Isu ini sudah diperjuangkan dan dibincangkan sekian lama orang seperti kami yang terlibat dalam persatuan kebajikan penjawat ini, contoh, kami yang berada dalam Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC), Pertubuhan Intelektuan Negara (PINTAR) iaitu mereka yang berada dalam perkhidmatan pendidikan, bersama agensi lain seperti Majlis Profesor Negara.
Tanyalah mereka yang terlibat dalam berpesatuan, apakah yang selalu menjadi agenda utama mereka dalam mesyuarat, terutama perkara berkaitan Kebajikan, seperti kenaikan gaji penjawat awam.
Inilah kami, yang melakukan kerja-kerja sukarela dan kebajikan.
Kadangkala, rasa tidak adil dalam hidup ini, kami yang berada dalam persatuan, bertungkus lumus memperjuangkan nasib orang dan ahli lain, bila dapat habuan yang naiknya adalah mereka yang tidak teribat.
Mereka yang terlibat, sampai pencen, tidak dapat apa-apa.
Habuan mahu gelaran.
Tetapi itu bukanlah yang menjadi matlamat kami.
Matlamat kami adalah syurga Allah, meskipun orang lain yang mendapat nikmat.
Sebab itu, apabila ianya isu kenaikan gaji ini disebutkan kembali dan diumumkan oleh Perdana Menteri (PM), langsung tidak mengejutkan.
Kami hanya mengangguk dan mendengar sahaja tanda syukur, akhirnya suara kami didengar, tidak lebih dari itu.
Terima kasih PMX.
Selama ini, profesioan kami dalam bidang Pendidikan dan pembinaan modal insan hanya dipandang sebelah mata.
Sedangkan mereka yang berjaya, termasuk orang seperti PM dan Menteri dilahirkan oleh kami, yang berada di Menara gading.
Tidak ketinggalan, kepada guru-guru di peringkat pendidikan rendah dan menengah.
Saya harap, pengumuman ini tidak ada kaitan dengan PRK Kuala Kubu Baharu (KKB) yang sedang rancak berkempen.
Buatlah sesuatu dengan ikhlas, agar ia mendatangkan pahala dan menjadi jariah.
Jangan buat sesuatu untuk mendapat sesuatu terutama laba politik, ditakuti tidak mendapat apa-apa.
Sejak persatuan MAAC ditubuhkan 20 tahun lalu, kami telah berbincang panjang lebar dengan kesatuan sekerja, seperti CEUPACS, GAKUM, terutamanya dan lain-lain.
Malangnya, apabila kenaikan gaji ini diumumkan, kami di MAAC dilupakan.
Kerajaan lebih melihat kepada CUEPACS (penjawat awam), MTUC (industri) dan NUTP (guru).
Maklumlah keahlian mereka lebih ramai.
Sedangkan keahlian kakitangan akademik Universiti Awam, tidak seramai mereka.
Tidak mengapalah kami hanya dipandang sebelah mata.
Tetapi kena ingat, kerajaan perlu sedar, bahawa walaupun keahlian MAAC tidak ramai, kalau dikirakan bilangan semua pensyarah di UA, kita mempunyai bilangan lebih kurang 32 ribu orang.
Namun demikian, kami mempunyai puluhan ribu pelajar yang boleh mengundi di bawah seliaan kami, dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Kami boleh mempengaruhi puluhan ribu pelajar yang boleh mengundi, jika kerajaan terlepas pandang kami.
Kami boleh pengaruhi mereka, untuk menolak kamu, jika kami mahu.
Namun, kami tidak lakukan, kerana focus kami adalah menjana modal insan.
Untuk makluman semua, dalam tempoh sebulan ini, apabila PM mahu mengumumkan sesuatu untuk penjawat awam, kelam kabut kami dipanggil untuk membincangkan isu kenaikan gaji ini, sedangkan kami sudah bercakap isu ini sekian lama.
Lebih-lebih lagi, mereka yang bergelar apa jua nama dan kedudukan, adalah lahir daripada pengajaran dan pembelajaran dengan kami.
Antara yang kami tuntut, terutama yang terlibat dalam bidang pendidikan dan pembinaan modal insan ini adalah, pertama, mewujudkan skim gaji yang lebih kompetitif mengikut indeks pembangunan manusia.
Profesion kami sebagai akademik misalnya, berbeza dengan profesion lain.
Kami diwajibkan mempunyai beberapa ijazah, bermula dari yang asas (ijazah), kemudian sarjana (master), diikuti doktor falsafah (PhD), agar benar-benar menjadi pakar kononnya.
Tanpa keperluan asas ini, kami tidak boleh menjadi pensyarah.
Secara puratanya, pensyarah yang mempunyai PhD, rata-rata berada sekitar umur 40, baharulah diiktiraf sebagai pensyarah sebenar, untuk mendidik anak bangsa.
Umur agak lanjut baharu diiktiraf pakar.
Tidak seperti profesion lain, cukup sekadar dengan ijazah asas, mereka boleh naik pangkat dan gaji sehingga ke tahap tertinggi (turus) dan mendapat pencen penuh seumur hidup sebagai penjawat awam.
Tidak cukup dengan itu, umur pencen mereka, dilanjutkan kepada umur 65, contoh, perkhidmatan kehakiman dan lain-lain.
Malangnya, orang seperti kami, sudahlah hanya diiktiraf sebagai pensyarah mempunyai kelayakan PhD pada umur 40, kami hanya ada 20 tahun lagi untuk mendidik anak bangsa, sebelum pencen.
Pada ketika itulah, kami mendapat gelaran profesor, iaitu gelaran tertinggi dalam akademik, pada masa ini juga kami dipencenkan.
Tidakkah mereka yang bergelar profesor ini ibarat kelapa tua, makin tua, makin banyak santan dan minyaknya.
Tetapi kami dipencenkan pada usia tersebut, kalau sambungpun dikontrakkan, sedangkan perkhidmatan lain, seperti ketua hakim, pencen pada usia 65, dengan gaji pencen penuh.
Sedangkan semua sedia maklumkan bahawa ketua hakim itulah, termasuk Ketua Setiausaha Negara, Ketua Polis, Ketua Tentera, datang daripada profesor yang mengajarnya.
Pengakhirannya, profesor tidak dapat apa-apa, mereka yang diajarkan oleh profesor mencanak naik dan menikmati pencen penuh seumur hidup.
Maka wajarkah profesor seperti kami dianaktirikan.
Sebab itulah, kami menuntut supaya pencen profesor dilanjutkan sehingga kepada usia 70, supaya ilmunya dapat dimanfaatkan untuk agama, bangsa dan negara.
Saya tidak kata, semua profesor itu bagus, ada juga profesor yang kerjanya, kaki bodek.
Saya maksudkan profesor yang ikhlas, penuh ilmu didada, kerjanya, tidak melain mendidikan anak bangsa menjadi manusia berguna.
Contoh, profesor tersohor nama seperti almarhum Haron Din, Ungku Aziz dan yang masih hidup sepeti Naguib al-Attas.
Dahulu ramai profesor tersohor seperti ini.
Sebut nama universiti tersebut, sudah sinonim dengan nama-nama ini.
Kini, sudah hampir tiada, kerana ada profesor kerjanya membodek untuk naik pangkat dan mendapat gelaran.
Hina sungguh mereka ini.
Selain itu, kami juga menuntut supaya gelaran profesor itu juga, turut dapat dibawa keluar meskipun profesor tersebut sudah pencen.
Amalan kini, gelaran profesor digugurkan setelah tidak lagi berkhimat dengan universiti.
Tidak seperti tentera, mereka boleh bawa gelaran, seperti Jeneral (Bersara)
Ini bukan bermakna, kami hadap sangat dengan gelaran profesor tersebut.
Dalam kubur nanti, tidak ditanyapun apa jua pangkat dan gelaran.
Tetapi sekadar mahu mengingatkan bahawa profesor inilah (termasuk guru) yang telah menjadikan PM, Menteri, ketua GLC, dan semua ketua dalam apa juga profesion menjadi orang berguna dan berjaya.
Sebab itu, kami memohon supaya kerajaan jangan memandang sebelah mata kepada kami di MAAC.
Walaupun fungsi kami agak sedikit berbeza dengan majlis perfesor, kerana kami memperjuangkan nasib semua pensyarah dan mereka yang terlibat dalam bidang Pendidikan.
Mereka ini adalah aset kepada anak bangsa.
Aset kepada mereka yang boleh mengundi setelah masuk ke institusi pengajian tinggi.
Jika profesion dan tuntutan kami tidak penuhi, percayalah, ia akan turut menjejaskan kareer politik kamu dan semua orang politik.
Kami adalah ‘influencer’ yang tidak didendang, yang mampu mempengaruhi pelajar untuk mengundi siapa dan memenangkan siapa.
Itulah kami, pensyarah dalam bidang Pendidikan.
Namun, setakat ini, kami tidak lakukan, kami ini professional, kecuali dalam keadaan terdesak
Mohd Ridhuan Tee Abdullah