Dalam beberapa hari ini perkembangan di Timur Tengah begitu meruncing sekali yang menjurus kepada pertembungan yang lebih besar antara mihwar al-Tatbi’ ( Orbit Normalisasi ) yang diketuai oleh Zionis Israel serta sekutunya dan mihwar al-Muqawamah ( Orbit Penentangan ) yang diketuai oleh Iran dan sekutunya.
Kenyataan paling tegas oleh pemimpin utama Hizbullah, Hasan Nasrullah beberapa hari lalu memberi isyarat bahawa konflik Palestin-Zionis Israel bakal merebak dengan lebih meluas ke Selatan Lubnan setelah bermulanya operasi Taufan al-Aqsa pada 7 Oktober 2023 tahun lalu.
Dalam kenyataannya, beliau juga memberi amaran, Hizbullah bersedia menghadapi peperangan terbuka dan jika sekiranya senario ini berlaku maka tidak ada lagi peraturan dalam pertembungan ini, seluruh jajahan Zionis Israel di bumi Palestin bakal menjadi sasaran sama ada tentera mahupun awam.
Lebih menarik lagi, Hassan Nasrullah juga memberi amaran ke atas negara Cyprus, ia bakal diserang jika sekiranya mereka bekerjasama dengan Zionis Israel menyerang Lubnan.
Jikalau senario ini berlaku sudah tentu bakal meluaskan lagi konflik ini menjadi perang serantau bahkan tidak mustahil menjadi perang dunia ketiga.
Ini kerana Cyprus adalah anggota EU dan menjadi pengkalan utama kepada tentera NATO khususnya Amerika Syarikat, Britain dan sekutunya.
Cyprus juga sudah sekian lama menjadi medan latihan tentera Zionis Israel sebagai model perang di Lubnan.
Kali terakhir adalah latihan ketenteraan yang diadakan pada tahun lepas.
Jika Cyprus diserang oleh Hizbullah, adakah NATO akan berdiam diri dan jika NATO bertindak balas maka apakah Iran dan dan Rusia akan berpeluk tubuh?
Kenyataan Hassan Nasrullah disambut oleh Zionis Israel pada hari ini (24 Jun 2024) yang disiarkan dalam media Zionis Israel bahawa mereka bersedia menggunakan senjata yang tidak pernah digunakan sebelum ini.
Adakah ini satu isyarat bahawa mereka akan menggunakan senjata nuklear atau senjata pemusnah lain?
Ianya tidak mustahil kerana mereka akan menggunakan apa sahaja cara bagi mempertahankan diri.
Bagi mereka matlamat menghalalkan cara.
Jika sekiranya mereka sanggup membantai ribuan rakyat Palestin di Gaza maka besar kemungkinan juga mereka akan mengulanginya di Lubnan.
Sejarah telah membuktikannya dalam peristiwa pembunuhan beramai-ramai di kem Syabra-Syatila pada tahun 1980an yang lalu.
Rentetan daripada perkembangan terkini yang sedang berlaku, saya sertakan di bawah beberapa point penting untuk dikongsi bersama:
1- Peralihan Perang Proksi kepada Perang Langsung
Sebelum ini pertembungan yang berlaku antara kedua-dua kelompok ini adalah dalam bentuk ‘tersembunyi’ serta melalui proksi masing-masing.
Iran menggunakan proksinya iaitu Hizbullah, HAMAS, Jihad Islami, al-Hasyd al-Sya’bi dan Ansarulullah manakala Zionis Israel pula menyerang ‘secara bersembuyi’ kepentingan Iran di Syria, Iraq, Lubnan dan Yaman.
Namun operasi Taufan al-Aqsa yang dilancarkan oleh HAMAS pada 7 Oktober tahun lalu telah merubah segala-galanya.
Rupa-rupanya negara haram Zionis Israel umpama sarang labah-labah yang begitu lemah sekali.
Sehingga ke saat ini, tentera Zionis Israel yang digembar gemburkan sebagai tentera yang tidak dapat dikalahkan terus gagal untuk mengalahkan HAMAS.
