Usaha Perangi Dadah Tidak Boleh Touch N Go

Usaha Perangi Dadah Tidak Boleh Touch N Go

Rakyat Malaysia mesti menyambut baik Rang Undang-undang Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) (Pindaan) 2024 dibacakan buat kali pertama di Dewan Rakyat, baru-baru ini.

Sepatutnya perkara ini sudah lama dilakukan dengan tambah baik beberapa perkara lain yang akan dijelaskan nanti.

Semua orang tahu, dadah musuh negara, perangi dadah habis-habisan.

Akta demi akta diwujudkan untuk memerangi bahayanya dadah kepada agama, bangsa dan negara.

Persoalannya, kenapa gejala dadah ini tidak menampakkan pengurangan, malah makin bermaharajalela, meskipun kononnya diperangi habis-habisan. Di mana silapnya?

Pertama, rasuah. Semua orang tahu, kenapa dadah begitu mudah masuk ke dalam negara.

Sempadan negara mudah dicerobohi.

Sejauhmana tanggungjawab yang menjaga sempadan darat, udara dan air terjamin dan keluar masuk barangan?

Perkara ini perlu dijawab oleh imigresen, polis, kastam dan pihak berkaitan.

Sekuat mana pun AADK, jika pihak berkuasa lain tidak memberikan kerjasama, memang sukar.

Sama seperti penyeludupan diesel ke luar. Kenapa ia begitu mudah? Tepuk dada tanya iman.

Saya ingin ingatkan, jangan letakkan masalah musuh nombor satu pada agensi berkaitan sahaja, semua bertanggungjawab, menjadi mata dan telinga, agar dapat diperangi habis-habisan.

Kedua, pegawai tertinggi AADK terdiri daripada pegawai touch and go. AADK seolah-olah tempat buangan PTD.

Sekejap datang, sekejap pergi, belumpun kerusi panas.

Sepatutnya, pegawai tinggi yang ditempatkan mesti dapat benar-benar memahami dadah itu musuh nombor satu negara.

Lebih menyedihkan apabila PTD datang, langsung tak ada latar pencegahan, kaunseling, psikologi, rawatan, psikoterapi dan perkara berkaitan dadah.

Sedangkan tiga core business AADK adalah pencegahan, rawatan dan penguatkuasaan.

Bagaimana orang pengurusan boleh memahami hakikat ini secara mendalam?

Ketua Pengarah dan timbalannya, AADK silih berganti, baharu sahaja mula nak belajar tentang bahaya dadah, kemudian ditukar.

Dalam memerangi dadah, orang dalam AADK, yang sudah masak dengan perjalanan AADK, termasuk pengarah bahagian dan pengarah negeri, perlu diberi peluang untuk mengetuai AADK, bukan kesemua jawatan dikuasai oleh PTD, kecuali mereka yang ada kepakaran dalam bidang.

Perkhidmatan PTD, hanya touch and go.

Apabila digantikan dengan orang baharu, mereka terpaksa belajar balik tentang selok belok dadah.

Sudah sampai masanya perjawatan kritikal yang berkaitan dengan operasi, rawatan dan pemulihan diberikan keutamaan kepada orang dalam.

Ketiga, baru-baru ini, Rang Undang-undang Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) (Pindaan) 2024 dibacakan buat kali pertama di Dewan Rakyat.

Rang undang-undang itu antara lain meminda tajuk panjang Akta 283 untuk memperluas ruang lingkupnya supaya merangkumi penagih bahan dan penyalah guna dadah atau bahan.

Kajian saya sebelum berkaitan dengan penagihan dadah antara Melayu dan Cina membuktikan, rata-rata Melayu jatuh dalam kategori penagih, manakala Cina penyalahguna.

Melayu menagih dadah tidak berkesudahan, sampai tegar, manakala Cina mengambil dadah bila perlu, salah guna.

Sebab itu, kita lihat, terlalu sukar untuk memulihkan Melayu yang telah menjadi penagih.

Ketagihan mereka sudah sampai ke peringkat kronik, kerosakan saraf otak.

Berbanding Cina yang masih lagi bertahan, jatuh dalam kategori salah guna.

Sebab itu, kita lihat apabila Melayu tidak dapat dadah, sanggup ‘membunuh’ ibubapa sendiri.

Bukan kerana dia mahu ‘membunuh’, tetapi ketagihan dadah telah sampai ke peringkat kronik, sehingga ia tidak dapat bertindak secara rasional, kecuali dengan mengambil dadah semula.

Justeru, mereka yang benar-benar telah masak dan pakar dalam hal ehwal dadah ini, perlu diberikan tempat sewajarnya.

Keempat, kita menyambut baik, pindaan rang-rang undang-undang yang bertujuan meluaskan skop rawatan dan pemulihan kepada penagih dadah atau bahan atau penyalah guna dadah atau bahan, selain pindaan Seksyen 3 untuk memperuntukkan seseorang pegawai boleh menahan dalam jagaan mana-mana orang yang dengan munasabah disyakinya sebagai penagih dadah atau bahan atau penyalah guna dadah atau bahan.

