adalah sumpah yang besar kalau kamu mengetahui. (76)
“Sesungguhnya, al-Quran ini adalah bacaan yang sangat mulia. (77)
“Pada kitab yang terpelihara (Lauh Mahfuz). (78)
“Tidak menyentuhnya kecuali orang-orang yang disucikan. (79)
“(Ia) diturunkan daripada Tuhan sekalian alam. (80)”
[Surah al-Waqi‘ah: 75-80]
Para ulama’ meriwayatkan bahawa al-Quran itu diturunkan secara keseluruhannya dari Lauh Mahfuz ke kawasan Bait al-‘Izzah di langit dunia.
Kemudian, ia diwahyukan sedikit demi sedikit dalam tempoh masa 23 tahun bagi menyatakan ajaran Islam yang sempurna dalam perkara aqidah, syariat dan akhlak, serta menyatakan hukum, jawapan kepada sebab yang berlaku, soalan, ilmu kejadian alam, cerita yang diambil iktibar, berita akhirat dan perkara alam ghaib dan lain-lain.
Adapun kitab suci para rasul terdahulu, ia diturunkan sepenuhnya sekali gus.
Al-Quran ialah mukjizat ilmu yang diberikan kepada Nabi akhir zaman, Nabi Muhammad SAW secara berperingkat.
Perkara ini berbeza dengan mukjizat para rasul sebelumnya mengikut zaman masing-masing yang diwahyukan sepenuhnya sekali gus.
Al-Quran menyatakan petunjuk semua ilmu yang berkait dengan seluruh ajaran Islam yang sempurna, berkenaan urusan dunia dan akhirat, alam nyata dan alam ghaib, hubungan manusia dengan Allah, dirinya sendiri, jasad, roh, akal, keluarga dan masyarakat.
Turut dinyatakan ilmu agama dalam urusan ibadat, dan ajaran agama dalam urusan mentadbir dunia dengan agama, dalam aspek politik negara, ekonomi dan semua urusan kehidupan dan hubungannya dengan semua keperluan.
Termasuklah sains dan teknologi dalam segala jurusannya mulai aspek alam sekitar dunia sehingga ke angkasa lepas dan alam ghaib yang tidak boleh dicapai oleh akal manusia, sehinggalah ilmu sihir yang diharamkan.
Kesempurnaan al-Quran dan kehebatan ilmunya tidak mampu dicapai oleh manusia kerana al-Quran berasal daripada ilmu Allah Yang Maha Suci daripada segala kekurangan dan kelemahan.
Seterusnya, inti pati al-Quran itu dilaksanakan melalui hikmah rasul pilihan Allah.
Semua ilmuwan dalam segala lapangan yang mengkaji al-Quran dengan ikhlas, akhirnya menyerah diri dan mengakui kebenarannya.
Termasuk kalangan mereka yang menyanggah kebenaran al-Quran pada awalnya, akhirnya mengaku mereka tersalah dan al-Quran adalah jawapan yang betul.
Namun, hanya yang mendapat hidayah sahaja akan menyerah diri secara iman dan Islam.
Firman Allah SWT:
وَإِن كُنتُمۡ فِي رَيۡبٖ مِّمَّا نَزَّلۡنَا عَلَىٰ عَبۡدِنَا فَأۡتُواْ بِسُورَةٖ مِّن مِّثۡلِهِۦ وَٱدۡعُواْ شُهَدَآءَكُم مِّن دُونِ ٱللَّهِ إِن كُنتُمۡ صَٰدِقِينَ٢٣ فَإِن لَّمۡ تَفۡعَلُواْ وَلَن تَفۡعَلُواْ فَٱتَّقُواْ ٱلنَّارَ ٱلَّتِي وَقُودُهَا ٱلنَّاسُ وَٱلۡحِجَارَةُۖ أُعِدَّتۡ لِلۡكَٰفِرِينَ٢٤
“Dan jika kamu (tetap) dalam keraguan tentang al-Quran yang Kami wahyukan kepada hamba Kami (Muhammad), cubalah reka satu surah (sahaja) yang semisal al-Quran itu dan ajaklah penolong-penolongmu selain Allah, jika kamu orang-orang yang benar. (23)
“Maka, jika kamu tidak dapat merekanya, dan pasti kamu tidak akan dapat merekanya, maka peliharalah dirimu daripada neraka yang bahan bakarnya manusia dan batu, yang disediakan bagi orang-orang kafir. (24)”
[Surah al-Baqarah: 23-24]
Allah menceritakan betapa para malaikat yang suci dan mulia itu tunduk serta patuh kepada ilmu Allah serta menerimanya, apabila makhluk manusia itu ditetapkan peranan untuk mentadbir dunia bersama Kitab-Nya.
