Tak Salah Sayangkan Bangsa, Tapi Bukannya Taksub

Tak Salah Sayangkan Bangsa, Tapi Bukannya Taksub

Nasionalisme adalah satu ideologi yang merupakan gerakan pembaratan dibawa oleh penjajah sebagai salah satu strategi ‘pecah dan perintah’ untuk memecahkan umat Islam.

Pengerusi Yayasan Permata Ummah, Dr Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, ideologi itu menanamkan rasa kasih dan sayang kepada bangsa masing-masing sehingga Islam diletakkan sebagai perkara sampingan.

Tegas beliau, apabila Islam bukan perkara asas, maka itulah fitnah sangat besar yang melanda umat di zaman kelemahan, lalu membawa kepada sekularisme iaitu dengan memisahkan agama daripada kehidupan umat dan dunia Islam.

Perkara tersebut dikupasnya dalam Syarahan Perdana ‘Survival Umat Islam’ sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTCKL), di sini kelmarin dahulu.

“Kita perlu beza di antara sayang kepada kaum dan bangsa, dengan taksub kepada kaum dan bangsa.

“Ini dua perkara yang berbeza. Kadang-kadang orang keliru. Kerana Nabi berkata “aku daripada Quraisy. Aku daripada bangsa Arab”.

“Maksud di sini Nabi nak tekankan sayang kepada bangsa sebahagian daripada agama.

Kita di Malaysia, kita sayang kepada bangsa dan kaum kita, Melayukah, Kadazankah, Cinakah, Indiakah, apa-apapun, itu tak jadi masalah. Itu fitrah semulajadi manusia.

“Tapi yang diharamkan oleh Islam ialah taksub kepada bangsa. Ini perlu dibezakan.

“Taksub pada bangsa ini bercanggah dengan agama. Bangsa kita buat salahpun, kita bela juga. Tak boleh, ini bercanggah dengan Islam,” jelasnya.

Namun menurut beliau, dalam konteks perkembangan di dunia Islam pada hari ini, gerakan-gerakan Islam melakukan jalin-hubungan dengan kumpulan-kumpulan yang meletakkan nasionalisme dalam dasar perjuangannya.

Pendekatan tersebut terangnya, bukan sahaja diambil oleh PAS di Malaysia, tetapi juga AK Party di Turkiye kerana sikap nasionalisme yang lebih dekat dengan agama berbanding kelompok sekularisme memisahkan agama.

Politik