Tadabur Al-Quran pada juz ke 20 hari ini akan membincangkan beberapa pengajaran daripada 3 surah iaitu sambungan surah Al-Namlu daripada ayat 56 sehingga akhir surah kemudian surah Al-Qashas dan setelah itu Al-Ankabut sehingga ayat ke 45.
Allah menyeru umat Islam memperkukuhkan akidah dalam diri agar menerima keseluruhan ketetapan Allah dan sentiasa beringat dengan larangan-Nya.
Manusia mesti mengambil langkah berwaspada daripada terkena hukuman Allah yang tersangat keras yang disediakan untuk golongan yang berbuat kejahatan, sebaliknya Allah menyediakan pelbagai nikmat kepada golongan yang berbuat kebaikan.
Pada awal surah Al-Qashas, Allah menjanjikan bahawa muka bumi ini akan dikuasai oleh para hamba Allah yang soleh dan yang sering menerima pelbagai dugaan serta ditindas sebelum daripada ini, semuanya adalah berkat kesabaran mereka dalam mempertahankan agama Allah.
Allah menceritakan semula kisah Nabi Musa dan penderitaannya semasa kecil setelah Firaun mengarahkan semua bayi lelaki mesti dibunuh kerana mereka akan mencabar kuasanya suatu hari kelak.
Namun, Nabi Musa diselamatkan oleh Allah bahkan baginda dipelihara oleh isteri Firaun di dalam istana Firaun.
Setelah 10 tahun lebih Nabi Musa terpaksa keluar dari Mesir akibat buruan Firaun, Allah memerintahkan Nabi Musa pulang ke Mesir berdakwah dan akhirnya Nabi Musa berjaya menguasai Mesir setelah kematian Firaun.
Dalam juz ini juga, dinyatakan tentang pentingnya manusia memohon hidayah setiap waktu kerana tidak ada satu kuasa pun yang dapat memberi hidayah melainkan Allah.
Lihat sahaja Qarun yang telah beriman kepada Allah dan menjadi pengikut Nabi Musa akan tetapi akhirnya mati kufur disebabkan tamak dan mula menentang ketetapan hukum Allah, semua itu akibat terhijabnya hidayah daripada Allah SWT.
Sementara di awal surah Al-Ankabut, Allah menegaskan bahawa Dia pasti menguji manusia apatah lagi jika manusia yang mengaku beriman kepada Allah.
Ada manusia yang benar-benar ikhlas, ada yang munafik dan ada yang menjual iman termasuk Islamnya sehingga menggadaikan akidah.
Turut diceritakan kisah Nabi Nuh, Ibrahim dan Luth yang sentiasa diberi motivasi oleh Allah semasa menyampaikan dakwah.
Allah menempelak golongan yang menjauhi ajaran para Nabi serta mengambil sembahan selain Allah dengan perumpamaan sarang labah-labah yang terlalu mudah musnah dan hancur.
Pastikan ibadah pada setiap malam dikira sebagai ibadah keseluruhan malam dan bukan ibadah separuh malam.
Jika kita hanya menunaikan solat isya’ sahaja dan meninggalkan qiyam yang lain termasuk terawih, maka kita hanya beribadah separuh malam.
Amat rugilah kita khasnya di malam-malam sepuluh akhir ini.
Sabda Rasulullah S.A.W:
مَن صلى العشاءَ في جماعةٍ كأنما قام نصفَ ليلةٍ ، ومَن صلى الصبحَ في جماعةٍ فكأنما صلى الليلَ كلَّه
“Barangsiapa yang menunaikan solat isya’ berjemaah, maka baginya pahala solat separuh malam. Barangsiapa yang menunaikan solat isya’ termasuk solat subuh berjemaah, maka baginya pahala qiyam keseluruhan malam.”
(Riwayat Muslim)
Dato’ Ahmad Yakob