Menilai Intima’ Diri Dalam Parti Dan Gerakan Islam

Menilai Intima’ Diri Dalam Parti Dan Gerakan Islam

Intima’ bersama PAS sebagai sebuah parti politik perlu disertakan dengan kefahaman dan penghayatan agar setiap ahli dan pimpinan dapat memastikan sumbangan yang optimum diberikan.

Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad berkata, ia supaya setiap ahli dan pimpinan memahami kehendak jemaah dari segi pelbagai sudut dan konsisten dalam intima’ serta sentiasa terdedah titik tolak yang tepat dan betul.

“(Sekali gus) Kita tidak akan terdedah kepada gejala terseleweng atau kita hilang semangat ataupun malas,” ujarnya dalam pembentangan pada Liqa’ Fikri PAS Pusat di Cheras, di sini hari ini.

Nasihat beliau, kesilapan-kesilapan dalam perjuangan mestilah jangan dimulakan mahupun menimbulkan masalah kerana intima’ itu melibatkan kebersamaan dengan organisasi atau kelompok.

Jelas beliau, ia bermakna berada dalam jemaah mesti wujud dasar kebersamaan dan rasa sayang sesama anggota, bukan hanya semata-mata mengikut arahan hingga dapat memberi komitmen yang tidak berbelah bahagi.

Agar ahli dan pimpinan mampu teguh dalam intima’ dirinya, mestilah memastikan diri bersama jemaah dengan berasaskan meyakini kebenaran perjuangan atas tuntutan akidah Islam iaitu meneruskan perjuangan Islam dan para Nabi terdahulu.

“Elemen ini memastikan agar diri mampu berdepan dengan cabaran semasa dan mendukung serta membentuk kepimpinan dibawa serta pengikut yang memiliki kesetiaan kepada gerak kerja,” ujarnya.

Pengerusi Lajnah Tarbiyah PAS ini turut mengingatkan bahawa kekuatan akidah akan menjadikan peribadi semakin baik dan jiwa terkesan kepada sifat suci dan ikhlas daripada sebarang tujuan-tujuan peribadi atau elemen mengambil kesempatan.

Jelasnya, keikhlasan kepada perjuangan juga akan menjadikan amal soleh ditingkatkan dan pengorbanan dilakukan dari janji setia atau baiah yang baik seterusnya dilakukan tanpa bebanan untuk istiqamah.

Intima’ juga terang Ustaz Idris, akan kekal dan tidak terhad kepada tempoh tertentu demi semata-mata untuk meninggikan agama Allah serta sanggup berdepan segala cabaran dan membenihkan kesetiaan kepada perjuangan.

Ahli Parlimen Bagan Serai itu turut menerangkan cabaran dalam intima’ di mana seseorang bersikap terlalu keras atau bersikap terlalu bermudahan, oleh itu perlu mengetahui perkara _thawabit_ dengan _mutaghaiyyirat_.

Kerana PAS sebagai parti politik, akan melakukan keputusan dan tindakan yang sesuai arus perdana politik yang dinamik serta pantas, namun tetap akan kekal memelihara usaha dakwah mengikut keaslian perjuangan dan setiap prinsip dipertahankan.

Beliau turut mengungkapkan bahawa PAS adalah gerakan Islam yang pertama berjaya memenangi pilihan raya dalam sistem demokrasi selepas kejatuhan Khalifah Turki Uthmaniyyah iaitu pada tahun 1959.

Ustaz Idris mengakui akan wujud kelompok ahli yang sentiasa mahu menyeru ke arah pendekatan perubahan dan inovasi progresif kerana beranggapan kelesuan dan melihat Islam seperti menurun atau gagal dalam gerakan semasa serta tidak mengikut ‘trend’.

Namun katanya, akan wujud juga kelompok yang tetap mahu gerakan memelihara keaslian dan prinsip perjuangan serta tidak hanya mengejar kemenangan semata-mata, serta sanggup bersendirian dalam mencipta kemenangan politik.

Beliau turut mengingatkan semua untuk mengikuti arus semasa yang tidak bertentangan agama misalnya dalam memanfaatkan media sosial iaitu tidak menjadi jumud selagi perubahan itu dilaksanakan sejajar Islam.

Peringatnya, perubahan mesti dilakukan dengan teras akal yang didik oleh ilmu dengan melalui proses tarbiyah agar ia diterima dan dilaksanakan secara lurus dan benar tanpa melakukan secara bercanggah dengan Islam.

Apapun katanya, sebagai parti politik PAS memerlukan kuasa di mana dengannya telah terbukti banyak perkara dapat dilaksanakan dalam mencapai tujuan selaku gerakan Islam dalam aspek tarbiyah dan dakwah terutamanya.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu memberikan contoh-contoh pendekatan di Kelantan terutama ke atas kaum bukan-Islam yang menjadikan dakwah dapat dilihat secara nyata dan Islam diterima baik di sana.

Begitu juga pujinya, pendekatan Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang terbuka dan mesra dengan rakyat serta menyertai aktiviti-aktiviti mereka di mana perkara itu menjadi dakwah peribadi dirinya.

Ilmu Politik Islam