‘Gear 3’ Dr Sam Pacu Terengganu Ke Era Baharu

‘Gear 3’ Dr Sam Pacu Terengganu Ke Era Baharu

Selepas kembali memimpin Terengganu melalui sokongan penuh rakyat, Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar tanpa berlengah mengumumkan Kerajaan Negeri akan terus bergerak dengan ‘gear 3’ bagi memacu negeri ini ke era baharu.

Jelas Ahmad Samsuri, beliau serta barisan Exco menggunakan ‘gear’ lebih pantas dan agresif bagi melaksanakan beberapa agenda untuk memperkasakan ekonomi negeri dan rakyat selepas menyelesaikan pelbagai isu asas seperti projek ‘sakit’ di penggal lepas.

Katanya, segala langkah menaikkan ekonomi negeri ke tahap lebih tinggi adalah berpandukan Pelan Penjanaan Pendapatan Baharu Negeri Terengganu yang mengandungi tujuh strategi.

“Strategi tersebut termasuk kajian semula cukai, serahan GLC, sumber galian dan mineral, sumber batuan, sumber air, sumber hijau serta fi pelancongan dan rekreasi dengan jumlah jangkaan nilai hasil (secara berfasa) sebanyak RM1 bilion pada tahun 2030.

“Menerusi tindakan ini kita mahu mengurangkan kebergantungan kepada hasil royalti petroleum dan gas serta krisis kekurangan simpanan minyak, penggal lalu kita berjaya mengurangkan tiga hingga empat peratus kebergantungan kepada royalti.

“Pelan ini juga menggariskan tiga objektif utama iaitu mengoptimumkan sumber negeri sedia ada, mengeksplorasi sumber baharu negeri serta mencari peluang jana pendapatan baharu terutamanya dalam sektor teknologi hijau dan Unsur Nadir Bumi (REE),” katanya.

Industri Hidrogen Hijau Potensi Majukan Terengganu

Kesungguhan Kerajaan Negeri merealisasikan era baharu Terengganu terbukti apabila, Ahmad Samsuri dan pasukannya giat menjalankan perbincangan dengan pelabur dan pemain utama industri hidrogen hijau terutama dari Korea Selatan.

Ujar Pakar Aeroangkasa itu, Empangan Hidroelektrik Tasik kenyir adalah salah satu loji kuasa hidroelektrik terbesar di Malaysia, oleh yang demikian Kerajaan Negeri merancang untuk meningkatkan lagi keupayaan tenaga hijau dengan memasang loji fotovoltaik solar terapung di Tasik Kenyir.

“Kerajaan negeri juga telah menandatangani MOU dengan PETRONAS Gas Berhad untuk mencari peluang dalam tenaga boleh diperbaharui terutamanya pada mini hidro.

“Industri hidrogen hijau dijangka akan dibangunkan menjadi pendapatan baharu Terengganu, Sarawak yang terlebih dahulu menggunakan kaedah berkenaan telah bersetuju untuk bekerjasama dengan Terengganu.

“Saya juga telah bertemu dengan Duta Korea Selatan ke Malaysia H.E. Yeo Seung-bae sebanyak dua kali bagi bercakap mengenai potensi Terengganu membawa masuk pelabur Korea dalam bidang ‘hydrogen energy’, ‘floating solar’, pendidikan dan bahasa,” katanya.

Terengganu Miliki Aset REE Terbesar di Malaysia

Mengulas mengenai Unsur Nadir Bumi (REE), Ahmad Samsuri berkata, Kerajaan Negeri telah mengadakan pertemuan bersama pelabur China bagi membincangkan potensi sumber baharu itu.

“Mengikut makLumat daripada Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman, pelabur tersebut merupakan pelabur yang mempunyai hubungan strategik dengan Malaysia sebelum ini.

“Beberapa pelan pembangunan telah diutarakan oleh mereka buat negeri Terengganu,” kata beliau yang turut memaklumkan harga REE boleh meningkat sehingga 700 peratus kerana mendapat permintaan yang tinggi.

Menurutnya, kajian yang dilakukan adalah terhad kepada kawasan luluhawa granit yang terdapat di daerah Setiu, Hulu Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman dengan anggaran keluasan kawasan yang berpotensi adalah seluas 581,735 hektar (1,437,500 ekar) dan mampu mengeluarkan sebanyak 7,187,500 tan.

“Terengganu pula mempunyai simpanan REE terbesar bernilai kira-kira RM250 bilion melibatkan lima daerah itu.

“Bahan mentah ini jika diproses boleh digunakan untuk sektor pembuatan terutamanya bagi penghasilan kereta elektrik, komputer, telefon pintar, industri bateri, magnet berintensiti tinggi,pembuatan kaca dan banyak lagi produk berteknologi tinggi,” jelasnya.

Terengganu Terus Diintai Pelabur Berpotensi

Dalam pada itu, bagi mengurus sambutan dan kedatangan pelabur ke Terengganu yang semakin rancak, pihaknya menganjurkan Hari Pelaburan Terengganu atau TBMIC (Terengganu Business Meeting with Investor Community).

Katanya, ia untuk mempermudahkan dan mempercepatkan proses permohonan dalam usaha menarik pelabur ke Terengganu dengan melibatkan MB, Exco Kerajaan Negeri, Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan Negeri.

Menurut beliau lagi, perjumpaan itu juga membabitkan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Mentri Besar Inc (MBI), Terengganu Inc (TI), PMINT, TSIS dan pakar teknokrat.

“Sebanyak 12 pelabur daripada pelbagai latar belakang industri yang disenarai pendek telah membentangkan cadangan projek dan pelaburan masing-masing dengan kriteria umum serendah RM50 juta sehingga beberapa billion ringgit untuk satu tempoh jangka masa panjang.

“Ia termasuk syarikat gergasi teknologi hijau antarabangsa, pembekal utama komponen kereta elektrik (EV) global, GLC negara seperti TNB Genco dan Petronas Gentari serta pelbagai lagi syarikat dari dalam dan luar negara,” maklum Naib Presiden PAS itu.

Manfaatkan Kawasan Stesen ECRL, Buka Kawasan Industri Baharu

Sementara itu, mengulas mengenai usaha merapatkan jurang pembangunan antara daerah, beliau menegaskan pusat perindustrian baharu akan dibuka terutama di utara Terengganu iaitu Besut dan Setiu melibatkan kawasan stesen Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Tambahnya, ini secara tidak langsung dapat merancakkan lagi perkhidmatan kargo dan dapat mengubah wajah pembangunan ekonomi di dua daerah tersebut.

“Kita akan mengerahkan seluruh jentera supaya bergerak ke arah mewujudkan kawasan industri yang baharu untuk mengambil manfaat daripada kewujudan ECRL, ini bakal membangkitkan sosioekonomi rakyat,” jelasnya.

Terengganu