Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa Kerajaan Malaysia dan Kementerian Pertahanan untuk bertindak tegas serta mengarahkan syarikat pembuat senjata kepada Zionis keluar segera dari Malaysia.
Walaupun pembabitan mereka atas anjuran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) dengan kerjasama Kementerian Pertahanan, beliau menyifatkan ia sesuatu yang amat menjengkelkan serta penghinaan kepada perjuangan rakyat Palestin.
Bekas Perdana Menteri itu menegaskan, seharusnya syarikat terbabit disuruh pulang dan meninggalkan segera Malaysia.
“Memang benar mereka pernah hadir di dalam anjuran-anjuran terdahulu. Tetapi keadaan kali ini amat luar biasa dan genosid Zionis terhadap Palestin begitu kejam dan tanpa sedikit pun perikemanusiaan.
“Membenar syarikat-syarikat sedemikian memperolok dan mempersenda segala usaha kita menentang kekejaman rejim Tel Aviv,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata demikian mengulas laporan mengenai pembabitan dua syarikat pembekal utama senjata kepada Israel – Lockheed Martin dan BAE System – dalam pameran DSA dan NATSEC Asia 2024 di ibu negara, minggu ini.
Dua syarikat itu adalah pembekal senjata terbesar kepada Zionis dalam melakukan serangan dan pengeboman besar-besaran ke atas rakyat Palestin di Semenanjung Gaza sejak Oktober lalu.
Menurut Dr Mahathir, pembabitan syarikat terbabit menggambarkan seolah-olah negara bersekongkol dengan mereka membunuh rakyat Palestin, termasuk bayi, kanak-kanak serta orang awam di Gaza.
“Kerajaan Malaysia dan Kementerian Pertahanan harus mengambil tindakan tegas dan mengarah syarikat-syarikat ini keluar dari Malaysia seberapa segera yang boleh.
“Dan tindakan ini tidak terhad kepada dua syarikat tersebut. Jika ada syarikat lain yang membekal senjata kepada Zionis masa kini, mereka juga perlu dinyah keluar dari Malaysia.
“Mereka perlu tahu bahawa tiada tempat di Malaysia untuk mana-mana pihak yang menyokong atau bersubahat dengan Israel melakukan genosida ke atas orang Palestin,” katanya.