Di Sebalik Tirai Sebuah Perjuangan – Tribut Buat Abang Long Salmi Ibrahim – Sabasun

Di Sebalik Tirai Sebuah Perjuangan – Tribut Buat Abang Long Salmi Ibrahim – Sabasun

Mungkin ramai yang tidak tahu disebalik perjuangan Abang Long Salmi dalam memperkukuhkan Sabasun untuk menjadi usahawan Melayu Islam yang menerapkan ekonomi berasaskan Islam, beliau menghadapi beberapa rintangan.

Ada diantaranya ialah daripada bangsa sendiri.

Saya yakin hal berkenaan Palestin dan perjuangan beliau itu mungkin sudah dimaklumi umum.

Jadi saya menumpukan kepada halangan beliau.

Pertengahan dekad 90-an, Sabasun memulakan perniagaannya dan antara rakan niaganya ialah Pak Khamis, seorang pengedar barangan runcit di Kertih.

Kata menantunya yang juga rakan sekerja saya, sangat takut bila lihat keuntungan yang sangat nipis yang diambil Sabasun kerana mahu mengekalkan mottonya “Harga Muroh Sokmo”.

Pada waktu itu juga, saya pernah duduk dengan seorang rakan Abang Long dari Unisza (waktu itu Kusza).

Dia yang turut terlibat dengan Sabasun mengatakan bahawa nilai jualan mereka berjaya mengatasi nilai jualan Hock Kee Seng iaitu sebuah pasaraya terkenal di Terengganu waktu itu.

Bagi aku Sabasun sudah berjaya.

Perlahan-lahan menginjak usia dewasa, aku berjaya mendekati Abang Long, bekas seorang pensyarah Kusza kerana tertarik dengan perwatakan beliau.

Sangat simple, tiada pakaian berjenama, yang selalu dipakai ialah baju T Sabasun atau baju kemeja petak-petak.

Apa jenis kereta yang beliau pakaipun tak ramai yang tahu, walaupun beliau ialah jutawan.

Beliau mempunyai hubungan yang baik dengan orang-orang agama.

Surau di pasaraya beliau diadakan tazkirah zohor dengan menjemput Ustaz Abu Bakar sebagai pengkuliah.

Sedikit sebanyak, dapatlah sang suami menadah telinga mendengar nasihat agama sementara menunggu isteri habis membeli belah.

Ayat-ayat suci al-Quran pula dijadikan halwa telinga di dalam pasaraya.

Semua pekerja beliau ialah anak tempatan, bukan Bangla atau Indonesia.

Isu parkir dan Sijil Layak Menduduki (CF)

Namun berlaku suatu peristiwa yang menyedihkan.

Pernah semua kawasan parkir di jalan utama, berhadapan pasaraya beliau, secara tiba-tiba dilupuskan menjadi kawasan garisan kuning (tidak boleh parkir) oleh PBT.

Ia sekaligus menjadi halangan bagi pelanggan untuk berhenti dan masuk ke pasaraya beliau.

Silap haribulan, kena saman.

Mujur akhirnya ia berjaya diselesaikan dan kawasan tepi jalan utama itu kembali dijadikan kawasan parkir berbayar.

Waktu itu pelanggan menggunakan bahu-bahu jalan berdekatan rumah kediaman yang ada di sekitar Sabasun.

Dan Sabasun pada setiap hari perayaan memberikan hamper kepada tuan-tuan rumah itu sebagai tanda ingatan terima kasih atas sokongan jiran-jiran mereka.

Kemudian Sabasun kembali menghadapi masalah besar.

Bangunan tambahan baharu mereka tidak diberikan Sijil Layak Menduduki (CF).

Sabasun kemudiannya menghadapi tindakan daripada kerajaan dan hampir-hampir dihalau keluar dari tanah yang mereka beroperasi sekarang.

Menurut cerita Abang Long kepada saya, ia berlaku kerana kelambatan pihak berwajib membuat pemeriksaan walaupun sudah berkali-kali surat dihantar kepada mereka.

Oleh kerana lambakan bekalan yang tidak dapat diuruskan dengan baik jika bangunan baharu itu tidak digunakan, maka Sabasun mengambil tindakan nekad menggunakannya juga walau tanpa CF.

Dan ketika itulah PBT bertindak menyita bangunan itu kerana menurut Datuk Bandar, Sabasun melanggar peraturan sewaan tanah.

Alhamdulillah Abang Long berjaya meminta bantuan daripada wakil rakyat PAS yang menaikkan isu ini sehingga ke dalam Sidang DUN.

Dengan desakan kuat pelanggan dan wakil rakyat, akhirnya PBT tidak jadi mengambil tindakan.

Menghadapi tekanan dari pasaraya pesaing

Selain itu, cabaran kepada Sabasun ialah kelulusan pasaraya-pasaraya besar lain yang berdekatan mengundang kehairanan.

Pelik juga apabila sebuah pasaraya ternama boleh diluluskan sehingga di tiga tempat dalam Terengganu dan dua daripadanya beroperasi berhampiran tapak Sabasun sedangkan diketahui kuasa beli rakyat Terengganu tidak besar.