Gaza yang hanya sebuah wilayah kecil gagal ditundukkan oleh negara kuasa nuklear Zionis Israel.
Justeru demi untuk menyelamatkan diri dan menjaga airmukanya, negara haram Israel cuba menarik negara lain berperang bagi pihak dirinya.
Inilah sikap Yahudi yang telah didedahkan oleh al-Quran sejak 1400 yang lalu seperti dalam ayat 13 dan 14 surah al-Hasyr.
لَأَنتُمْ أَشَدُّ رَهْبَةًۭ فِى صُدُورِهِم مِّنَ ٱللَّهِ ۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمْ قَوْمٌۭ لَّا يَفْقَهُونَ ١٣ لَا يُقَـٰتِلُونَكُمْ جَمِيعًا إِلَّا فِى قُرًۭى مُّحَصَّنَةٍ أَوْ مِن وَرَآءِ جُدُرٍۭ ۚ بَأْسُهُم بَيْنَهُمْ شَدِيدٌۭ ۚ تَحْسَبُهُمْ جَمِيعًۭا وَقُلُوبُهُمْ شَتَّىٰ ۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمْ قَوْمٌۭ لَّا يَعْقِلُونَ ١٤
“(Kerana) sesungguhnya kamu – dalam hati mereka, – sangat ditakuti lebih dari Allah; yang demikian itu, kerana mereka ialah kaum yang tidak mengerti (akan kekuasaan Allah dan kebesaranNya). (13)
“(Orang-orang Yahudi dan orang-orang munafik) dengan keadaan bersatu padu sekalipun, tidak berani memerangi kamu melainkan di kampung-kampung yang berbenteng kukuh, atau dari sebalik tembok. (Sebabnya): permusuhan di antara mereka sesama sendiri amatlah keras; engkau menyangka mereka bersatu padu, sedang hati mereka berpecah belah (disebabkan berlainan kepercayaan mereka). Yang demikian itu, kerana mereka adalah kaum yang tidak memahami (perkara yang sebenarnya yang memberi kebaikan kepada mereka).” (14)
2- Lobi Zionis Yahudi menguasai Amerika Syarikat
Konflik yang berlaku mendedahkan wajah sebenar Amerika Syarikat dan Barat terhadap rakyat Palestin.
Bagi mereka nyawa rakyat Palestin tidak ada nilai walaupun satu sen.
Laungan hak asasi manusia dan kesamarataan hanyalah omong kosong sahaja.
Satu persatu tindakan Amerika Syarikat mendedahkan siapakah di belakang tabir yang menguasai tindak tanduk pemerintahan White House terhadap Dunia Islam, tidak lain dan tidak bukan ianya adalah Zionis Yahudi.
Pada 18 April lalu, Amerika Syarikat menggunakan undi vetonya menolak resolusi Majlis Keselamatan PBB untuk memberikan keahlian penuh dan mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara.
Ini tidak termasuk menggunakan undi vetonya beberapa kali untuk menolak gencatan senjata di Semenanjung Gaza.
Beberapa hari sebelum itu Kongres Amerika Syarikat meluluskan bantuan ketenteraan sebanyak USD 95 billion kepada negara-negara sekutunya khususnya Zionis Israel.
Dan yang terakhir, Amerika Syarikat bakal meluluskan usul bagi mengharuskan penghantaran senjata baharu untuk Zionis Israel ketika lawatan Perdana Menteri negara haram Zionis Israel Benjamin Netanyahu ke Amerika Syarikat ketika ini.
Hakikatnya Amerika Syarikat dikuasai oleh Zionis Israel yang menentukan segala polisi luar negara dan pertahanan khususnya di Timur Tengah.
Justeru tidak pelik Zionis Israel bermaharajalela membunuh dan membantai rakyat Palestin tanpa segan dan silu.
