Kini, hijrah disambut ulang tahunnya yang ke-1446, suatu tempoh yang mencecah abad ke-15.
Peristiwa hijrah memberikan pengajaran terbesar kepada seluruh manusia sepanjang zaman.
Allah SWT memerintahkan pelaksanaan hijrah, setelah pihak jahiliah Makkah menolak tawaran menegakkan negara Islam daripada Rasulullah SAW iaitu sebuah negara yang menjanjikan konsep adil kepada semua manusia.
Para pemimpin Makkah menolak tawaran itu, walaupun mereka percaya kepada kemuliaan peribadi Rasulullah SAW dan kebijaksanaannya.
Akan tetapi, mereka tidak percaya kepada ilmu Allah dan petunjuk-Nya.
Allah SWT menceritakan peristiwa itu melalui firman-Nya:
وَقَالُوٓاْ إِن نَّتَّبِعِ ٱلۡهُدَىٰ مَعَكَ نُتَخَطَّفۡ مِنۡ أَرۡضِنَآۚ أَوَ لَمۡ نُمَكِّن لَّهُمۡ حَرَمًا ءَامِنٗا يُجۡبَىٰٓ إِلَيۡهِ ثَمَرَٰتُ كُلِّ شَيۡءٖ رِّزۡقٗا مِّن لَّدُنَّا وَلَٰكِنَّ أَكۡثَرَهُمۡ لَا يَعۡلَمُونَ ٥٧
“Dan mereka berkata, ‘Jika kami mengikuti petunjuk bersama kamu, nescaya kami akan diusir dari negeri kami (Makkah).’ (Allah bertanya): Adakah Kami tidak meneguhkan kedudukan mereka di dalam daerah Tanah Haram (tanah suci Makkah) yang aman, yang didatangkan ke tempat itu buah-buahan daripada segala macam (tumbuh-tumbuhan) untuk menjadi rezeki (bagi kamu) daripada sisi Kami? Akan tetapi, kebanyakan mereka tidak mengetahui.”
[Surah al-Qasas: 57]
Mereka mempunyai sangkaan buruk dan jahat terhadap Islam yang dituduh akan menjadi ancaman kepada mereka.
Malah, mengatakan bahawa Islam akan ditolak oleh seluruh dunia dan diserang oleh semua pihak yang akan menghancurkan perjuangannya, sehingga menjadi fobia terhadap Islam.
Rasulullah SAW pula secara tegas menolak cadangan pelantikan Baginda menjadi pemimpin Makkah dengan penabalan jawatan raja atau menjadi pemimpin yang ditawarkan kuasa mutlak dan diberikan harta yang melimpah ruah dengan mengekalkan kuasa takhta walaupun zalim, tanpa mendaulatkan Islam yang menjanjikan keadilan kepada semua.
Rasulullah SAW terus mengajak seramai mungkin masyarakat untuk menganut Islam tanpa paksaan dan mengadakan kerjasama dengan bukan Islam yang tidak ekstrem, dengan membawa tema adil kepada semua.
Perkara ini berpandukan firman Allah SWT:
۞إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّواْ ٱلۡأَمَٰنَٰتِ إِلَىٰٓ أَهۡلِهَا وَإِذَا حَكَمۡتُم بَيۡنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحۡكُمُواْ بِٱلۡعَدۡلِۚ إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِۦٓۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِيعَۢا بَصِيرٗا ٥٨
“Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu melaksanakan segala amanah (tanggungjawab) kepada sesiapa yang layak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum antara manusia hendaklah kamu menetapkannya dengan adil. Sesungguhnya, Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya, Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.”
[Surah al-Nisa’: 58]
Baginda SAW menyampaikan perintah Allah kepada sesiapa yang mahu menerimanya dan mencari sesiapa yang sedia menyerahkan tanah air, serta berjuang demi menegakkan negara yang meletakkan Islam berkuasa dan berdaulat di dalam sesebuah negara.
