Hamas Sambut Baik Resolusi PBB Iktiraf Palestin Anggota Penuh

Hamas Sambut Baik Resolusi PBB Iktiraf Palestin Anggota Penuh

Gerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) menyambut baik resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang menuntut pengiktirafan Palestin sebagai negara anggota penuh badan dunia itu.

Resolusi yang diterajui Emiriah Arab Bersatu (bagi pihak Kumpulan Arab) itu telah diterima pakai apabila 143 negara mengundi menyokong, 9 menentang dan 25 berkecuali.

Draf resolusi itu menyatakan Palestin layak untuk menjadi ahli dalam PBB mengikut Perkara 4 Piagam PBB dan harus diterima masuk sebagai ahli.

Hamas dalam satu kenyataan berkata, langkah Perhimpunan Agung PBB meningkatkan hak dan keistimewaan negara Palestin di PBB.

Kumpulan pejuang Palestin itu juga menyifatkan sokongan padu untuk resolusi itu adalah penegasan kerjasama antarabangsa.

“Kami menganggap resolusi ini sebagai pengakuan untuk rakyat Palestin mendapatkan hak mereka yang sah dan pengesahan sokongan antarabangsa kepada rakyat kami.

“… ia dalam situasi menghadapi Amerika Syarikat yang menyokong pembunuhan beramai-ramai oleh rejim Israel.

“Justeru, Hamas menyeru negara-negara bebas di dunia untuk memperhebatkan usaha mereka memberikan sokongan kepada rakyat Palestin,” katanya.

Gerakan Islam itu turut menggesa Majlis Keselamatan untuk menunaikan tanggungjawabnya dan membuat keputusan untuk mengiktiraf Negara Palestin sebagai anggota penuh PBB.

“Semua digesa berusaha serius menghentikan pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan kerajaan pendudukan fasis di Semenanjung Gaza.

“Israel telah melanggar semua undang-undang dan perjanjian Piagam Pertubuhan PBB,” kata Hamas.

Sekurang-kurangnya 34,943 orang rakyat Palestin, kebanyakannya kanak-kanak dan wanita, telah terbunuh sejak perang 7 Oktober tahun lalu.

Serangan tentera yang kejam itu mendapat sokongan ketenteraan dan politik yang tidak berbelah bagi di pihak sekutu Barat rejim Israel, termasuk Amerika Syarikat dan Perancis.

Palestin