Perkara ini dijelaskan oleh firman Allah SWT:
وَإِذۡ قَالَ رَبُّكَ لِلۡمَلَٰٓئِكَةِ إِنِّي جَاعِلٞ فِي ٱلۡأَرۡضِ خَلِيفَةٗۖ قَالُوٓاْ أَتَجۡعَلُ فِيهَا مَن يُفۡسِدُ فِيهَا وَيَسۡفِكُ ٱلدِّمَآءَ وَنَحۡنُ نُسَبِّحُ بِحَمۡدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَۖ قَالَ إِنِّيٓ أَعۡلَمُ مَا لَا تَعۡلَمُونَ٣٠ وَعَلَّمَ ءَادَمَ ٱلۡأَسۡمَآءَ كُلَّهَا ثُمَّ عَرَضَهُمۡ عَلَى ٱلۡمَلَـٰٓئِكَةِ فَقَالَ أَنۢبُِٔونِي بِأَسۡمَآءِ هَـٰٓؤُلَآءِ إِن كُنتُمۡ صَٰدِقِينَ٣١ قَالُواْ سُبۡحَٰنَكَ لَا عِلۡمَ لَنَآ إِلَّا مَا عَلَّمۡتَنَآۖ إِنَّكَ أَنتَ ٱلۡعَلِيمُ ٱلۡحَكِيمُ٣٢ قَالَ يَـٰٓـَٔادَمُ أَنۢبِئۡهُم بِأَسۡمَآئِهِمۡۖ فَلَمَّآ أَنۢبَأَهُم بِأَسۡمَآئِهِمۡ قَالَ أَلَمۡ أَقُل لَّكُمۡ إِنِّيٓ أَعۡلَمُ غَيۡبَ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَأَعۡلَمُ مَا تُبۡدُونَ وَمَا كُنتُمۡ تَكۡتُمُونَ٣٣
“Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, ‘Sesungguhnya, Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi.’ Mereka berkata, ‘Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan melakukan kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan menyucikan Engkau?’ Tuhan berfirman, ‘Sesungguhnya, Aku mengetahui apa-apa yang tidak kamu ketahui.’ (30)
“Dan Dia mengajarkan kepada Adam nama-nama (benda-benda) seluruhnya, kemudian mengemukakannya kepada para malaikat lalu berfirman, ‘Sebutkanlah kepada-Ku nama benda-benda itu jika kamu memang orang-orang yang benar!’ (31)
“Mereka menjawab, ‘Maha Suci Engkau, tidak ada yang kami ketahui selain daripada apa yang telah Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya, Engkaulah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.’ (32)
“Allah berfirman, ‘Wahai Adam, beritahukanlah kepada mereka nama-nama benda ini!’ Maka, setelah diberitahukannya kepada mereka nama-nama benda itu, Allah berfirman, ‘Bukankah sudah-Ku katakan kepadamu, bahawa sesungguhnya Aku mengetahui rahsia langit dan bumi dan mengetahui apa yang kamu lahirkan dan apa yang kamu sembunyikan?’ (33)”
[Surah al-Baqarah: 30-33]
Antara ilmu yang dikurniakan oleh Allah ialah ilmu wahyu.
Hanya makhluk perosak alam yang bernama Iblis dan pengikutnya sahaja yang menolak ilmu Allah disebabkan sifat takbur dalam dirinya.