Akhirnya, penduduk Madinah yang terdiri daripada kalangan masyarakat majmuk kaum Arab menerima Islam bersama golongan bukan Islam yang cinta akan perdamaian, terdiri daripada kalangan kaum Yahudi dan Kristian Najran, di samping sebahagian daripada Arab Musyrikin yang sedia menerima Islam memimpin negara.
Hal ini demikian kerana, mereka bosan dengan kekejaman yang berlaku dalam masyarakat di seluruh pelosok yang tidak mampu ditangani oleh negara kuasa besar dan pelbagai agama yang sedia ada pada zaman itu.
Apabila tentangan terhadap Islam oleh pencabarnya yang dianggap sebagai ancaman makin memuncak keganasannya, maka Rasulullah SAW mengerahkan para sahabatnya dari Makkah dan lain-lain berhijrah ke Madinah.
Hal ini dilakukan, apabila para pemimpin Madinah berbaiah bagi menegakkan sebuah negara yang dicadangkan oleh Allah SWT dengan firman-Nya:
ٱلَّذِينَ أُخۡرِجُواْ مِن دِيَٰرِهِم بِغَيۡرِ حَقٍّ إِلَّآ أَن يَقُولُواْ رَبُّنَا ٱللَّهُۗ وَلَوۡلَا دَفۡعُ ٱللَّهِ ٱلنَّاسَ بَعۡضَهُم بِبَعۡضٖ لَّهُدِّمَتۡ صَوَٰمِعُ وَبِيَعٞ وَصَلَوَٰتٞ وَمَسَٰجِدُ يُذۡكَرُ فِيهَا ٱسۡمُ ٱللَّهِ كَثِيرٗاۗ وَلَيَنصُرَنَّ ٱللَّهُ مَن يَنصُرُهُۥٓۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ ٤٠ ٱلَّذِينَ إِن مَّكَّنَّـٰهُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ أَقَامُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَوُاْ ٱلزَّكَوٰةَ وَأَمَرُواْ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَنَهَوۡاْ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۗ وَلِلَّهِ عَٰقِبَةُ ٱلۡأُمُورِ ٤١
“(Iaitu) orang-orang yang telah diusir dari kampung halaman mereka (Makkah) tanpa alasan yang benar, kecuali kerana mereka berkata, ‘Tuhan kami hanyalah Allah.’ Dan sekiranya Allah tiada menolak (keganasan) sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, tentulah telah dirobohkan biara-biara Nasrani, gereja-gereja, rumah-rumah ibadat orang Yahudi, dan masjid-masjid, yang di dalamnya banyak disebut nama Allah. Sesungguhnya, Allah pasti menolong orang yang menolong (agama)-Nya. Sesungguhnya, Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa. (40)
“(Iaitu) orang-orang yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi, nescaya mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat makruf, dan mencegah daripada perbuatan yang mungkar; dan kepada Allahlah kembali segala urusan. (41)”
[Surah al-Hajj: 40–41]
Hijrah dilaksanakan setelah kezaliman para pemimpin Makkah bagi menghalang sebarang usaha untuk melakukan perubahan berada pada tahap kemuncaknya.
Apabila didapati adanya pihak yang telah menerima Islam, dianggap sebagai ancaman yang mencabar kuasa sedia ada yang telah lama wujud.
Walaupun penduduk Makkah dibejatkan dengan kezaliman para penganut daripada pelbagai kabilah, agama, dan bangsa yang berbeza, tetapi masih lagi mahu dipertahankan juga.
Namun ada kalangan bukan Islam yang tidak ekstrem membenci akan kezaliman yang berlaku.
Akhirnya, hijrah terpaksa dilakukan secara bersembunyi, apabila Rasulullah SAW menggunakan khidmat seorang pemandu jalan rahsia bukan Islam yang bersimpati bernama ‘Abdullah bin Uraiqit, dia mengetahui jalan selamat daripada dikesan musuh yang sedang memburu untuk membunuh sesiapa yang berhijrah.
Apabila sampai di Madinah, maka penganut Islam yang datang dari Makkah dan penduduk Madinah daripada kalangan suku Aus dan Khazraj yang telah menganut Islam disatukan supaya bersaudara setelah lama berperang sebelum Islam.
