Pilihan raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu menjadi titik tolak sejauh mana keserasian Barisan Nasional (BN) dengan Pakatan Harapan (PH) menentukan survival parti politik masing-masing.
Ini kerana, sehingga saat ini ramai masih ada bertanya sejauh mana kerjasama politik kedua-dua gabungan ini akan kekal.
“Adakah sekadar mententeramkan suhu politik kerana tiada parti politik mendapat majoriti pada PRU15?
“Ia sekali gus membawa persoalan adakah BN akan terus bersama PH? Keputusan PRK Kuala Kubu mungkin akan ada jawapannya,” kata Prof Datuk Dr Ismail Sualman.
Pensyarah Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu yakin PRK Kuala Kubu Bharu juga bakal menunjukkan sejauh mana DAP boleh lagi diterima pengundi Melayu.
Walaupun di peringkat Persekutuan, DAP bersama PKR dan BN, masih ada mempertikaikan keserasian antara UMNO dengan DAP.
“Hakikatnya, ia bukan mudah untuk dikikis kerana selama ini pemimpin UMNO memasak pemikiran ahli agar ‘membenci’ DAP hingga membuatkan pengundi serba salah, malah setengah ‘alergi’ dengan parti itu.
“Ini hasil dapatan kajian bersemuka apabila segelintir pengundi Kuala Kubu Bharu ditemui pengkaji bertekad tidak akan turun mengundi sebagai tanda protes,” katanya.
PRK Kuala Kubu Baharu menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan calon Bebas.
Ia diadakan pada 11 Mei dan 7 Mei sebagai pengundian awal susulan kematian penyandang daripada DAP, Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lalu akibat kanser.