Firman Allah SWT:
وَلَقَدۡ خَلَقۡنَٰكُمۡ ثُمَّ صَوَّرۡنَٰكُمۡ ثُمَّ قُلۡنَا لِلۡمَلَـٰٓئِكَةِ ٱسۡجُدُواْ لِأٓدَمَ فَسَجَدُوٓاْ إِلَّآ إِبۡلِيسَ لَمۡ يَكُن مِّنَ ٱلسَّـٰجِدِينَ١١ قَالَ مَا مَنَعَكَ أَلَّا تَسۡجُدَ إِذۡ أَمَرۡتُكَۖ قَالَ أَنَا۠ خَيۡرٞ مِّنۡهُ خَلَقۡتَنِي مِن نَّارٖ وَخَلَقۡتَهُۥ مِن طِينٖ١٢ قَالَ فَٱهۡبِطۡ مِنۡهَا فَمَا يَكُونُ لَكَ أَن تَتَكَبَّرَ فِيهَا فَٱخۡرُجۡ إِنَّكَ مِنَ ٱلصَّـٰغِرِينَ١٣ قَالَ أَنظِرۡنِيٓ إِلَىٰ يَوۡمِ يُبۡعَثُونَ١٤ قَالَ إِنَّكَ مِنَ ٱلۡمُنظَرِينَ١٥ قَالَ فَبِمَآ أَغۡوَيۡتَنِي لَأَقۡعُدَنَّ لَهُمۡ صِرَٰطَكَ ٱلۡمُسۡتَقِيمَ١٦ ثُمَّ لَأٓتِيَنَّهُم مِّنۢ بَيۡنِ أَيۡدِيهِمۡ وَمِنۡ خَلۡفِهِمۡ وَعَنۡ أَيۡمَٰنِهِمۡ وَعَن شَمَآئِلِهِمۡۖ وَلَا تَجِدُ أَكۡثَرَهُمۡ شَٰكِرِينَ١٧ قَالَ ٱخۡرُجۡ مِنۡهَا مَذۡءُومٗا مَّدۡحُورٗاۖ لَّمَن تَبِعَكَ مِنۡهُمۡ لَأَمۡلَأَنَّ جَهَنَّمَ مِنكُمۡ أَجۡمَعِينَ١٨
“Sesungguhnya, Kami telah menciptakan kamu (Adam), lalu Kami bentuk tubuhmu, kemudian Kami katakan kepada para malaikat, ‘Bersujudlah kamu kepada Adam.’ Maka, mereka pun bersujud kecuali Iblis. Dia tidak termasuk mereka yang bersujud. (11)
“Allah berfirman, ‘Apakah yang menghalangimu untuk bersujud (kepada Adam) sewaktu Aku menyuruhmu?’ Iblis menjawab, ‘Aku lebih baik daripadanya. Engkau ciptakan aku daripada api sedang dia Engkau ciptakan daripada tanah.’ (12)
“Allah berfirman, ‘Turunlah kamu dari syurga; kerana kamu menyombongkan diri di dalamnya, maka keluarlah, sesungguhnya kamu termasuk orang-orang yang hina.’ (13)
“Iblis menjawab, ‘Berilah penangguhan kepadaku sehingga waktu mereka dibangkitkan.’ (14)
“Allah berfirman, ‘Sesungguhnya, kamu termasuk mereka yang diberi penangguhan.’ (15)
“Iblis menjawab, ‘Kerana Engkau telah menghukumku tersesat, aku benar-benar akan (menghalang) mereka daripada jalan-Mu yang lurus. (16)
“Kemudian, aku akan mendatangi mereka dari depan dan dari belakang mereka, dari kanan dan dari kiri mereka. Dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur (taat). (17)
“Allah berfirman, ‘Keluarlah kamu dari syurga sebagai orang terhina lagi terusir. Sesungguhnya, sesiapa antara mereka yang mengikuti kamu, Aku benar-benar akan mengisi neraka Jahanam dengan kamu semuanya.’ (18)”
[Surah al-A‘raf: 11-18]
Hanya makhluk perosak yang bergelar Iblis dan pengikutnya sahaja yang menolak ketetapan Allah berkenaan peranan manusia dan para rasul yang dilantik bersama kitab petunjuk Allah.
