Harga Diesel, Penyasaran Subsidi Dan Sembang Mesin Basuh

Harga Diesel, Penyasaran Subsidi Dan Sembang Mesin Basuh

Kenaikan harga diesel ke RM3.35 seliter bermula malam tadi mendapat reaksi yang berbeza daripada rakyat.

Rata-rata rakyat secara umumnya dalam konotasi sinis mengatakan “serupa saja dengan kerajaan dulu, tak reti fikir cara lain dah nak tingkatkan ekonomi negara”.

Manakala sebahagian kecil yang lain pula seronok dan berbangga dengan kenaikan harga bahan api tersebut.

Sebenarnya, memang ada keperluan untuk subsidi diberi secara bersasar.

Ia bukanlah idea asal orang politik yang memerintah pun, kerana orang politik mahukan populariti – pasti tidak akan menaikkan harga minyak yang menjadi ibu kepada segala kenaikan harga barang.

Tetapi idea dan keputusan ini datang daripada pihak pengkaji dan perancang ekonomi yang memang kerja mereka menganalisa dan jalan yang terbaik untuk pergerakan ekonomi, meningkatkan kadar pendapatan negara dan mengurangkan kebocoran ekonomi atas pelbagai faktor.

Maka apa bila team professional yang mengkaji dan membuat keputusan, hasilnya akan tetap dibentang kepada orang politik yang memegang kuasa menjadi kerajaan.

Siapa pun yang menjadi PM, parti manapun yang memerintah – mereka akan terpaksa akur dengan hasil-hasil kajian tersebut untuk mengelak daripada kegagalan ekonomi.

Cuma perlaksanaannya cepat atau lambat sahaja atas faktor ego dan kedegilan orang politik.

Degil macamana pun, lambat laun mereka akan terpaksa follow jika mereka TIADA alternatif lain untuk diberikan kepada pihak professional yang mengkaji – sebagai option baharu.

Jadi walaupun sembang berdegar-degar mahukan harga minyak turun sebelum menjadi kerajaan, maki macam-macam kepada kerajaan sebelumnya yang menaikkan harga minyak, berguling-guling di atas jalan raya membantah kenaikan harga minyak, sembang kencang mahu berdepan dengan tauke-tauke besar, sembang besar nak ambil bilion-bilion daripada keuntungan Petronas untuk diberi kepada rakyat sebagai subsidi bagai… semua itu hanyalah sembang mesin basuh yang mempersonakan rakyat.

Hakikatnya apabila menjadi kerajaan, baharulah mereka tahu hal yang sebenar.

Rakyat yang pakat troll pasal kenaikan harga diesel ini bukanlah mahu mengkritik sangat pun pasal kenaikan harga diesel.

Benda yang mereka kritik dan troll adalah sifat pembohong dan spin-spin putar alam para pemimpin kerajaan hari ini yang bercakap tidak serupa bikin.

Saya kira, rakyat pun faham kenapa kenaikan ini perlu.

Sepatutnya, pihak pemerintah terutama PMX dan kuncu-kuncunya itu memohon maaf kepada rakyat terlebih dahulu atas kekhilafan dan kebongkakan semasa kempen-kempen sembang kencang puluhan tahun sebelum ini.

Akui kesilapan, merendah diri dan berikrar untuk menjalankan amanah ini dengan sebaiknya.

Saya kira rakyat akan mati kutu untuk membahan pemimpin yang merendah diri memohon maaf.

Tetapi sebaliknya berlaku.

Makin orang kritik dan troll, semakin membongkak pula kerajaan berserta pentaksub-pentaksub mempertahankan tindakan mereka.

Mereka keluarkan “fakta-fakta” untuk menjustifikasi tindakan mereka, siap bawa keluar senarai harga diesel negara-negara ASEAN bagai.

Mereka buat balik apa yang mereka lawan tempohari.

Di situlah sebenarnya titik perlawanan rakyat terhadap kerajaan Madani hari ini – melawan sembang mesin basuh berkuasa tinggi.

Jadi, pihak pembangkang hari ini pun tak perlu nak galak buat janji baharu kalau kami menaaaang esoik harga diesel turun.

Tak payah nak troll sangat pasat harga diesel.

Ia bukanlah pasal harga diesel sangat, kerana jika anda kembali memerintah – perlaksanaan yang sama akan dibuat – yang berbeza mungkinlah istilah yang diguna pakai sahaja.

Melainkan jika anda punyai idea dan formula yang lebih baik daripada ‘penyasaran subsidi’, this is another level punya perlawanan.

Oleh: Dr Tanaka Mustafa

Kolumnis