Doa Asas Kemenangan

Doa Asas Kemenangan

Juz ke 18 ini melibatkan tiga surah iaitu surah Al-Mukminun, surah Al-Nur dan surah Al-Furqan sehingga ayat ke 20.

Di awal surah Al-Mukminun, Allah telah senaraikan sifat-sifat teras yang melayakkan seseorang itu berstatus mukmin iaitu khusyu’ pada solat dan sentiasa menjaganya, mengelakkan perbuatan lagha, membayar zakat, jaga maruah serta keturunan dan menjaga amanah yang ditaklifkan.

Dinyatakan juga dalam surah ini kisah dakwah Nabi Nuh yang dipermainkan dan selalu mendapat penentangan pihak yang tidak puas hati.

Akhirnya Nabi Nuh diselamatkan Allah dengan berkat usaha dan doanya yang tidak berputusan walaupun menghadapi penentangan hebat.

Selain daripada kisah Nabi Nuh diceritakan juga kisah Nabi Harun dan Nabi Musa menghadapi mutakabbirin dan juga Nabi Isa bersama bondanya yang dijaga oleh Allah SWT.

Kisah para Nabi diceritakan sebagai pengiktibaran bagi umat Islam menelusuri kehidupan berdasarkan tuntutan Allah dan beringat dengan azab yang pedih di dunia sebelum akhirat.

Allah turut mengingatkan umat Islam bahawa perbuatan yang jahat pasti mengakibatkan masalah besar di saat menghadapi sakaratul maut.

Orang jahat di kalangan umat Islam akan mohon dengan Allah untuk tidak dimatikan lagi bagi kembali membuat amal soleh dan ternyata Allah membalas permohonannya dengan bahasa yang keras lagi kasar.

Surah Al-Nur dimulai dengan penegasan bahawa segala hukum yang diterangkan dalam surah ini adalah sebagai kefardhuan yang tidak boleh dipertikai serta dicanggah.

Hukum-hukum berkaitan kes jenayah, hukum menutup aurat, menjaga batasan percakapan, adab golongan wanita di rumah dan dalam masyarakat, adab menjaga percakapan dan menjaga maruah diri daripada tercemar dinyatakan secara panjang lebar.

Oleh sebab itu, Nabi SAW menyatakan bahawa surah An-Nur ini sangat perlu dipelajari oleh golongan wanita bagi menyempurnakan kehidupan ubudiyah terhadap Allah.

Allah juga mengingatkan umat Islam agar dapat menghindarkan diri daripada sifat nifaq yang hanya pandai bercakap menyatakan dia beriman dan taat perintah, walhal segala perintah dan hukum Allah dipermainkan serta ditakwil dengan akal sendiri.

Sementara dalam surah Al-Furqan, ditegaskan tentang penurunan Al-Quran yang menjadi peringatan sepanjang zaman kepada manusia.

Golongan kufar sering mempersendakan Al-Quran dengan mengatakan bahawa ianya hanyalah dongengan orang terdahulu dan tulisan rekaan Muhammad semata-mata.

Begitulah sikap golongan yang membencikan kebenaran sepanjang zaman, sehingga perutusan Rasul juga cuba dikelirukan dengan isu-isu yang menjatuhkan air mukanya supaya manusia memandang negatif dan tidak menyokong terhadap kerja buatnya.

Bangkitlah di waktu sepertiga malam bagi mendekatkan diri dengan Allah SWT kerana Allah dengan keagungan-Nya turun ke langit dunia ketika itu.

Sesiapa daripada kalangan hamba-Nya yang berdoa dan memohon keampunan, maka Allah segera mengampuninya.

Sabda Rasulullah S.A.W:

يَنْزِلُ رَبُّنا تَبارَكَ وتَعالَى كُلَّ لَيْلةٍ إلى السَّماءِ الدُّنْيا حِينَ يَبْقَى ثُلُثُ اللَّيْلِ الآخِرُ، يقولُ: مَن يَدْعُونِي، فأسْتَجِيبَ له مَن يَسْأَلُنِي فأُعْطِيَهُ مَن يَستَغْفِرُني فأغْفِرَ له

“Allah S. W.T turun ke langit dunia ketika sepertiga malam terakhir. Lalu Allah berfirman; Barangsiapa yang berdoa kepada-Ku, maka akan Aku kabulkan. Barangsiapa yang meminta kepada-Ku, maka akan Aku kurniakan. Barangsiapa yang meminta ampunan kepada-Ku, maka akan Aku ampuni.”

(Riwayat Bukhari)

Dato Ahmad Yakob

Minda Pemimpin