Setiap pembaca al-Quran diminta memohon pertolongan Allah supaya dilindungi daripada gangguan syaitan, sebagaimana firman Allah SWT:
فَإِذَا قَرَأۡتَ ٱلۡقُرۡءَانَ فَٱسۡتَعِذۡ بِٱللَّهِ مِنَ ٱلشَّيۡطَٰنِ ٱلرَّجِيمِ٩٨ إِنَّهُۥ لَيۡسَ لَهُۥ سُلۡطَٰنٌ عَلَى ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَلَىٰ رَبِّهِمۡ يَتَوَكَّلُونَ٩٩
“Apabila kamu membaca al-Quran hendaklah kamu meminta perlindungan kepada Allah daripada syaitan yang terkutuk. (98)
“Sesungguhnya, syaitan itu tidak ada kekuasaannya atas orang-orang yang beriman dan bertawakal kepada Tuhannya. (99)”
[Surah al-Nahl: 98-99]
Kitab Allah itu diturunkan bersama rasul yang dilantik oleh Allah dan dipilih daripada kalangan manusia yang terbaik.
Firman Allah SWT:
كَانَ ٱلنَّاسُ أُمَّةٗ وَٰحِدَةٗ فَبَعَثَ ٱللَّهُ ٱلنَّبِيِّۧنَ مُبَشِّرِينَ وَمُنذِرِينَ وَأَنزَلَ مَعَهُمُ ٱلۡكِتَٰبَ بِٱلۡحَقِّ لِيَحۡكُمَ بَيۡنَ ٱلنَّاسِ فِيمَا ٱخۡتَلَفُواْ فِيهِۚ وَمَا ٱخۡتَلَفَ فِيهِ إِلَّا ٱلَّذِينَ أُوتُوهُ مِنۢ بَعۡدِ مَا جَآءَتۡهُمُ ٱلۡبَيِّنَٰتُ بَغۡيَۢا بَيۡنَهُمۡۖ فَهَدَى ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لِمَا ٱخۡتَلَفُواْ فِيهِ مِنَ ٱلۡحَقِّ بِإِذۡنِهِۦۗ وَٱللَّهُ يَهۡدِي مَن يَشَآءُ إِلَىٰ صِرَٰطٖ مُّسۡتَقِيمٍ٢١٣
“Manusia itu ialah umat yang satu (setelah timbul perselisihan), maka Allah mengutus para nabi, sebagai pemberi peringatan, dan Allah menurunkan bersama mereka Kitab yang benar, untuk memberi keputusan antara manusia tentang perkara yang mereka perselisihkan. Tidaklah berselisih tentang Kitab itu melainkan orang yang telah didatangkan kepada mereka Kitab, iaitu setelah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang nyata, kerana melampau (sempadan Allah) antara mereka sendiri. Maka, Allah memberi petunjuk kepada orang-orang yang beriman ke arah kebenaran tentang hal yang mereka perselisihkan itu dengan kehendak-Nya. Dan Allah sentiasa memberi petunjuk kepada orang yang dikehendaki-Nya ke jalan yang lurus.”
[Surah al-Baqarah: 213]
Setiap rasul pilihan Allah disaksikan oleh kaumnya betapa mulia, benar, amanah, berani dan bijaksana akhlaknya, serta ismah (dipelihara oleh Allah) peribadinya daripada sifat yang buruk dan kebal daripada sebarang gangguan syaitan.
Hal ini demikian kerana, mereka dijadikan teladan kepada manusia pada zaman masing-masing.
Adapun Nabi Muhammad SAW menjadi Rasul akhir zaman kepada seluruh manusia ketika kemuncak pencapaian ilmu duniawi sehingga menghubungkan manusia di seluruh dunia dan angkasa lepas, dengan perhubungan dan penyebaran maklumat yang cepat, maka cukup dengan diutuskan seorang rasul sahaja.
Oleh sebab itu, telah dinyatakan berita kelahirannya dalam semua kitab suci dan oleh nabi-nabi sebelumnya.
Firman Allah SWT:
ٱلَّذِينَ ءَاتَيۡنَٰهُمُ ٱلۡكِتَٰبَ يَعۡرِفُونَهُۥ كَمَا يَعۡرِفُونَ أَبۡنَآءَهُمۡۖ وَإِنَّ فَرِيقٗا مِّنۡهُمۡ لَيَكۡتُمُونَ ٱلۡحَقَّ وَهُمۡ يَعۡلَمُونَ١٤٦ ٱلۡحَقُّ مِن رَّبِّكَ فَلَا تَكُونَنَّ مِنَ ٱلۡمُمۡتَرِينَ١٤٧
“Orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah Kami berikan Kitab (Taurat dan Injil) mengetahui serta mengenalinya (Nabi Muhammad dan kebenarannya) sebagaimana mereka mengenal anak-anak mereka sendiri. Dan sesungguhnya, sebahagian daripada mereka berusaha menyembunyikan kebenaran itu, sedang mereka mengetahui (salahnya perbuatan sedemikian). (146)
“Kebenaran itu adalah datangnya daripada Tuhanmu; oleh itu jangan sekali-kali kamu termasuk dalam golongan orang yang ragu-ragu. (147)”
[Surah al-Baqarah: 146-147]
Diakui benar penemuannya melalui kajian perbandingan agama secara jujur termasuk juga menerusi pengakuan para ilmuwan Islam dan bukan Islam.
Al-Quran memberikan jawapan yang betul dalam semua ilmu dan perkara itu sangat mengagumkan.
Cerita pada zaman dahulu daripada umat pada zaman purba yang telah dibinasakan kerana menentang para rasul kini ditemui buktinya di seluruh pelosok saki-baki tamadunnya yang musnah.
Begitu juga, penemuan ilmu angkasa lepas yang nyata di alam langit seperti peredaran cakerawala, matahari dan bulan melalui alat terkini juga telah membenarkan kenyataan al-Quran.
Maka, sudah pasti semua hukumnya adalah adil dan perkara alam ghaib serta berita mengenai Hari Kiamat adalah benar, dan tidak boleh dinafikan bahawa al-Quran adalah mukjizat daripada ilmu Allah.
Bagi membuktikan al-Quran itu daripada Allah, adalah menjadi hikmah yang besar apabila Rasulullah SAW mendapat ilmu mukjizat dalam keadaan ummi (tidak tahu membaca dan menulis) dan dilahirkan di tengah-tengah masyarakat padang pasir yang paling terpencil daripada tamadun dan menganut agama Ahli Kitab.
Firman Allah SWT:
ٱلَّذِينَ يَتَّبِعُونَ ٱلرَّسُولَ ٱلنَّبِيَّ ٱلۡأُمِّيَّ ٱلَّذِي يَجِدُونَهُۥ مَكۡتُوبًا عِندَهُمۡ فِي ٱلتَّوۡرَىٰةِ وَٱلۡإِنجِيلِ يَأۡمُرُهُم بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَيَنۡهَىٰهُمۡ عَنِ ٱلۡمُنكَرِ وَيُحِلُّ لَهُمُ ٱلطَّيِّبَٰتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيۡهِمُ ٱلۡخَبَـٰٓئِثَ وَيَضَعُ عَنۡهُمۡ إِصۡرَهُمۡ وَٱلۡأَغۡلَٰلَ ٱلَّتِي كَانَتۡ عَلَيۡهِمۡۚ فَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ بِهِۦ وَعَزَّرُوهُ وَنَصَرُوهُ وَٱتَّبَعُواْ ٱلنُّورَ ٱلَّذِيٓ أُنزِلَ مَعَهُۥٓ أُوْلَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ١٥٧
“(Iaitu) orang-orang yang mengikut Rasul (Nabi Muhammad SAW), seorang Nabi yang ummi, yang mereka dapati tertulis (namanya dan sifat-sifatnya) di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka. Ia menyuruh mereka melakukan perkara-perkara yang baik, dan melarang mereka daripada melakukan perkara-perkara yang keji; dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk; dan ia juga menghapuskan daripada mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada mereka. Maka, orang-orang yang beriman kepadanya, dan memuliakannya, juga menolongnya, serta mengikut nur (cahaya) yang diturunkan kepadanya (al-Quran), mereka itulah orang-orang yang berjaya.”
[Surah al-A‘raf: 157]
Firman Allah SWT:
يُسَبِّحُ لِلَّهِ مَا فِي ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَمَا فِي ٱلۡأَرۡضِ ٱلۡمَلِكِ ٱلۡقُدُّوسِ ٱلۡعَزِيزِ ٱلۡحَكِيمِ١ هُوَ ٱلَّذِي بَعَثَ فِي ٱلۡأُمِّيِّۧنَ رَسُولٗا مِّنۡهُمۡ يَتۡلُواْ عَلَيۡهِمۡ ءَايَٰتِهِۦ وَيُزَكِّيهِمۡ وَيُعَلِّمُهُمُ ٱلۡكِتَٰبَ وَٱلۡحِكۡمَةَ وَإِن كَانُواْ مِن قَبۡلُ لَفِي ضَلَٰلٖ مُّبِينٖ٢ وَءَاخَرِينَ مِنۡهُمۡ لَمَّا يَلۡحَقُواْ بِهِمۡۚ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡحَكِيمُ٣ ذَٰلِكَ فَضۡلُ ٱللَّهِ يُؤۡتِيهِ مَن يَشَآءُۚ وَٱللَّهُ ذُو ٱلۡفَضۡلِ ٱلۡعَظِيمِ٤
“Sentiasa bertasbih kepada Allah apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi. Raja Yang Maha Suci, dan Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. (1)
“Dialah yang mengutuskan kepada kaum yang buta huruf seorang rasul antara mereka, yang membacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka, menyucikan mereka dan mengajarkan mereka al-Kitab dan Hikmah (al-Sunnah). Dan sesungguhnya, mereka sebelumnya benar-benar berada dalam kesesatan yang nyata. (2)
“Dan (juga) kepada kaum yang lain daripada mereka yang belum berhubungan dengan mereka. Dan Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. (3)
“Demikianlah kurniaan Allah, diberikan-Nya kepada siapa yang dikehendaki-Nya; dan Allah mempunyai kurniaan yang besar. (4)”
[Surah al-Jumu‘ah: 1-4]
Maka, tuduhan yang menyatakan bahawa al-Quran merupakan karangan ciptaan manusia adalah tertolak sama sekali.
Walaupun ayat-ayat daripada wahyu yang pertama diturunkan menyatakan kewajipan menuntut ilmu membaca dan menulis bagi mendapatkan segala ilmu.
Firman Allah SWT:
ٱقۡرَأۡ بِٱسۡمِ رَبِّكَ ٱلَّذِي خَلَقَ١ خَلَقَ ٱلۡإِنسَٰنَ مِنۡ عَلَقٍ٢ ٱقۡرَأۡ وَرَبُّكَ ٱلۡأَكۡرَمُ٣ ٱلَّذِي عَلَّمَ بِٱلۡقَلَمِ٤ عَلَّمَ ٱلۡإِنسَٰنَ مَا لَمۡ يَعۡلَمۡ٥
“Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang menciptakan, (1)
“Dia telah menciptakan manusia daripada segumpal darah. (2)
“Bacalah, dan Tuhanmu itulah Yang Maha Pemurah. (3)
“(Tuhan) yang mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam. (4)
“Dia mengajar kepada manusia apa yang tidak diketahuinya. (5)”
[Surah al-‘Alaq: 1-5]
Selain itu, al-Quran menegaskan pula dasar semua ilmu agama dan dunia yang tidak berpisah daripada mengikut petunjuk Allah dan hukum Islam, sama ada menjadi fardu ‘ain ataupun fardu kifayah.
Sehinggakan, terciptanya Hadarah Islamiyyah (Tamadun Islam) yang berprinsip aqidah, pada masa yang sama berkonsepkan hidayah daripada al-Quran dan Sunnah, apabila urusan dunia menjadi jambatan kepada wawasan dunia dan akhirat.
Hal ini didapati dengan menghayati firman Allah SWT:
… فَمِنَ ٱلنَّاسِ مَن يَقُولُ رَبَّنَآ ءَاتِنَا فِي ٱلدُّنۡيَا وَمَا لَهُۥ فِي ٱلۡأٓخِرَةِ مِنۡ خَلَٰقٖ٢٠٠ وَمِنۡهُم مَّن يَقُولُ رَبَّنَآ ءَاتِنَا فِي ٱلدُّنۡيَا حَسَنَةٗ وَفِي ٱلۡأٓخِرَةِ حَسَنَةٗ وَقِنَا عَذَابَ ٱلنَّارِ٢٠١ أُوْلَـٰٓئِكَ لَهُمۡ نَصِيبٞ مِّمَّا كَسَبُواْۚ وَٱللَّهُ سَرِيعُ ٱلۡحِسَابِ٢٠٢
“… Maka antara manusia ada orang yang berdoa, ‘Wahai Tuhan kami, berilah kami (kebaikan) di dunia,’ dan tiadalah baginya bahagian (yang menyenangkan) di akhirat. (200)
“Dan antara mereka ada orang yang berdoa, ‘Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami daripada seksa neraka.’ (201)
“Mereka itulah orang-orang yang mendapat bahagian daripada yang mereka usahakan; dan Allah sangat cepat perhitungan-Nya. (202)”
[Surah al-Baqarah: 200-202]
Semua perkara tersebut hanya berada dalam al-Quran yang menjadi hidayah kepada kalangan mereka yang bertaqwa melalui tarbiah Ramadan.
Firman Allah SWT:
الٓمٓ١ ذَٰلِكَ ٱلۡكِتَٰبُ لَا رَيۡبَۛ فِيهِۛ هُدٗى لِّلۡمُتَّقِينَ٢
“Alif lam mim. (1)
Kitab (al-Quran) ini tidak ada keraguan padanya; menjadi petunjuk bagi mereka yang bertaqwa. (2)”
[Surah al-Baqarah: 1-2]
Firman Allah SWT:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُتِبَ عَلَيۡكُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِكُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ١٨٣
“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa.”
[Surah al-Baqarah: 183]
Al-Quran hanyalah sebahagian daripada ilmu Allah yang tiada bandingan.
Firman Allah SWT:
قُل لَّوۡ كَانَ ٱلۡبَحۡرُ مِدَادٗا لِّكَلِمَٰتِ رَبِّي لَنَفِدَ ٱلۡبَحۡرُ قَبۡلَ أَن تَنفَدَ كَلِمَٰتُ رَبِّي وَلَوۡ جِئۡنَا بِمِثۡلِهِۦ مَدَدٗا١٠٩ قُلۡ إِنَّمَآ أَنَا۠ بَشَرٞ مِّثۡلُكُمۡ يُوحَىٰٓ إِلَيَّ أَنَّمَآ إِلَٰهُكُمۡ إِلَٰهٞ وَٰحِدٞۖ فَمَن كَانَ يَرۡجُواْ لِقَآءَ رَبِّهِۦ فَلۡيَعۡمَلۡ عَمَلٗا صَٰلِحٗا وَلَا يُشۡرِكۡ بِعِبَادَةِ رَبِّهِۦٓ أَحَدَۢا١١٠
“Katakanlah, ‘Sekiranya lautan menjadi tinta untuk (menulis) kalimah-kalimah Tuhanku, sungguh habislah lautan itu sebelum habis (ditulis) kalimah-kalimah Tuhanku, meskipun Kami datangkan tambahan sebanyak itu (pula).’ (109)
“Katakanlah, ‘Sesungguhnya, aku ini manusia biasa seperti kamu, yang diwahyukan kepadaku; bahawa sesungguhnya Tuhan kamu itu adalah Tuhan Yang Esa.’ Sesiapa mengharapkan perjumpaan dengan Tuhannya, maka hendaklah dia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah dia mempersekutukan seorang pun dalam beribadat kepada Tuhannya. (110)”
[Surah al-Kahfi: 109-110]
Maka, alangkah takburnya sesiapa yang berani mencabar al-Quran!
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS