Sama ada Tengku Razaleigh Hamzah masih mempunyai pengaruh di kawasan yang pernah diwakilinya selama lebih empat dekad akan terjawab pada Pilihan Raya Kecil Nenggiri bulan depan.
Veteran Umno itu yang lebih mesra dengan panggilan Ku Li pernah menyandang kerusi Gua Musang, iaitu kawasan Parlimen untuk kerusi negeri Nenggiri, selama 12 penggal sejak 1974.
Bagaimanapun, tsunami Melayu pada pilihan raya lalu menamatkan era bekas pemimpin Umno itu yang satu masa dulu dilihat pencabar yang mampu menjatuhkan Dr Mahathir Mohamad, gergasi politik yang memimpin parti itu selama lebih dua dekad sebelum menjatuhkannya pada 2018.
Pimpinan Umno masih mengharapkan pengaruh dan rasa hormat terhadap orang lama seperti Ku Li mampu mengembalikan sokongan kepada Barisan Nasional (BN).
Faktor inilah yang mungkin mendorong Umno melantik Ku Li yang berusia 87 tahun itu mengemudi kempen BN di Nenggiri.
Seorang pemerhati tidak menafikan aura Ku Li, dan setidak-tidaknya akan memastikan Perikatan Nasional (PN) tidak mendapat laluan mudah sepertimana di kerusi majoriti Melayu yang lain.
“Beliau lebih mengenali ‘psyche’ pengundi di sana. Saya percaya pengalaman beliau selama beberapa dekad sebagai ahli Parlimen Gua Musang tentu memberi kelebihan dalam mendekati pengundi,” kata Rabi’ah Aminudin dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
PRK Nenggiri diadakan selepas penyandangnya, Mohd Azizi Abu Naim, hilang keahlian Bersatu kerana berpaling tadah menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim, sekaligus melanggar perlembagaan parti.
Nenggiri merupakan satu-satunya kerusi milik ahli Bersatu yang berpaling tadah di mana pilihan raya semula diadakan, sejajar dengan undang-undang lompat parti yang diluluskan pada 2022.
Tujuh kerusi lain, iaitu satu kerusi negeri di Selangor dan enam kerusi Parlimen termasuk Gua Musang yang juga disandang Azizi, tidak diisytiharkan kosong selepas keputusan kontroversi speaker.
Pada pilihan raya negeri (PRN) tahun lepas, Azizi memenangi kerusi Nenggiri dengan 6,517 undi, menewaskan Ab Aziz Yusoff daripada BN dengan majoriti 810 undi.
Kemenangan itu beberapa bulan selepas Azizi menjadi antara “giant slayers” yang menumpaskan gergasi politik, apabila menewaskan Ku Li di Gua Musang pada pilihan raya umum November 2022.
Orang kuat Umno Gua Musang Mohd Syahbudin Hashim berkata Ku Li ialah nama yang sinonim dengan Gua Musang, malah menurutnya, beliau digelar “bapa pembangunan” kawasan itu kerana banyak berjasa kepada penduduk.
Syahbudin, yang juga timbalan ketua Umno Gua Musang, berkata dengan melantik Ku Li sebagai pengarah PRK, Umno ingin menebus kelemahan yang “terlepas pandang” di kedua-dua PRU dan PRN.
“Faktor orang Umno tidak keluar mengundi pada PRU dan PRN lepas juga antara punca kekalahan kita.
“Jadi kali ini, Ku Li akan mengubah strategi untuk mendekati penduduk di Nenggiri,” kata Syahbudin yang juga Adun Galas, kepada MalaysiaNow.
Selain itu, BN dijangka sekali lagi menggunakan hujah menjadi sebahagian kerajaan pusat bagi meyakinkan pengundi tentang kelebihan mengundi untuk gabungan itu.
‘Gelombang kebencian kepada Umno, bukan Ku Li’
Mohd Rosdi Aziz, yang menggerakkan “war room” BN di Nenggiri, mendakwa Ku Li masih berpengaruh, dan berkata masyarakat di Hulu Kelantan masih menghormati beliau.
Menurutnya, asal usul Ku Li sebagai kerabat diraja juga satu “kelebihan tersendiri”.
“Kekalahan beliau ialah kerana persepsi dan pengaruh media yang berjaya dicipta,” kata Rosdi, yang mengakui defisit sokongan dihadapi Umno.
“Tiada gelombang kebencian terhadap Ku Li, tetapi wujud gelombang kebencian kepada parti.”
Bekas ketua penerangan Umno, Isham Jalil, berkata walaupun Ku Li boleh menarik undi, wujud beberapa faktor yang menyebabkan pengundi menolak calon BN.
Ia termasuk kerjasama Umno dan DAP yang rata-rata masih ditolak orang Melayu, selain penarikan subsidi pukal diesel.
“Di Sungai Bakap, itulah faktor orang Umno tidak mahu keluar mengundi atau mengundi PN,” kata Isham, merujuk kemenangan besar PN pada PRK untuk DUN Pulau Pinang itu awal bulan ini.
Sambil menggunakan istilah “Umdap” untuk merujuk kerjasama Umno dan DAP, Isham berkata walaupun Ku Li disukai, ia tidak bermakna pengundi akan memilih calon BN.
Katanya ini kerana beberapa sosok yang ditolak ahli Umno seperti Perdana Menteri Anwar Ibrahim, dan timbalannya Ahmad Zahid Hamidi.
Di samping itu, Isham juga merujuk kepada kontroversi berkait BlackRock.
“Kalau mereka beri undi kepada calon Umdap ini, ia bermakna satu undi kepada (perdana menteri) Anwar dan Zahid dan BlackRock.
“PN juga tidak akan ambil mudah dan terpaksa bekerja keras walaupun mereka menang sebelum ini,” tambah bekas orang kuat Najib itu.
Isham berkata Zahid yang juga presiden Umno terdesak untuk menang di Nenggiri, yang sekali lagi menjadi medan menguji penerimaan orang Melayu terhadap kerjasama parti itu dengan DAP.
Bagi Rabi’ah, pembangunan setempat dijangka menjadi agenda utama kempen BN di Nenggiri.
Bagaimanapun, calon PN yang membawa identiti Melayu-Islam juga sama berpeluang mendapat undi kerusi majoriti Melayu itu, tambahnya.