Kemudiannya, disertai oleh penganut Islam daripada berbagai-bagai suku kaum bukan Arab seperti Bilal bin Rabah (daripada warga kulit hitam), ‘Ammar bin Yasir yang dimerdekakan daripada pengabdian, Salman al-Farisi dari Parsi dan Suhaib bin Sinan dari Rom.
Selain itu, diajak bersama penganut bukan Islam yang tidak melampau daripada kalangan Yahudi, Kristian, dan penyembah berhala yang benci akan peperangan dan kezaliman.
Mereka disatukan dalam satu piagam yang dinamakan Sahifah Madinah, yang menerima Islam berkuasa memimpin dengan adil dan berkonsepkan kebebasan beragama masing-masing yang tidak pernah ada selama ini.
Apabila mereka menyaksikan pelaksanaan Islam itu berjaya, ramai yang tertarik kepada Islam sehingga ada yang memeluk Islam secara rela hati.
Walaupun ramai lagi jumlahnya yang tidak memeluk Islam, tetapi mereka reda berada bersama kerajaan Islam yang adil dan aman.
Perkara ini adalah mengikut janji Allah SWT melalui firman-Nya:
وَعَدَ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مِنكُمۡ وَعَمِلُواْ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ لَيَسۡتَخۡلِفَنَّهُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ كَمَا ٱسۡتَخۡلَفَ ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِهِمۡ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمۡ دِينَهُمُ ٱلَّذِي ٱرۡتَضَىٰ لَهُمۡ وَلَيُبَدِّلَنَّهُم مِّنۢ بَعۡدِ خَوۡفِهِمۡ أَمۡنٗاۚ يَعۡبُدُونَنِي لَا يُشۡرِكُونَ بِي شَيۡـٔٗاۚ وَمَن كَفَرَ بَعۡدَ ذَٰلِكَ فَأُوْلَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡفَٰسِقُونَ ٥٥
“Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang soleh, bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa, dan Dia sungguh-sungguh akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredai-Nya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembah-Ku dengan tiada mempersekutukan sesuatu apa pun dengan Aku. Dan sesiapa yang (tetap) kafir sesudah (janji) itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasiq.”
[Surah al-Nur: 55]
Masjid Nabawi menjadi pusat pentadbiran yang dikunjungi oleh semua warga, bukan sahaja penganut Islam, malah termasuk penganut agama bukan Islam.
Masjid bukan sahaja berfungsi sebagai rumah ibadat, tetapi turut menjadi pusat pentadbiran dan di sekitarnya pula terdapat pasar Madinah menjadi pusat perniagaan yang mengumpulkan kegiatan ekonomi masyarakat majmuk yang aman dan bersaudara.
Munculnya Madinah menjadi sebuah negara baharu yang menyatukan umat.
Namun, Madinah dianggap sebagai ancaman oleh semua pihak yang ekstrem, termasuk negara kuasa besar dunia pada zaman itu dan kalangan fanatik yang ekstrem daripada pelbagai agama, menyebabkan negara Islam dikepung dari segenap penjuru.
Namun, al-Quran memerintahkan supaya memilih perdamaian yang wajib didahulukan berdasarkan firman Allah SWT:
۞وَإِن جَنَحُواْ لِلسَّلۡمِ فَٱجۡنَحۡ لَهَا وَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلۡعَلِيمُ ٦١ وَإِن يُرِيدُوٓاْ أَن يَخۡدَعُوكَ فَإِنَّ حَسۡبَكَ ٱللَّهُۚ هُوَ ٱلَّذِيٓ أَيَّدَكَ بِنَصۡرِهِۦ وَبِٱلۡمُؤۡمِنِينَ ٦٢ وَأَلَّفَ بَيۡنَ قُلُوبِهِمۡۚ لَوۡ أَنفَقۡتَ مَا فِي ٱلۡأَرۡضِ جَمِيعٗا مَّآ أَلَّفۡتَ بَيۡنَ قُلُوبِهِمۡ وَلَٰكِنَّ ٱللَّهَ أَلَّفَ بَيۡنَهُمۡۚ إِنَّهُۥ عَزِيزٌ حَكِيمٞ ٦٣
“Dan jika mereka cenderung kepada perdamaian, maka cenderunglah kamu kepadanya dan bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya, Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. (61)
“Dan jika mereka bermaksud menipumu, maka sesungguhnya, cukuplah Allah (menjadi pelindungmu). Dialah yang memperkuat kamu dengan pertolongan-Nya dan dengan para Mukmin. (62)
“Dan yang mempersatukan hati mereka (orang-orang yang beriman). Walaupun kamu membelanjakan semua (kekayaan) yang berada di bumi, nescaya kamu tidak akan dapat mempersatukan hati mereka, tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sesungguhnya, Dia Maha Gagah lagi Maha Bijaksana. (63)”
[Surah al-Anfal: 61–63]
Konsep yang ditunjukkan oleh Islam ialah adil terhadap semua, tanpa paksaan beragama, serta terbuka dan mengutamakan perdamaian, sehingga berjaya mewujudkan keamanan di dalam negara.
