Bosnia Buka Semula Masjid Era Empayar Uthmaniyyah

Bosnia Buka Semula Masjid Era Empayar Uthmaniyyah

Bosnia Herzegovina membuka semula Masjid Arnaudija yang wujud sejak abad ke-16 di bandar Banja Luka, selepas hampir tujuh tahun pembinaan semula.

Perasmian pembukaan masjid itu dihadiri Menteri Kebudayaan Turkiye, Mehmet Nuri Ersoy, Presiden Hal Ehwal Agama, Ali Erbas dan Presiden Republika Srpska, Milorad Dodik.

Masjid Arnaudija, yang musnah ketika Perang Bosnia 1993, dibina semula kepada keadaan asal oleh Direktorat Yayasan Am Turkiye.

Masjid itu adalah salah satu daripada 16 masjid yang musnah ketika perang.

Ia pada asalnya dibina pada 1590-an ketika Empayar Uthmaniyyah, dan pernah mengalami kerosakan teruk akibat gempa bumi pada tahun 1963.

Pada 7 Mei 1993, Serbia Bosnia memusnahkan Masjid Arnaudija dan Masjid Ferhadiya di bandar itu dengan meletakkan dinamit di bawahnya.

Menurut Kesatuan Islam Bosnia, 614 masjid, 218 surau, 69 tapak kursus al-Quran, empat pondok, 37 tanah perkuburan dan 405 warisan sejarah milik yayasan umat Islam musnah.

Rentetan itu, kesatuan mengisytiharkan 7 Mei setiap tahun sebagai Hari Masjid dan menganjurkan acara di semua masjid negara itu sejak 1998.

Bosnia Herzegovina