Kuasa yang lebih besar hendaklah diberikan kepada AADK, sebagaimana diberikan kepada polis dan SPRM misalnya.

Kelima, begitu juga, pindaan turut meliputi penggantian Seksyen 12 untuk memberi ketua pengarah kuasa menyingkatkan tempoh rawatan dan pemulihan mana-mana orang di mana-mana pusat pemulihan atau pusat khidmat atau dalam komuniti atas apa-apa sebab yang difikirkan patut oleh ketua pengarah.

Perlantikan ketua pengarah ini mesti dalam kalangan yang benar-benar memahami masalah dadah, terutama orang dalam atau mereka yang terlibat dalam kajian dan penyelidikan dadah.

Keenam, kita kata dadah musuh nombor satu, perangi habis-habisan, mencegah itu lebih baik dari merawat, masalahnya peruntukan yang diberikan amat ciput.

Bagaimana program pencegahan boleh berjalan dengan baik jika peruntukan tidak mencukupi?

Apabila sudah ramai terjebak dan berleluasa, sudah tentu peruntukan perawatan memakan belanja yang lebih besar.

Pencegahan perlu diperkasakan, paling utama sebelum parah (penguatkuasaan) dan sakit (rawatan).

Sudah sampai masa peruntukan besar diberikan kerana peranan AADK terlalu berat untuk memerangi musuh no1 negara.

Ketujuh, latihan perlu diberikan kepada Kaunselor Sekolah/Kaunselor Dadah.

Masalahnya, tiada peruntukan khusus.

Aktiviti-aktiviti yang dibuat hanya sekadar batuk ditangga, tidak menyeluruh.

Kelapan, masalah semakin membarah apabila pemimpin institusi Pendidikan (KPM/Sekolah) pula hanya melihat KPI akademik sahaja.

Kalau boleh nak buang murid yang terlibat dalam pelencungan sosial.

Mereka hanya memikirkan untuk menaikkan nama sekolah dari segi akademik, tanpa melihat, maksud/makna Pendidikan yang sebenarnya secara menyeluruh.

Kesembilan, masalah silo antara Menteri KPM dan KDN, tidak melihat isu bahaya dadah ini secara bersama. Ego masing-masing.

Mesti arahan dan kefahaman peringkat Kementerian dahulu.

Kedua-dua KSU (PTD) perlu memainkan yang berkesan dan saling memahami.

Kesepuluh, kepentingan latihan, melibatkan dadah yang berbeza kategori antara dadah tradisional, dadah jenis baru, sintetik, melibatkan rawatan yang berbeza-beza.

Kesebelas, peruntukan kepada setiap parlimen, perlukan komitmen politik, barulah setiap daerah bergerak melalui jawatankuasa keselamatan mengenai dadah yang dipengerusikan pegawai daerah, misalnya, walaupun tidak semestinya.

Keduabelas, pengkongsian maklumat antara satu sama lain, tanpa mengira agensi, bukan masing-masing silo.

Zaman sekarang bukan lagi need to know, tapi need to share terutama bahagian narkotik PDRM semuanya silo.

Ketigabelas, pegawai Polis yang bertanggungjawab mengenai bahaya dadah di sekolah pun touch and go. Sekejap ada sekejap tak ada.

Mereka perlu bergerak bersama AADK dan kaunselor sekolah. Mesti ada KPI kepada setiap pegawai ini.

Keempatbelas, usaha pencegahan hanya terhad kepada pencegahan penagihan dadah.

Tidak berlaku langsung usaha mencegah pengedaran dadah oleh bangsa-bangsa tertentu.

Oleh kerana yang mengedar adalah bangsa Cina, menagih Melayu, maka parti politik berasaskan kaum ini tidak mahu ambil pot.

Kelimabelas, NGO yang bertanggungjawab ke atas dadah, seperti Pemadam pun seolah-olah sudah padam.

Inilah akibatnya apabila ia dikendalikan oleh orang politik dengan cara politik.

Keenambelas, geran atau peruntukan berkaitan penyelidikan dan pengamal pusat pemulihan swasta (PPDP) hendaklah ditambah jika kita benar-benar serius.

Ketujuhbelas, Kementerian Pembangunan Wanita perlu ada program Kerjasama Kementerian Belia dan Sukan.

Ibu-ibu perlu dilibatkan dengan Kementerian ini bagai menangani masalah anak-anak belia tercicir.

Kelapanbelas, penambahbaikan Akta, perlu mempunyai seksyen-seksyen tertentu bagi memantapkan Kerjasama dengan semua agensi, bagi membolehkan adanya punca kuasa untuk peruntukan dan arahan supaya masing-masing tidak Silo.

Barulah terjadinya “Bersama Mencegah”.

Banyak lagi perkara yang ingin ditambahbaik, cukuplah sekadar ini dahulu.

Mudah-mudahan, akta demi akta yang diwujudkan dapat ditambahbaik dan benar-benar berkesan untuk memerangi musuh nombor satu negara, dengan melibat semua agensi bukan hanya AADK dan polis semata.

Mohd Ridhuan Tee Abdullah

Kolumnis