Keadaan ini menjadikan pengaruh Islam berkembang dan berjaya menembusi negara bukan Islam yang bermusuh, sehingga mereka menganggap kedatangan Islam adalah penyelamat, bukannya penjajah yang menakluk dan mengabdikan rakyat jelata.
Hal ini juga menyebabkan negara musuh tidak mendapat sokongan rakyatnya sendiri dan pengaruh Islam masuk ke dalam masyarakat bukan Islam laksana banjir yang tidak mampu dihalang.
Bahkan, keadaan tersebut berlangsung beberapa abad selepas kewafatan Rasulullah SAW, cahaya petunjuk Islam daripada Allah menembusi sehingga Tembok Besar China, selain merentasi pergunungan dan lautan yang luas di timur dan barat, kecuali golongan Zionis Yahudi Ahli Kitab dan kalangan bukan Islam yang berjaya dipengaruhi mereka.
Mereka itulah golongan yang dilaknat dan dimurkai Allah disebabkan hati mereka adalah lebih keras daripada batu.
Firman Allah SWT:
ثُمَّ قَسَتۡ قُلُوبُكُم مِّنۢ بَعۡدِ ذَٰلِكَ فَهِيَ كَٱلۡحِجَارَةِ أَوۡ أَشَدُّ قَسۡوَةٗۚ وَإِنَّ مِنَ ٱلۡحِجَارَةِ لَمَا يَتَفَجَّرُ مِنۡهُ ٱلۡأَنۡهَٰرُۚ وَإِنَّ مِنۡهَا لَمَا يَشَّقَّقُ فَيَخۡرُجُ مِنۡهُ ٱلۡمَآءُۚ وَإِنَّ مِنۡهَا لَمَا يَهۡبِطُ مِنۡ خَشۡيَةِ ٱللَّهِۗ وَمَا ٱللَّهُ بِغَٰفِلٍ عَمَّا تَعۡمَلُونَ ٧٤ ۞أَفَتَطۡمَعُونَ أَن يُؤۡمِنُواْ لَكُمۡ وَقَدۡ كَانَ فَرِيقٞ مِّنۡهُمۡ يَسۡمَعُونَ كَلَٰمَ ٱللَّهِ ثُمَّ يُحَرِّفُونَهُۥ مِنۢ بَعۡدِ مَا عَقَلُوهُ وَهُمۡ يَعۡلَمُونَ ٧٥
“Kemudian, setelah itu, hati kamu menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Padahal antara batu-batu itu sungguh ada yang mengalir sungai-sungai darinya, dan antaranya sungguh ada yang terbelah, lalu keluarlah mata air darinya, dan antaranya sungguh ada yang meluncur jatuh kerana takut kepada Allah. Dan Allah sekali-sekali tidak lengah daripada apa-apa yang kamu kerjakan. (74)
“Adakah kamu masih mengharapkan mereka akan percaya kepada kamu, padahal segolongan daripada mereka mendengar firman Allah, lalu mereka mengubahnya setelah mereka memahaminya, sedang mereka mengetahui? (75)”
[Surah al-Baqarah: 74–75]
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS