Arak Punya Susu, Babi Dapat Nama

Arak Punya Susu, Babi Dapat Nama

Arak dan daging babi adalah dua kombinasi dosa besar yang disebutkan oleh Allah secara jelas dalam al-Quran.

Ia tiada langsung perbincangan furuk tentang status haramnya untuk kita sebagai umat Islam memakannya.

Dalam fekah, keduanya juga dikategorikan sebagai najis. Satu najis berat satu lagi najis pertengahan.

Tidak ada umat Islam yang tidak tahu hukum keduanya ini.

Malah, bukan Islam yang baik hati juga akan seupaya mungkin akan mengelak dari menghidangkan kedua jenis makanan ini kepada rakan Islam mereka, atas dasar hormat dan maklum dengan hukum yang Allah telah wajibkan itu.

Akan tetapi, pada kedua jenis makanan haram ini, babi lebih ditakuti dimakan oleh orang Islam yang derhaka.

Jika mereka meminum arak, mereka kelihatannya tidak kisah sangat.

Tetapi jika diberitahu makanan yang dihidangkan ada daging babi, segera mereka menolak, kalaupun tidak lari, saking keji dan jijiknya makanan yang haram dan najis itu.

Hatta dalam keadaan mabuk ringan sekalipun, mereka boleh menjadi waras sebentar, akan menolak babi.

Kedua jenis makanan ini di dalam Islam, tidaklah diharamkan penjualannya secara mutlak sebagaimana judi.

Akan ada ruang yang diberikan pemerintah Islam untuk mereka menikmati apa yang mereka dakwa sebagai dibenarkan oleh agama mereka.

Oleh kerana Islam adalah agama toleransi, maka tiadalah salah penjualan secara terhad diluluskan dan segala hasil cukainya itu diberikan semula kepada keperluan bukan Islam.

Paling tidakpun, hasil itu boleh dibuat membina tandas atau jalanraya bagi kegunaan semua orang tidak mengira agama.

Akan tetapi kelonggaran penjualan itu masih lagi terbatas kepada beberapa perkara penting seperti orang Islam tetap haram menjual, membeli, memerah, menghantar, menanam anggur atau sejenisnya bagi tujuan penghasilan arak, menyewakan premis bagi jualan dan beberapa lagi peraturan yang mesti diikuti oleh orang Islam.

Pendek kata, Islam melarang umatnya terlibat dengan semua perkara berkaitan arak disertakan ancaman oleh Rasulullah, laknat dari Allah.

Tetapi tiada pula laknat untuk kes babi.

Sama juga perbuatan yang berterimakasih dengan sumbangan oleh syarikat arak yang tiada kaitan dengan kita dan bergembira sambil mengangkat jari menunjuk isyarat bagus menerima replika cek.

Paling menambah dosa apabila menipu orang mengatakan dia tidak tahu yang penyumbang itu adalah syarikat arak sedangkan hampir pasti logo syarikat itu sudah dikenali ramai.

Apabila orang tidak mempercayainya, kita menukar pula kenyataan yang apa salahnya dengan sumbangan kepada sekolah?

Lalu menuduh pula orang lain hiporkit kerana tetap bersalaman dengan tangan yang memakan babi apabila mahu mengutip derma.

Sedangkan dalam Islam, ia tiada kaitan langsung kerana Islam tidak pernah melarang orang Islam daripada bersalaman dengan bukan Islam hanya kerana mereka pernah makan babi.

Pernahkah Islam menyuruh seseorang yang baru memeluk Islam melakukan sertu terlebih dahulu dengan mandi enam kali air biasa dan satu kali air tanah kerana bimbang adanya najis babi di tubuh mereka?

Kasihan babi, kerana arak, dia yang dihina.

Dosa lain yang dikumpul ialah apabila memutar kenyataan pemimpin tertinggi sebuah parti Islam mengatakan bahawa arak adalah hak bagi bukan Islam.

Konon mahu menumpang fatwa parti Islam.

Ternyata belitan itu terbelit kepada dirinya sendiri apabila yang disebut pimpinan itu betul, tetapi perbuatan seseorang Islam yang menyertai majlis yang ada arak dan menerima sumbangan dari syarikat arak itu yang tidak betul.

Biarkanlah mereka yang bukan Islam sesama mereka.

Kita yang Islam ini pergi menyibuk dalam majlis sumbangan syarikat arak, untuk apa?

Sudah habiskah bukan Islam untuk hadir?

Akhirnya jelas, rupanya sudah ada larangan berkenaan menerima sumbangan daripada syarikat arak dan judi untuk pendidikan.

Maka hukum dunia dilanggar, hukum akhirat juga dinodai di hadapan jutaan manusia melihatnya.

Tetapi dia keras, tetap salahkan orang lain.

Oh ada lagi, yang ini last, aku janji sebab ia kelakar.

Ada yang dilihat dalam video penerangan mendakwa, dia telah memberikan sumbangan sebanyak ratusan ribu ringgit kepada sekolah itu, dan itu tidak dinilai baik oleh orang.

‘Dia yang bagi sumbangan’, telan ayat tu semua.

Kalau dahulu pemimpin sebuah parti korup mendakwa beliau memberikan sumbangan, maka akan ada dari pihak lawan itu segera menepis dakwaan itu dengan mengatakan duit itu duit rakyat, bukan duit dari poket pimpinan parti korup itu.

Apakan daya, lawan parti korup itu telah belajar dari parti korup itu sendiri bagaimana cara berkesan untuk memerintah.

Maka dia telah mengikut jejak langkah parti korup itu.

Duit sumbangan kepada rakyat sekarang macam duit poket dia.

Kalaulah arwah masih hidup, tentu dia akan lawan korupter sebegini.

Mohd Nasir Abdullah

Kolumnis