Saya ada bertanyakan kesan pembukaan pasaraya itu terhadap jualan Sabasun.

Kata mereka, mereka sememangnya menjangkakan penurunan jualan.

Akan tetapi ia hanya bersifat sementara, sebulan dua sahaja dan tidaklah jatuh teruk sebagaimana jangkaan mereka.

Namun akhirnya pesaing Sabasun yang gulung tikar, tinggal hanya satu di bandar Kuala Terengganu.

Dan tapak pasaraya itu di Kijal juga diambil alih oleh Sabasun sekarang.

Membuktikan betapa kuatnya sokongan rakyat terhadap Sabasun.

Akhirat tidak dilupakan

Waktu selepas asar adalah waktu yang ghalib allahyarham Abang Long berzikir di suraunya selepas penat bekerja.

Itu antara terapi diri yang beliau amalkan.

Pernah saya masuk ke pejabatnya, timbunan surat memohon bantuan sama ada mahu belajar atau sedekah yang lain.

Semuanya dilayan Sabasun.

Jika anda tertinggal barangan yang dibeli, jangan bimbang, anda hanya perlu kembali ke pasaraya dan boleh menuntutnya.

Allahyarham memberitahu saya yang hasratnya untuk membawa Sabasun disenaraikan di Bursa Saham sebagai syarikat berhad.

Dan ia sudah bergerak ke arah itu.

Bagi membuktikan yang beliau cintakan Terengganu, beliau menerima jemputan MB Terengganu waktu itu, Dato’ Seri Ahmad Razif Abdul Rahman dengan menyertai program sumbang saran bagi meningkatkan ekonomi negeri.

Malah MB juga dijemput beliau bagi merasmikan majlis pecah tanah pembinaan Sabasun Mall.

Non Muslim bukan musuh, usahawan kecil dianggap rakan

Penting untuk difahami, allahyarham tidak memusuhi bukan Islam dan Melayu.

Malah beliau mengakui kepada saya ada beberapa orang rakan niaga beliau dari kalangan bukan Islam dan bukan Melayu.

Mereka membantu Sabasun sewaktu krisis ekonomi melanda dahulu.

Oleh itu, ada dijual barangan bukan Melayu Islam dalam pasaraya beliau, tetapi wajib yang halal sahaja.

Sebagai rakan kepada usahawan-usahawan kecil, beliau pernah membatalkan rancangannya untuk membina cawangan pasaraya Sabasun di sebuah daerah di Terengganu setelah mendengar sendiri rayuan daripada peniaga kecil sekitar kawasan itu yang bimbang jika Sabasun membuka pasaraya di situ, mereka akan kehilangan pelanggan.

Begitulah mulia hati allahyarham.

Beliau hanya memusuhi produk atau jenama yang menyokong Israel dan sanggup kehilangan RM50 juta nilai jualan kerana itu dan menggantikannya dengan produk pengusaha tempatan.

Dan yang paling memperlihatkan kesungguhan beliau dalam membantu peniaga-peniaga dalam jihad ekonomi beliau ialah beliau sudah menyiapkan modul perniagaan runcit bagi mereka yang berminat.

Semua sistem yang beliau ada akan diadaptasikan dan diajarkan kepada peserta sehingga berjaya.

Hormati rakan-rakan perniagaan

Beliau tidak mahu bertembung dengan PAS untuk membuka cawangan di Dungun kerana PAS ada rancangan untuk membuka pasaraya wakaf di sana.

Dia secara telus meluahkan kepada saya… ‘Bro, kaborlah ke pimpinan tu, kalau dok jadi nok buat, ambe nak masuk Dungun’, begitulah lebih kurang ajuk cakap allahyarham kepada saya.

Sayang, allahyarham tidak sempat untuk merasmikan Sabasun cawangan Dungun yang sedang dalam pembinaan itu.

(Penafian: Bukan kerana saya Sabasun mendapat kelulusan tapak di Dungun, ia adalah hasil perbincangan dengan PAS Kawasan Dungun dan MPD. Allahyarham hanya meluahkan kepada saya dan saya mendengar sahaja)

Allahyarham ikhlas dalam menegur dan saya pernah mendengar kritikan panjang beliau berkenaan beberapa perkara yang tidak memuaskan hati beliau hampir dua jam.

Namun saya menerima dengan hati terbuka.

Jasa beliau terlalu banyak, pastinya inginkan kesempurnaan yang mungkin gagal dilaksanakan oleh pihak lain.

Inilah kasih sayang, tegur bukan kerana benci, tetapi bagi menginsafi.

Dengan kehadiran ribuan jemaah untuk mendoakan dan menyolati jenazah beliau, semoga Allah mengampuni dan merahmati ruh Che Salmi Ibrahim dan segala kebaikan beliau menjadi saksi di akhirat nanti bagi melepaskan beliau dari azab Allah.

Insya Allah pada pengalaman dan pandangan saya, allahyarham ialah seorang insan yang baik.

Mohd Nasir Abdullah

Kolumnis