PRK KKB: PN Yakin Dapat Sokongan Bekas Ahli UMNO

PRK KKB: PN Yakin Dapat Sokongan Bekas Ahli UMNO

Perikatan Nasional (PN) yakin akan mendapat sokongan daripada bekas ahli UMNO yang merasakan parti itu telah tersasar daripada perjuangan asasnya, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, ini juga berikutan UMNO yang membuat tindakan untuk bekerjasama dengan DAP.

“Ramai dari mereka mengatakan sudah tiba masanya untuk menyokong Perikatan Nasional,” katanya pada ceramah di Ampang Pecah pada malam Isnin (6 Mei).

Pengerusi PN itu seperti dilapor The Star juga berkata, beliau merasakan gelombang sokongan baharu kepada gabungan itu dalam PRK Kuala Kubu Baharu, trend yang dijangka berterusan sehingga Pilihan Raya Umum ke-16 dalam tempoh tiga tahun.

Katanya, adalah penting untuk memastikan peratusan keluar mengundi yang tinggi, ia memandangkan keputusan pilihan raya negeri tahun lalu tidak ramai orang Melayu membuang undi.

“Terdapat hampir 47 peratus pengundi Melayu di sini tetapi yang keluar mengundi tidak sampai 70 peratus daripada jumlah itu.

“Kaum Cina, walaupun terdiri daripada kira-kira 30 peratus daripada pengundi, lebih bijak dalam menilai kepentingan pilihan raya, peratus keluar mengundi mencecah 90 peratus.

“Sebab itu mereka boleh mencapai kemenangan,” kata Muhyiddin.

Sekiranya orang Melayu lebih menyedari kepentingan mengundi, maka keputusan PRK Kuala Kubu Baharu akan memberi isyarat jelas kepada Kerajaan Persekutuan.

Ahli Parlimen Pagoh itu juga berkata, jika PN berkuasa, ia akan menyelesaikan isu kekurangan beras tempatan dalam tempoh dua minggu.

Beliau mengkritik tindakan kerajaan yang lambat dalam menangani perkara tersebut, apabila mendakwa isu itu masih tidak dapat diselesaikan walaupun telah bermesyuarat.

“Ini krisis, kenapa tidak boleh diselesaikan? Tetapi, jika PN berkuasa, tidak sampai sebulan, mungkin dua minggu, isu ini sudah selesai.

“Kami akan memanggil semua pengilang, pengeluar, syarikat utama dan pihak berkepentingan untuk berbincang berdasarkan data dan maklumat,” kata Muhyiddin.

PRK KKB akan menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Pang Sock Tao dari Pakatan Harapan, Khairul Azhari Saut dari PN, Hafizah Zainudin dari Parti Rakyat Malaysia dan calon Bebas Nyau Ke Xin.

Pilihanraya