Di manakah kita apabila Islam diserang?
Apabila Firdaus Wong diserang kiri kanan depan belakang oleh ultra kiasu atas kenyataannya berkaitan anak bukan Islam bawah umur boleh memeluk Islam, tidak ada seorang pun, tidak ada satu pun NGO Islam tampil membelanya, termasuk NGO berkaitan mualaf, seolah-olah kelihatan kenyataan beliau itu salah, tidak betul, atau bertentangan dengan Islam.
Beliau nampak begitu keseorangannya.
Kita hanya melihat dan menyokong dalam hati sahaja.
Golongan asatizah pun senyap, NGO-NGO Islam senyap.
Bila berjumpa atau terserempak, baharulah berkata, “berani sungguh kamu, dan bagus sungguh kamu”.
Persoalan saya, sampai bila kita harus begini?
Sampai bila mahu berdiam diri? Ini bumi siapa?
Menyokong perjuangan hanya dari hati, mulut?
Mulut, tangan kaki, letak mana? Takkan semua nak diam?
Nak cerita pasal kesucian Islam, kena mintak kebenaran?
Sebenarnya, itulah yang saya hadapi selama ini. Sangat keseorangan.
Mempertahankan kemuliaan Islam, tetapi orang pandang sebelah mata. Cari makan.
Ada aku kisah?
Tetapi, itu semua tidak mematahkan semangat saya, perjuangan perlu diteruskan.
Itulah juga nasihat saya kepada Firdaus Wong, apabila ketemu, menceritakan isu-isu berkaitan Islam, serangan ultra kiasu dan mualaf di negara kita.
Berbalik kepada isu memeluk Islam bawah umur, pertanyaan saya, dalam Islam, siapa yang boleh menahan atau mahu menahan, jika ada orang, termasuk kanak-kanak bawah umur atau pelajar sekolah rendah atau menengah, mahu memeluk Islam?
Adakah salah dalam Islam?
Apakah ketika itu, kita akan menolak dengan mengatakan, “kamu bawah umur, salah dari segi undang-undang, kena minta kebenaran mak bapak kamu, jangan peluk Islam lagi?”
Bagaimana selepas itu, jika beliau meninggal, tanpa mengucapkan syahadah?
Maka kita menjawab, “dia belum baligh lagi, terus masuk syurga”.
Bagaimana pula dengan pelajar sekolah menengah antara 13 tahun ke atas sehingga 18 tahun.
Apakah mereka belum baligh?
Sebenarnya, saya jumpa ramai sahaja, kanak-kanak kategori ini yang mahu memeluk Islam?
Saya suruh sahaja dia mengucap dahulu, tanpa didaftarkan. Salahkah?
Apakah ketika itu, kita tidak boleh syahadahkan dia dahulu.
Soal pendaftaran, itu adalah prosedur, kita buatlah kemudian, setelah dia cukup umur.
Keinginan atau niat dia mahu memeluk Islam mesti ditunaikan dahulu, meskipun di bawah umur, masih berada dalam jagaan ibu bapa.
Islamkan dahulu secara senyap. Salahkah?
Tunaikan tanggungjawab agama dahulu.
Cuma mengikut undang-undang Malaysia atau perlembagaan sahaja yang menghalang, mereka hanya boleh memeluk Islam, apabila sudah mencapai umur 18 tahun dan ke atas, boleh memeluk Islam dan didaftarkan.
Proses pengIslaman tidak perlu kepada pendaftaran.
Syahadahkan dia dahulu.
Takkan strategi sebegini pun kita takut.
Ini bumi siapa asal usulnya?
Agama Islam berada dalam kedudukan di mana mengikut perlembagaan Persekutuan?
Apakah selepas ini kita menjadi tidak berani untuk berdakwah kepada pelajar bukan Islam di bawah umur?
Orang Kristian atau misionari Kristian relaks sahaja berdakwah kepada pelajar bawah umur, boleh pula.
Bila kena pada kita, berkaitan dengan Islam, semua tidak boleh, termasuk berdakwah kepada mereka di bawah umur.
Jika semua berkaitan Islam, jadi tidak boleh, semuanya sensitif, apa ertinya makna salam, apa ertinya makna Islam, Rahmat untuk sekelian alam, termasuk kedudukan dan keistimewaan Islam dalam perlembagaan?
Insaflah wahai saudaraku, termasuk NGO Islam, jangan jadi penakut sangat.
Bila sudah berada dalam zaman AI hari ini, bukan zaman purba.
Jangan hanya kerana cari makan, kerana nak sangat masuk TV, untuk jadi celebriti agama kononnya, sehingga kita lupa tanggungjawab asas kita beragama?
Kepada Firdaus Wong, teruskan kerja mulia kamu, saya akan bersama dan menyokong….
Mohd Ridhuan Tee Abdullah