‘Kenapa Takut Kosongkan Kerusi?’ Ku Li Selar Keputusan ‘Politik’ Speaker Dewan Rakyat

‘Kenapa Takut Kosongkan Kerusi?’ Ku Li Selar Keputusan ‘Politik’ Speaker Dewan Rakyat

Veteran dan penasihat Umno Tengku Razaleigh Hamzah turut sama membantah keputusan Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul untuk tidak mengosongkan enam kerusi Parlimen disandang wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) yang berpaling tadah kepada kerajaan.

Razaleigh yang lebih dikenali sebagai Ku Li berkata Dewan Undangan Negeri Kelantan lebih memahami undang-undang anti-lompat parti ketika mengosongkan kerusi DUN Nenggiri bulan lalu.

Katanya keputusan Johari itu sepatutnya sama dengan DUN Kelantan kerana kedua-duanya berdasarkan peruntukan perlembagaan yang sama yang dipinda untuk menyekat perbuatan lompat parti.

“Tak boleh berbeza di antara satu dengan yang lain, kerana peruntukan dalam perlembagaan itu sama,” katanya merujuk pindaan perlembagaan pada 2022 yang memerlukan kerusi wakil rakyat dikosongkan sekiranya keahlian partinya gugur.

“Dengan tujuan yang sama, jelas sekali di Kelantan dilakukan kerana kekosongan itu mesti wujud, oleh sebab wakil di Kelantan itu sudah memberi sokongan kepada parti lain,” kata Ku Li, yang juga ketua Umno Bahagian Gua Musang di mana terletaknya kerusi Nenggiri.

Pada Rabu, PN dimaklumkan Johari bahawa beliau tidak akan mengosongkan kerusi enam ahli Parlimen Bersatu yang berpaling tadah, mencetuskan kemarahan di kalangan ahli Parlimen serta kritikan daripada pakar undang-undang dan beberapa pemimpin kerajaan yang menganggap keputusan itu berat sebelah.

Ini disusuli dengan satu lagi keputusan DUN Selangor, di mana speaker dari DAP, Lau Weng San tidak mahu mengosongkan kerusi Selat Klang kerana mendakwa penyandangnya Abdul Rashid Asari dipecat, dan bukan gugur keahlian Bersatu kerana berpaling tadah seperti yang diperuntukkan perlembagaan parti itu.

Tiga minggu sebelum itu, Speaker DUN Kelantan Mohd Amar Nik Abdullah mengisytiharkan kerusi Nenggiri yang disandang Mohd Azizi Abu Naim dikosongkan bagi mengadakan pilihan raya kecil.

Azizi juga merupakan ahli Parlimen Gua Musang, selepas menewaskan Ku Li yang menyandang kerusi itu selama lebih empat dekad, pada pilihan raya umum yang lalu.

Selain Azizi, lima lagi ahli Parlimen yang berpaling tadah untuk menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim ialah Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang), Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar).

Razaleigh berkata apabila enam ahli Parlimen itu beralih kesetiaan bermakna mereka tidak lagi bersama dalam pendirian parti, maka kerusi semua wakil rakyat itu mesti dikosongkan.

“(Mereka) sudah memberi sokongan kepada parti lain maknanya dia sudah pindah kiblat, apabila dia pindah kiblat bererti dia sudah pindah parti atau pendirian,” katanya menerusi video dimuatnaik di akaun TikTok.

Ku Li menyifatkan keputusan Johari bermotifkan politik dan bukan berpaksikan undang-undang.

“Ataupun dia (Johari) memikirkan ini akan tidak akan menjamin supaya kerajaan Madani akan terus dapat bertindak dengan wajarnya.

“Jadi ini semuanya alasan-alasan politik yang diberikan, bukan dari segi undang-undang tujuan sebenar kita pinda perlembagaan dahulu.”

Beliau mempersoalkan kebimbangan pentadbiran Anwar berdepan pilihan raya kecil sedangkan sebelum ini perdana menteri mendakwa mempunyai sokongan hampir dua pertiga.

“Apa nak takut? Tidak perlu takut.

“Saya pun hairan mengapa ini dilakukan. Nampaknya politik lebih daripada segala-galanya,” kata Ku Li.

Politik