Ketika Israel Terus Dibekalkan Senjata, Anwar Anggap Dasar AS Semakin ‘Positif’

Ketika Israel Terus Dibekalkan Senjata, Anwar Anggap Dasar AS Semakin ‘Positif’

Perdana Menteri Anwar Ibrahim memuji apa yang disifatkannya sebagai “perubahan” dalam pendirian Amerika Syarikat menyokong Israel, meskipun Presiden Joe Biden masih kekal membekalkan senjata bernilai berbilion dolar kepada negara Zionis itu serta sikap Washington mengecam Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) kerana mengeluarkan waran tangkap kepada Benjamin Netanyahu dan Menteri Pertahanan Israel, Yoavav Gallant.

Bercakap di forum Meja Bulat Asia Pasifik ke-37, Anwar mengalu-alukan “perkembangan positif” dalam pendirian AS.

“Dalam kekangan sistem politik AS dalam tahun yang menyaksikan pilihan raya, Presiden Biden baru-baru ini menunjukkan sikap semakin tidak sabar terhadap rakan sejawatnya dari Israel.

“Beliau juga telah mula mendesak penerimaan cadangan gencatan senjata sebagai pertukaran untuk pembebasan tebusan.

“Kami mengalu-alukan tanda-tanda awal perubahan pendekatan Amerika terhadap konflik ini,” katanya dalam ucapan yang mungkin mengundang kritikan kumpulan pro-Palestin di Malaysia, yang membidas kerajaan Anwar atas beberapa keputusan yang dilihat berlawanan dengan dasar Malaysia menyokong perjuangan Palestin.

Baru-baru ini, Anwar dikecam atas rancangan melibatkan sebuah syarikat milik BlackRock, firma pelaburan global AS yang terpalit kontroversi, dalam sebuah konsortium dipacu dana kerajaan untuk menguruskan lapangan terbang Malaysia.

Menurut rancangan diumumkan bulan lepas, Global Infrastructure Partners (GIP) yang dimiliki BlackRock akan mengambil alih 30% kepentingan dalam konsortium itu, langkah yang mengundang protes disebabkan reputasi BlackRock sebagai syarikat yang mempunyai hubungan rapat dengan ekonomi dan industri pertahanan Israel.

Anwar menolak bantahan terhadap rancangan itu, sebaliknya menuduh pihak pembangkang “menghasut” terhadap kerajaan.

Anwar sebelum ini turut menolak bantahan terhadap keputusan kerajaan membenarkan syarikat pertahanan AS yang berdepantuduhan bersubahat dalam jenayah perang Israel untuk menyertai pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Keselamatan Negara Asia (Natsec) di Kuala Lumpur.

Pameran tersebut turut disertai Lockheed Martin, yang mana BlackRock mempunyai 7.4% kepentingan.

Minggu lalu, sebanyak 15 kumpulan menggesa kerajaan Malaysia menarik balik penyertaan dalam sebuah latihan ketenteraan maritim pimpinan AS yang turut melibatkan tentera Israel.

Gerakan Boycott, Divestment, Sanctions Malaysia yang mengetuai gesaan itu berkata Malaysia perlu segera menarik diri Latihan Lingkaran Pasifik (Rimpac) yang akan berlangsung mulai 26 Jun hingga 2 Ogos.

Tokoh akademik Palestin berpengkalan di London, Azzam Tamimi baru-baru ini turut mengulas hal tersebut menggesa Malaysia untuk mempertimbangkan semula konsortium melibatkan BlackRock. 

Israel terus dibekalkan senjata

Kenyataan Anwar mengalu-alukan “perubahan” dalam dasar AS menyokong Israel muncul ketika Rumah Putih masih gagal mengambil apa-apa tindakan konkrit bagi menghukum Israel selepas serangan di Rafah yang membunuh puluhan orang awam Palestin, walaupun sebelum ini Biden berulang kali merayu Israel tidak menceroboh bandar sempadan yang menempatkan lebih daripada separuh pelarian Gaza sejak perang yang telah membunuh sekurang-kurangnya 35,000 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

Biden berkata beliau telah menyekat penghantaran senjata ke Israel pada April kerana khuatir Israel akan menggunakannya di Rafah, tetapi pada masa sama berkata beliau meluluskan penghantaran senjata lain.

Di sebalik kenyataannya menentang pencerobohan Israel ke Rafah, AS bulan lalu berkata ia merancang membekalkan negara Zionis itu dengan lebih AS$1 bilion senjata baharu.

Menurut laporan AP, penghantaran itu termasuk peluru tangki bernilai AS$700 juta dan kenderaan taktikal bernilai AS$500 juta.

Hamas setuju ‘dua negara’?

Dalam ucapannya hari ini, Anwar turut mendakwa pertemuannya dengan pemimpin Hamas mendapati mereka menerima baik idea penyelesaian dua negara, dasar yang mengiktiraf kedua-dua Israel dan sebuah negara Palestin bebas.

Dasar tersebut baru-baru ini menjadi sasaran kritikan oleh kerana kepimpinan Israel secara terbuka menolak kewujudan sebarang negara Palestin.

“Saya sukacita mengatakan bahawa dalam pertemuan terakhir saya dan perbualan baru-baru ini dengan mereka (Hamas), mereka tampak menerima baik cadangan untuk penyelesaian, gencatan senjata yang kekal dan penyelesaian dua negara,” katanya.

Sebelum ini, terdapat gesaan agar kerajaan Malaysia tidak lagi meneruskan dasar menyokong penyelesaian dua negara.

Penyelesaian itu yang merupakan sebahagian daripada Perjanjian Oslo 1993, di atas syarat Israel mengiktiraf status Baitulmaqdis, menghentikan pembinaan penempatan haram Yahudi dan membenarkan pelarian Palestin pulang, iaitu syarat-syarat yang masih gagal dipenuhi rejim itu.

Awal tahun ini, bekas pemimpin Umno Khairy Jamaluddin menggesa Malaysia berhenti menyokong dasar penyelesaian dua negara.

“Israel langsung tidak percaya dengan penyelesaian dua negara. Mereka tidak melakukan apa-apa dalam dekad yang lalu untuk menunjukkan mereka komited terhadap penyelesaian dua negara,” kata bekas menteri itu.

“Mereka (Israel) berpura-pura bahawa mereka menghormati penyelesaian dua negara tetapi mereka tidak. Jadi saya rasa sudah tiba masanya untuk Malaysia berhenti berkata bahawa kita menyokong penyelesaian dua negara.”

Sebulan sebelum serangan 10 Oktober oleh Hamas, badan pemikir Centre for Human Rights Research and Advocacy (Centhra) mempersoalkan pendirian Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang selari dengan pendirian Asean untuk menyokong penyelesaian dua negara.

“Memandangkan komitmen Malaysia di masa lalu terhadap pemerintahan sendiri dan hak asasi manusia, kami menggesa perdana menteri mempertimbangkan semula dan mengambil pendirian yang lebih tegas terhadap apartheid Israel,” kata Azril Mohd Amin dari Centhra.

Isu Semasa