Nenggiri Bakal Mengerikan Siapa?

Nenggiri Bakal Mengerikan Siapa?

Tidak keterlaluan jika saya katakan pengosongan kerusi Dun Nenggiri di Kelantan bakal menjadi medan ujian bagi mengetahui siapakah yang akan menerima kesan terbesar terhadap keputusan ini.

Dun Kelantan melalui Speakernya, Dato’ Mohd Amar Nik Abdullah mengumumkan yang Adun Nenggiri Mohd Azizi Abu Naim dari Bersatu itu hilang kelayakan sebagai Adun.

Walaupun tidak meninggalkan parti, beliau dikatakan telah melanggar Akta Lompat Parti dan diberikan surat rasmi pemecatannya dari parti. Maka kerusi Nenggiri, dikosongkan.

Apabila Speaker memutuskan hal sedemikian, maka ia akan dimaklumkan kepada SPR dan dalam masa 60 hari, SPR mesti mengadakan satu pilihanraya di kawasan terbabit.

Bolehkah keputusan Speaker Dun ini dicabar? Ya boleh.

Ia mesti melalui mahkamah yang kemudiannya akan memutuskan adakah keputusan Speaker Dun menepati perlembagaan.

Pernah ia terjadi? Ya pernah.

Pada tahun 1992, dua Adun Kelantan, Wan Najib Wan Mohamad Dun Limbongan dan Nordin Salleh Dun Sungai Pinang telah melompat parti dari Semangat 46 kepada BN.

Lalu kedua kerusi Dun itu diisytiharkan kosong oleh Speaker Dun Kelantan kerana Dun telah meluluskan Enakmen Anti Lompat Parti.

Dua Pilihanraya Kecil (PRK) telah diadakan oleh SPR kerana Speaker Dun mengisytiharkan dan memaklumkan kepada SPR.

SPR tiada kuasa menghalang pengisytiharan itu dan hanya menjalankan tugasan mereka.

Kedua calon itu tewas dalam PRK itu, tetapi mereka telah membawa kes itu ke mahkamah bagi mengemukakan rayuan yang tindakan mereka melompat parti itu, tidak menyalahi perlembagaan.

Mahkamah menggunakan peruntukan Perlembagaan Persekutuan. Perkara 10, Ceraian 1 (c) menyebut, “Semua warganegara adalah berhak menubuhkan persatuan”.

Ia bermaksud, Enakmen Anti Lompat Parti yang diluluskan oleh Dun Kelantan waktu itu adalah bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Maka kekallah kedua mereka di kerusi masing-masing, walaupun sudah ditewaskan dalam satu PRK yang bersih.

Hal yang sama juga berlaku di Sabah pada tahun 1994 apabila PBS yang menang 25 kerusi telah kehilangan Sabah dalam masa dua minggu apabila Umno yang mempunyai 23 kerusi, berjaya memujuk Adun-Adun PBS untuk melakukan lompatan kepada kem mereka.

Kes dibawa ke mahkamah dan sekali lagi peruntukan 10 ceraian 1 (c) digunakan.

Kini setelah Akta Anti Lompat Parti diluluskan di Parlimen, kelihatannya kes Adun Nenggiri ini akan menjadi kertas litmus bagi menguji buat pertama kalinya peruntukan itu.

Adakah ia akan memihak kepada Kerajaan Negeri Kelantan atau Adun Nenggiri.

Ia kelihatannya berbeza berbanding dengan kes 32 tahun lalu.

Jauh daripada itu, ia pasti akan menjadi ‘precedented case’ kepada Adun dan Ahli Parlimen lain yang melakukan hal yang sama.

Jika Adun Nenggiri berjaya mengenepikan kes ini di mahkamah, maka Kerajaan Madani akan menjadi lebih kuat kerana Ahli Parlimen yang menyatakan sokongan kepada PMX, tidak takut lagi kehilangan kerusi mereka, malah pasti akan mendapat lebih banyak laba hasil daripada lompatan mereka itu kerana mencukupkan bilangan dua pertiga Kerajaan Madani.

Pun begitu, jika mahkamah memutuskan yang Adun Nenggiri tidak melanggar peruntukan, PMX mungkin juga tidak boleh tidur lena kerana memikirkan Ahli Parlimen Umno yang mungkin akan melakukan perkara yang sama dan menyatakan sokongan mereka kepada PN, tanpa keluar parti.

Takkan ada dua set undang-undang kut?

Kena kat dia, boleh, kena kat orang, tak boleh.

Namun jika keputusan mahkamah tidak memihak kepada Adun Nenggiri, Kerajaan Madani akan kehilangan majoriti dua pertiga kerana semua Ahli Parlimen yang menyokong PMX akan digugurkan secara automatik kerana melanggar Akta Anti Lompat Parti itu.

PMX terpaksa menunggu PRK terlebih dahulu, jika bernasib baik, mereka menang dan mendapat lebih kerusi. Tetapi jika melihat kepada mood rakyat sekarang, agak sukarlah PH mahu merampas kerusi PN.

Apapun kita pakat bantu calon PAS di Sungai Bakap dahulu sebelum kita berpencak pula di pentas Nenggiri.

Mohd Nasir Abdullah

Politik