Adakah Anwar Bohong Di Parlimen Dakwaan Hamas ‘Tiada Masalah’ Dengan Firma Terkait Israel

Adakah Anwar Bohong Di Parlimen Dakwaan Hamas ‘Tiada Masalah’ Dengan Firma Terkait Israel

Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin mempersoalkan dakwaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim kononnya pergerakan Hamas tidak mempunyai masalah dengan Malaysia berurusan dengan syarikat yang mempunyai hubungan rapat dengan Israel.

Bekas perdana menteri itu merujuk kepada jawapan Anwar di Dewan Rakyat, di mana beliau menyifatkan mereka yang menggesa kerajaan membatalkan perjanjian dengan semua syarikat yang berdepan tuduhan bersubahat dalam pembunuhan beramai-ramai Israel sebagai “lebih Hamas daripada Hamas”.

“Bunyi sedaplah, bagi orang dengar seronok, kita ni hebat pejuang. Tapi sebenarnya tidak realistik. 

“Saya bincang dengan pimpinan Hamas, tidak berbangkit pun,” kata Anwar pada Selasa ketika mempertahankan keputusannya membenarkan syarikat milik pengurus dana kontroversi BlackRock menyertai konsortium menguruskan lapangan terbang di Malaysia.

Muhyiddin merujuk kepada kenyataan dikeluarkan Hamas beberapa jam selepas jawapan Anwar, di mana kumpulan itu menyeru negara-negara Islam untuk meneruskan boikot syarikat yang terlibat dalam jenayah perang Israel.

“Dia kata Hamas tak ada masalah pun. Selepas itu Hamas keluar kenyataan menyokong semua tindakan memboikot Israel.

“Adakah perdana menteri berbohong di Parlimen?” soal Muhyiddin.

Kenyataan dikeluarkan Hamas pada awal Rabu menggesa negara-negara Islam meneruskan boikot ekonomi dan politik terhadap Israel dan semua pihak yang menyokongnya, dan menyifatkan kempen global setakat ini telah mencapai “kejayaan penting dalam menjejaskan ekonomi entiti itu, mengasingkannya, dan memadamkan legitimasinya”.

Ia berkata usaha boikot merupakan sebahagian daripada kaedah “penentangan komprehensif terhadap Zionis”.

“Hamas juga mengesahkan ini merupakan pendiriannya yang tegas dan strategik yang tidak berubah, lebih-lebih lagi ketika pencerobohan kejam dan pembunuhan beramai-ramai setiap hari yang dilakukan terhadap rakyat kami di Semenanjung Gaza.

“Kami menggesa rakyat di negara Arab dan Islam serta rakyat merdeka seluruh dunia untuk menyokong semua usaha ke arah pemulauan dan pengasingan entiti ini dan penyokongnya,” kata kenyataan itu.

Anwar ketika ini melawan tekanan yang semakin meningkat untuk membatalkan perjanjian yang akan menyaksikan Global Infrastructure Partners (GIP) milik BlackRock membeli 30% kepentingan dalam sebuah konsortium menguruskan Malaysia Airports Holdings (MAHB), bersama-sama Khazanah Nasional dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), dua entiti di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan yang diterajui beliau sendiri.

Langkah itu mencetuskan bantahan pemimpin masyarakat sivil dan kumpulan pro-Palestin yang menuntut kerajaan membatalkan perjanjian itu memandangkan BlackRock berdepan tuduhan bersubahat dalam kempen pembunuhan beramai-ramai Israel di Gaza, yang setakat ini mengorbankan sekurang-kurangnya 35,000 orang.

Minggu lalu, sekumpulan pakar dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menamakan BlackRock bersama puluhan syarikat, pengeluar senjata dan institusi kewangan, memberi amaran kepada mereka supaya tidak terlibat dalam membekalkan senjata kepada Israel kerana tindakan itu menunjukkan keterlibatan dalam jenayah perang dan pembunuhan beramai-ramai.

“Syarikat-syarikat ini, dengan menghantar senjata, alat ganti, komponen dan peluru kepada tentera Israel, berisiko terlibat dalam pelanggaran serius hak asasi manusia antarabangsa dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa,” menurut kenyataan dikeluarkan lebih 30 pakar dan pegawai PBB diketuai Robert McCorquodale, ahli Kumpulan Kerja PBB mengenai Perniagaan dan Hak Asasi Manusia.

Isu BlackRock dilihat antara cabaran utama Anwar sejak dilantik sebagai perdana menteri, di sebalik tuduhan beliau lebih mesra dengan Amerika Syarikat dan Israel berdasarkan kenyataan lampau, termasuk wawancaranya dengan Wall Street Journal pada 2012 yang memetiknya sebagai berkata akan “menyokong usaha mempertahankan keselamatan Israel”.

Isu Semasa