Apa yang berlaku mempercepatkan lagi kehancuran mereka di tangan hamba-hamba Allah yang beriman sebagaimana yang dijanjikan oleh Allah SWT di dalam al-Quran dan juga hadis-hadis Nabi SAW yang begitu banyak.
Hari ini masyarakat antarabangsa mula meragui kewujudan negara haram Zionis Israel dan tidak lagi segan silu mengutuk kekejaman Zionis Israel.
Benteng yang runtuh ini menggerunkan Zionis Israel kerana pekong mereka sudah terdedah.
3- Penghijrahan orang Yahudi ke Amerika Utara dan Eropah
Sedar atau tidak sepanjang sembilan bulan konflik ini berlanjutan, sudah lebih setengah juta rakyat negara haram Zionis Israel yang berhijrah ke Kanada dan Eropah khususnya mereka yang mempunyai dua kerakyatan.
Dalam masa yang sama ratusan ribu lagi terpaksa berpindah dari wilayah utara ke tengah tanah jajahan Zionis Israel.
Beberapa hari lepas Kanada membuka ruang seluas-luasnya kepada rakyat negara haram Zionis Israel untuk berpindah ke sana sebagai langkah berjaga-jaga jikalau konflik ini merebak.
4- Agenda Sebenar Zionis Israel
Jika dilihat skala serangan regim Zionis Israel dalam konflik kali ini, ia sangat jelas bahawa agenda sebenarnya bukan hanya untuk menumpaskan HAMAS semata-mata tetapi lebih kepada untuk mengukuhkan cengkaman ke atas Dunia Islam dan perlaksanaan The Greater Israel yang dengan “secara sengaja” akan mencetuskan perang yang lebih besar di Timur Tengah.
Realitinya keberadaan negara haram Zionis Israel di Timur Tengah adalah amat penting buat Barat kerana ia adalah proksi utama Barat serta pelaksana utama polisi mereka di rantau tersebut.
Adalah amat penting kepada Barat untuk terus menjamin keberadaan negara haram Israel kerana Timur Tengah adalah amat penting kepada mereka, baik dari sudut ekonomi mahupun geopolitik dunia.
Peningkatan pengaruh dan kekuasaan geopolitik Rusia dan China di kalangan negara-negara utama Timur Tengah dan sokongan kuatnya ke atas Iran telah menyebabkan pengaruh Barat dan negara haram Zionis Israel semakin tenggelam.
Boleh dikatakan majoriti umat Islam khususnya di Timur Tengah sudah mula beralih sokongan kepada ‘mihwar al-Muqawamah’ yang dengan sendirinya menguatkan pengaruh Iran dan Rusia.
Ditambah lagi sikap dayus dan nifaq pemerintah di Timur Tengah yang menjadi talibarut dan pak turut kepada Zionis Israel-Barat, di mana ia amat mengecewakan umat Islam.
Senario yang sedang berlaku ini menimbulkan ketakutan Zionis Israel-Barat.
Ancaman perang di seluruh Timur Tengah kini sangat nyata.
Gencatan senjata kekal di Semenanjung Gaza mahupun penamatan penjajahan rejim apartheid Zionis Israel ke atas Palestin adalah satu-satunya cara untuk meredakan keadaan dan menstabilkan kembali keadaan geopolitik di rantau ini.
Sebagaimana kata Pemimpin Agung Iran Ayatollah Ali Khemenei pada Hari Al Quds yang lalu, “Israel adalah tumor barah yang menunggu masa untuk musnah ”.
Sama-samalah kita doakan yang terbaik untuk rakyat Palestin moga tidak lama lagi mereka berjaya mencapai kemenangan dan kemerdekaan dengan izin Allah SWT.
Sebagaimana ungkapan pahlawan terkenal ketika ini iaitu Abu Obaida “Jaga wuduk, jaga solat kalian, Insya-Allah kita akan solat di Masjid Al-Aqsa tidak lama lagi”.
Adil, Prihatin dan Berkebajikan.
YB Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Pengerusi Lajnah Hubungan Antarabangsa PAS Pusat.