Sertai Himpunan 100K Bela Palestin Sabtu Ini

Sertai Himpunan 100K Bela Palestin Sabtu Ini

PAS mengajak orang ramai menyertai Himpunan 100K Bela Palestin – Solidariti ‘Raya Bersama Gaza’ di hadapan kedutaan Amerika Syarikat, di sini, jam 3 petang, pada 4 Mei (Sabtu) ini.

Sehubungan itu, PAS Pusat melalui Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengeluarkan surat arahan agar ahli PAS menyertai himpunan tersebut.

Pengerusi Lajnah Hubungan Antarabangsa PAS Pusat, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, rakyat perlu hadir pada perhimpunan itu sebagai tanda sokongan dan solidariti terhadap perjuangan suci rakyat Palestin.

Muhammad Khalil berkata, dunia telah menyaksikan tindakan jahat, zalim tentera rejim Zionis Israel terhadap rakyat Palestin di bumi Palestin sendiri dan tidak menampakkan tanda redanya sejak 7 Oktober lalu.

“Meskipun angka korban telah mencecah lebih 40,000 nyawa yang tidak berdosa; termasuk kanak-kanak, wanita dan orang tua pelbagai usia, juga kemusnahan harta benda awam.

“Tekad, azam dan iltizam pejuang-pejuang Palestin tidak lain semata-mata untuk menuntut hak dan mempertahankan maruah mereka yang telah dicerobohi dengan zalimnya sejak zaman berzaman.

“Di samping menyempurnakan tuntutan agama iaitu membebaskan Masjidil Aqsa Asy-Syarif, salah satu tempat suci seluruh umat Islam,” katanya ketika dihubungi HarakahDaily, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, mengingatkan agar rakyat atau peserta haruslah berkumpul pada suatu tempat mengikut kawasan masing-masing yang telah ditetapkan pada jam 2 petang.

“Peserta dari Kelantan, Terengganu dan Pahang berkumpul di Bangunan Yayasan Selangor, Bukit Bintang, di sini; seterusnya peserta dari Perlis Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor berkumpul di Masjid KLCC.

“Sementara, peserta daripada Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur berkumpul di Masjid Ibnu Mas’ud, Kampung Datuk Keramat, di sini.

“Orang ramai digalakkan memakai baju raya mengikut tema warna bendera Palestin seperti merah, hijau, putih atau hitam; serta memakai mafla dan mengibarkan bendera Palestin,” katanya.

Isu Semasa