Istiqamah Di Atas Kebenaran

Istiqamah Di Atas Kebenaran

Juz ke 26 ini akan bermula dengan surah Al-Ahqaf kemudian diikuti surah Muhammad, al-Fath, al-Hujurat, Qaf dan al-Zaariyat sehingga ayat ke 30.

Allah menegaskan bahawa golongan yang bakal dianugerah syurga ialah orang-orang yang sentiasa istiqamah di atas jalan petunjuk.

Ciri-ciri golongan ini ialah selalu berbuat baik terhadap kedua ibu bapanya, mengabdikan diri dan akur kepada segala suruhan Allah dan mengikut serta mempertahankan segala agenda yang dilakukan oleh para Rasul.

Hanya tunduk dan patuh sepenuhnya kepada kehendak Allah akan dapat menyelamatkan manusia daripada ancaman neraka sebagaimana yang telah dipesan oleh para Anbiya’.

Di awal surah Muhammad, Allah telah menyatakan bahawa kemenangan disisi-Nya pasti akan berpihak kepada golongan mukmin dan para penentang mereka suatu masa akan tersungkur.

Oleh kerana itu, Allah kerap memberi kecaman terhadap penentang kebenaran sama ada daripada golongan kuffar ataupun daripada kalangan umat Islam sendiri.

Allah pasti menguji orang yang beriman sehingga diketahui buruk baiknya amalan di dalam hati.

Allah turut menegaskan agar jangan dihancurkan amalan kebaikan dengan dosa dan noda serta penentangan terhadap tuntutan Allah kerana ia hanya menempah kemurkaan Allah SWT kelak.

Melalui Surah al-Fath, diceritakan tentang perdamaian Hudaibiyyah yang menjadi ujian umat Islam ketika berhadapan dengan isu tragis dan arahan pemimpin teratas.

Oleh kerana ketaatan umat Islam terhadap Rasulullah dan tiada dasar tidak puas hati diagendakan, maka Allah membuka pintu kemenangan satu demi satu melalui perdamaian Hudaibiyyah ini.

Allah juga memuji dan redha terhadap orang yang beriman yang telah memberi baiah untuk terus mempertahankan kedaulatan agama sehingga diberi nusrah yang tidak disangka-sangka.

Seterusnya Allah mengutarakan adab-adab ketika bersama Rasulullah dan juga pemimpin serta menjaga adab dalam pemberitaan agar tidak timbul fitnah dan huru-hara dalam masyarakat.

Dalam surah Qaaf diterangkan bahawa setiap perilaku manusia sentiasa diawasi oleh Malaikat yang ditugaskan.

Oleh itu, manusia perlu menanamkan sikap sentiasa menoleh ke hari kebangkitan selepas kematian bagi menjamin gaya kehidupan sejahtera ketika di dunia.

Allah mengutuk keras golongan yang suka berdusta kerana hal demikian menandakan dia alpa terhadap ancaman Allah dan memilih tindakan bodoh dalam banyak gerak geri kehidupannya.

Sebaliknya, manusia perlu memanfaatkan ruang kehidupan untuk berbuat kebajikan kerana Allah pasti memberi anugerah-Nya yang menjamin kehidupan manusia di dunia dan akhirat.

Perbanyakan zikrullah dan pastikan kita qiyam dengan berterawih dan bertahajud khasnya pada malam ini iaitu malam ke-27 Ramadhan.

Ada pandangan yang menunjukkan bahawa Lailatul Qadar jatuh pada malam ke-27.

Ini adalah hasil ijtihad dari Mu’awiyah R.’Anhu dan juga satu riwayat daripada Ubai bin Ka’ab:

عن أبي بن كعب رضي الله عنه قال: قال أبي في ليلة القدر: والله إني لأعلمها، هي الليلة التي أمرنا رسول الله صلى الله عليه وسلم بقيامها هي ليلة سبع وعشرين

“Daripada Ubai bin Ka’ab R.’Anhu, beliau berkata mengenai malam Lailatul Qadar; Demi Allah, aku sungguh mengetahui malam tersebut. Malam tersebut adalah malam yang Rasulullah memerintahkan untuk menghidupkannya dengan solat malam, iaitu malam ke-27.”

(Riwayat Muslim)

Dato’ Ahmad Yakob

Minda Pemimpin